September 19, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Arch Enemy Bakal Membuat Persembahan Sulung Bersama Alissa Di Kuala Lumpur Tahun Ini

Spread the love

Dalam kedatangan semula yang sangat dinantikan oleh peminat mereka, gergasi death metal melodik dari Sweden, Arch Enemy, kini kelihatan akan tampil lagi membuat persembahan konsert di Kuala Lumpur tahun ini, pada bulan Mei. Ini juga adalah merupakan kali pertama dalam tempoh 12 tahun mereka membuat persembahan di ibu negara Malaysia itu selepas kali pertama membuat persembahan di Kuala Lumpur adalah pada tahun 2012.

Kunjungan kedua Arch Enemy kali ini bagaimanapun mempunyai makna yang istimewa untuk mereka kerana ia akan menjadi persembahan sulung vokalis Alissa White-Gluz, di Kuala Lumpur kerana pada kali terakhir kumpulan itu beraksi di Kuala Lumpur pada tahun 2012, Arch Enemy masih menggunakan khidmat vokalis lama mereka, Angela Gossow.

Oleh kerana itu, sudah semestinya peminat tegar mereka di Malaysia tidak akan melepaskan peluang untuk menyaksikan Alissa tampil bersama Arch Enemy buat pertama kalinya di Kuala Lumpur. Alissa pula pada masa kini sudahpun meraikan penyertaan satu dekad bersama kumpulan tersebut dan suara Alissa bolehlah dikira sinonim dengan Arch Enemy juga.

Alissa dilihat sedang beraksi bersama Arch Enemy pada bulan Julai tahun lepas – gambar oleh Eve ov Beer Photo 

Kepada mereka yang pernah menyaksikan persembahan Arch Enemy pada tahun 2012, persembahan Arch Enemy kali ini juga pasti akan menjanjikan sebuah kelainan dan sesuatu yang baharu. Ini adalah kerana ramai peminat Arch Enemy berpendapat bahawa Alissa bukanlah klon kepada Angela dan Alissa mempunyai gayanya yang tersendiri yang menambah kepada dimensi bunyi baharu yang menarik untuk kumpulan itu. Selain daripada itu, apabila membandingkan kehebatan vokal Angela dan Alissa, ramai peminat neutral mereka juga akan mengatakan bahawa kedua-duanya sangat cantik dan mempunyai tekstur vokal mereka sendiri.

Persembahan Arch Enemy di Kuala Lumpur pada tahun ini adalah sebahagian daripada jelajah tour Arch Enemy Deceivers Asia Tour 2024 mereka. Walaupun butiran mengenai jelajah itu masih terhad, peminat mereka di Malaysia kini boleh menjangkakan malam yang dipenuhi dengan tenaga dan kehebatan melodi kumpulan itu pada bulan Mei tahun ini.

Biarpun laman web rasmi Arch Enemy, (https://www.archenemy.net/en/tour/tour-dates) atau acara laman web persembahan live mereka (https://bnds.us/o76k8l), belum lagi menyenaraikan tarikh persembahan mereka Kuala Lumpur buat masa ini, peminat Arch Enemy di Malaysia sudahpun kelihatan bersemangat setelah mengetahui tentang rancangan Arch Enemy yang akan datang ini melalui risalah yang tersebar di media sosial.

Fliers kepada konsert mereka yang akan datang di Kuala Lumpur

Sumber yang boleh dipercayai juga mengesahkan kesahihan berita kedatangan Arch Enemy ke Kuala Lumpur dan acara yang dinanti-nantikan itu dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada hari Ahad, 19 Mei 2024 dan ianya adalah merupakan usahasama Shiraz Projects and Primuse Live. Tiket untuk persembahan konsert Arch Enenmy itu pula akan mula dijual mulai 22 Januari 2024, di laman web https://www.myticket.asia/.

Arch Enemy ditubuhkan oleh pemain gitar dan penulis lagu dari Sweden, Michael Amott pada tahun 1995, dan sejak penubuhan kumpulan itu, Arch Enemy telah menjadi kuasa yang menonjol dan berpengaruh dunia dalam genre death metal melodik. Setakat ini Arch Enemy telah mengeluarkan 11 album studio, tiga album live, tiga album video dan empat EP.

Michael yang berdarah campuran Sweden dan England merupakan satu-satunya anggota Arch Enemy yang paling konsisten berada dalam Arch Enemy di sepanjang kewujudan kumpulan itu setakat ini. Michael juga pernah menjadi anggota kumpulan Carcass yang merupakan antara kumpulan gergasi goregrind (dan kemudiannya death metal melodik) yang paling terkenal dari England.

Harga tiket dan pelan tempat peminat untuk konsert Arch Enemy di Kuala Lumpur yang bakal diadakan pada bulan Mei ini. Tiket bolehlah ditempah di laman web https://www.myticket.asia/ mulai 22 Januari 2024.

Walaupun terkenal dengan imej sebuah kumpulan metal yang menampilkan vokalis wanita, sejarah awal kumpulan ini bagaimanapun menyaksikan mereka dibarisi oleh seorang lelaki, iaitu Johan Liiva, sebagai vokalis. Tempat Johan pula digantikan oleh vokalis wanita Angela yang berasal dari Jerman pada tahun 2000 dan 14 tahun selepas menyertai Arch Enemy, Angela pula mengundurkan diri daripada Arch Enemy. Walau bagaimanapun, Angela hanya mengundurkan diri sebagai vokalis Arch Enemy dan beliau masih lagi bersama Arch Enemy untuk menjadi pengurus kumpulan itu sehingga kini.

Umum juga kini mengetahui yang menggantikan tempat Angela sebagai vokalis Arch Enemy adalah Alissa, yang merupakan seorang wanita yang berasal Kanada. Penyertaan Angela dan Alissa dalam Arch Enemy juga telah berjaya mengekang persepi bahawa hanya kaum lelaki sahaja mampu menjadi vokalis kepada sebuah kumpulan metal. Itulah juga antara sebab mengapa Arch Enemy adalah antara nama terbesar dalam dunia metal pada masa kini.

Fliers yang dipetik dari laman Facebook rasmi Arch Enemy yang mengumumkan bahawa kumpulan tersebut sedang giat melakukan tour untuk tahun 2024

Menambahkan keseronokan kepada kedatangan mereka ke Kuala Lumpur, Arch Enemy baru-baru juga ini melancarkan jelajah tour Rising From the North mereka untuk 2024, bersama sebuah lagi lagenda death metal melodik dari Sweden iaitu In Flames. Tour tersebut juga disokong oleh Soilwork, yang juga merupakan sebuah kumpulan gergasi death metal melodik dari Sweden.

Sehubungan itu, Arch Enemy dijangka akan terus memikat penonton di seluruh dunia, mengukuhkan status mereka sebagai perintis dalam pesada muzik metal dunia dan peminat mereka di Malaysia nampaknya tidak akan terkecuali dari rancangan mereka pada tahun ini juga.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page