Artis Popular Bakal Jayakan Konsert Malam Amal Legenda A.M.A.L
Teks Oleh: Sakka E
Suatu masa dahulu, dikala hati dilanda lara, galau jiwa sarat berduka terluka, muncul alunan buaian merdu lagu – lagu berirama indah nyanyian penghibur terkenal ketika itu yang menjadi pembalut luka, peneman sepi, memadam api amarah dan mendamai jiwa.
Namun, ketika ini, nyanyian merdu lagu – lagu indah hanya tinggal lagu, hanya tinggal suara. Penghibur terkenal yang dipuja, dijulang kini ada yang terbiar sepi bertemankan usia yang semakin dimakan hari, berlantai bumi beratap langit, langkah tari tak lagi seindah dulu.
Bagi mengenang jasa para penghibur yang pernah mewarnai persada muzik tanahair, satu konsert amal bakal diadakan khusus bagi menghargai insan – insan yang pernah bergelar anak seni yang kurang bernasib baik supaya sedikit sebanyak dapat membantu meneruskan kelangsungan hidup seharian.
Konsert Malam Amal Lagenda (A.M.A.L) berkonsepkan makan malam yang bakal diadakan pada 3 Mac 2024 bertempat di Whyndam Hotel Kelang, Selangor bertujuan untuk mengumpulkan dana bantuan yang akan diberikan dalam bentuk anugerah dan penghargaan khas khusus kepada bekas penggiat seni tanahair yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan.
Usaha murni adalah hasil inisiatif dari syarikat AS Travel & Tours Sdn Bhd dengan kerjasama Koperasi Usahawan Intelektual Siswazah Malaysia Berhad yang bekerja keras bagi memastikan segalanya berjalan lancar seperti yang dirancang disamping memastikan kerja – kerja promosi dijalankan terus menerus bagi mencapai sasaran.
Konsert pada malam itu nanti bakal dijayakan oleh barisan enam artis – artis popular iaitu Datuk Hattan, Noraniza Idris, Datuk Ifa Raziah, Baby Shima, Man Keedal dan Bob Sentuhan.
Bertemakan “Tiada Siapa Yang Dipinggirkan” jelas menggambarkan iltizam pihak penganjur dalam misi yang amat murni ini, disamping dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat dan pihak – pihak berkenaan untuk turut serta dalam usaha mengimbangi keharmonian kemasyarakatan supaya selari dengan pembangunan sosio ekonomi semasa yang kian mencabar.
Menurut pengarah projek En. Amirullah Basallah, beliau amat tersentuh apabila melihat nasib yang menimpa beberapa bekas artis yang disiarkan di media – media sosial, maka dari situlah terlahir idea untuk membantu insan – insan yang perlu pembelaan ini, ujarnya “Saya membesar dengan lagu – lagu dendangan mereka, jadi tak seharusnya nasib mereka terbiar tanpa pembelaan”.
Konsert ini juga akan dimeriahkan lagi dengan acara cabutan bertuah, hadiah – hadiah dalam bentuk wang tunai di samping hadiah-hadiah menarik yang lain serta anugerah khas bagi menghargai usaha dan kerjasama oleh pihak – pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.