September 20, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsolidasi Muzikal UK’SLAM Janji Persembahan Di Atas Normal

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

“Ke mana bintang beribu…,” mendengarkan itu, saya berlari anak ke depan pentas kecil yang sesak, mahu turut serta merakam video. Lantunan vokal Amir UK’s seolah-olah menyeru. “Di malam ini, tiada satu pun yang kelihatan kecuali kelam.” disahut petikan gitar flamenco ala sepanyol yang menjadikan lagu ini unik dan istimewa. Vokal berselang-seli Amir UK’s dan Zamani Slam mencipta atmosfera harmoni yang nyaman. Percantuman suara kedua-duanya terdengar sangat menarik ketika mencecah korus.

Sekiranya anda seorang peminat tegar muzik bergenre Rock Ballad, rekomendasi untuk menonton Konsert Muzikal UK’SLAM ini adalah pada skala tertinggi. Nilai sentimental dan nostalgia yang bakal anda bawa pulang tak perlu diragui. UK’s dan Slam bukan calang-calang, mereka orang lama dalam industri seni. Ini terbukti apabila Zamani melantun “Bukan aku tak cinta…,” bergetar rasa ulu hati. Terjalin indah sahut-menyahut bersama Amir menjadi penyedap halwa telinga. “Kepadamu semakin ku rela, kau lah satu di dunia.”

Sidang Pra-Tonton Konsert Muzikal UK’SLAM berlangsung meriah pada petang 17 Januari bertempat di Ideas Hotel KL memperlihatkan kombinasi pertama kali, sebelum ini tidak pernah, tentunya bakal jadi sejarah. Hampir kesemua line-up kedua-dua band hadir memberi komitmen demi menjayakan promosi. Strategi menggabungkan UK’s dan Slam bakal menghimpun para peminat setia masing-masing dan pada masa yang sama memberi pendedahan kepada audiens dan fanbase yang baru.

Tampak serasi dan wujudnya kemistri di antara kedua band ketika mempertontonkan pada sidang media dengan 2 buah lagu hits “Seksa” dan “Nurkasih”, bakal mencipta magis dan momen-momen manis melalui plot persembahan, susunan muzik yang lebih segar, disulami tatacahaya, audio dan visual yang telah dirancangkan.

Dengan aura tarikan dan kekuatan tersendiri pun sudah memadai, apatah lagi stail muzikal dan populariti UK’s dan Slam pastinya mampu mencetus sensasi dengan seleksi lagu-lagu yang mengimbau memori. Eskspetasi berkumandangnya lagu-lagu hits yang menjadi ‘all-time favorite’ pada segmen duet adalah sesuatu yang pasti. Rencananya akan dimulai dengan set akustik diikuti medley dan persembahan penuh, jangkakan kuasa energi dan stamina luarbiasa dari UK’s dan Slam pada malam itu nanti.

 “Rasanya tak perlu ada artis lain pada konsert ini. Nama UK’s dan Slam sudah cukup besar dan bakal menggegar malam di Shah Alam 3 Februari nanti, saya yakin dengan gabungan duet band ini.” ujar penganjur konsert, Zamberi Shaari atau lebih dikenali dengan nama Bombay yang ditemui pada petang 17 Januari. “Kekuatan tentunya terletak pada alunan lagu-lagu yang membelai jiwa, yang bertenaga, berpadu dengan vokal lunak merdu mendayu-dayu Amir dan Zamani.” Tambahnya, mengakui berasa gemuruh untuk melihat statistik jualan tiket setakat ini namun yakin bakal laris terjual menjelang konsert.

“Nilai sentimental dari segi garapan, susunan dan sentuhan penceritaan melalui elemen visual dan muzikal akan digabungkan bagi menghasilkan sesuatu yang fenomena.” cerita Amir pula. “Pemilihan lagu yang tepat adalah penting, saya sehingga sekarang masih struggle untuk hafal lagu-lagu Slam.” sambil ketawa kecil, Amir memandang Zamani yang angguk-angguk malu. “Demi sebuah konsert yang bukan sahaja penuh nostalgia tetapi juga malar segar dengan memori dan kenangan buat peminat kami nanti, kami rela berkurung dalam studio untuk hadiahkan yang paling istimewa untuk semua.”

Untuk makluman, kesemua tiket dijual dalam bentuk seating arrangement kerana bersesuaian dengan majoriti peminat UK’s dan Slam yang sudah dipanjat usia. Juga memandangkan lagu-lagu mereka kebanyakan nya berentak balada slow dan mellow, tak perlu berdiri untuk hangguk kepala, jadi semua dapat menikmati malam dengan santai dan selesa. Meskipun berhibur sambil duduk, nantikan magis yang bakal terhasil pada gabungan duet 2 nama besar di arena rock negara ini.

Jom ramai-ramai kita buat meriah. Stadium Malawati Shah Alam dengan kapasiti 7,000 akan menjadi saksi temujanji 3 Februari. Hidangan lebih dari 30 buah lagu dalam setlist bakal tersaji dalam rockumentari 3 jam berdurasi. Sebuah produksi dari Bombay Legend Worldwide berkolaborasi dengan AMIRUKS Entertainment dengan sokongan Johan Enterprise, Mewah Event Management, Mr Helibro dan JBR Bundle sebagai rakan strategik, sesuatu yang tak mungkin akan berulang lagi.

Kini, menghitung hari berlalu tinggal 2 minggu lagi. Mentari di tangan bulan kau serah di genggaman. Jangan kau anggap aku berseloka dan asyik dengan misteri kerana jualan tiket sudah hampir 90% di tahap ini. Jangan pula nanti kau salahkan aku kerana tiket abis!

Layari www.ilassotickets.com.my sekarang.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page