Imbau Nostalgia P. Ramlee Tema Buffet Ramadhan Premiera Hotel KL
Oleh: Zizi Hashim
Gimik ketua lanun datang masuk ke dewan dengan berbasikal sememangnya mengundang nostalgia indah bintang lagenda seniman negara yang terbilang, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Ada yang tak kenal siapa P. Ramlee? Bermula dengan penyamun masuk beramai-ramai ke dalam dewan dari arah kanan pentas membawa guni kononnya sarat dengan harta karun, diikuti dengan kemasukan ketua lanun. “Binatang apa dia tunggang?” mengundang gelak ketawa dari hadirin yang datang.
Setiap tahun, Premiera Hotel Kuala Lumpur (PHKL) tidak pernah mengecewakan setiapkali datang nya bulan Ramadhan yang mulia. Idea-idea kreatif dalam penghasilan tema yang mengundang keseronokan dan keterujaan dalam menikmati hidangan juadah berbuka, diserikan lagi dengan seleksi lagu-lagu P. Ramlee yang sentiasa malar segar dan sing-along. Tahun 2024 mereka memilih tema buffet ‘Galeri Nostalgia Lagenda’ yang bakal memberi nuansa dan vibes zaman kegemilangan filem-filem dan lagu-lagu Melayu khususnya dari Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Sebanyak 130 pelbagai jenis masakan dan menu yang berbeza setiap hari bakal ditawarkan, dibawah penyediaan Chef Dzulkarnain dan pasukannya yang berdedikasi.
Buffet Ramadhan ini bertujuan murni untuk mengeratkan lagi ukhwah bersama keluarga dan rakan-rakan dengan jamuan iftar berjemaah. Sememangnya tradisi Ramadhan ini sangat ditunggu-tunggu bagi penggemar hidangan signature dari Premiera Hotel KL, antaranya menu masakan kampong yang disajikan seperti Daging Salai Masak Lemak Cili Api, Ikan Patik Tempoyak, Chili Crab, Lala dan Ikan Keli Balado. Manakala hidangan tempatan yang wajib dan menjadi kegemaran serta mendapat permintaan yang tinggi adalah Kambing Golek Panggang, Sup ‘Gear Box Power’ 6 Sekawan, Laksa Penang, Ikan Bakar dan Siakap Stim.
Bagi yang menitik-beratkan diet pemakanan, boleh memilih Ulam-Ulaman Kampung sebagai hidangan sampingan. Variasi pilihan pencuci mulut juga disediakan seperti Pulut Pengat Durian, Aneka Kuih-Muih Melayu, Air Batu Campur (ABC) dan juga buah-buahan tempatan. Selalunya setiap tahun buah Durian menjadi tarikan utama di Premiera Hotel KL namun pada tahun ini kerana jatuh pada tarikh yang bukan musim, menjadikan ketiadaan buah Durian dalam menu utama.
Berdasarkan tema buffet, setiap warung-warung ada diberi nama-nama menarik. Warung yang beri nama ‘Telaga Saloma’ terdapat hidangan pelbagai jenis minuman untuk menghilangkan dahaga seperti Kelapa Muda, Soda Herbs, Teh O’ Ais Limau manakala di warung “Kopi Pak Ma’ On’ menyediakan Kopi, Teh dan juga Teh Tarik Kaw yang istimewa buat para tetamu. Surau juga disediakan bagi kemudahan para pengunjung untuk beribadah tanpa meninggalkan kawasan hotel.
Para tetamu pastinya akan berasa terhibur dengan seleksi lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang akan diputarkan sebagai halwa telinga sepanjang majlis berbuka puasa itu nanti. Menarik pada petang kelmarin, kehadiran salah seorang pewaris Allahyarham P. Ramlee iaitu anak buah kepada seniwati Saloma dan anak kepada seniwati Mariani iaitu Puan Rozita Rohaizad yang turut digelar Saloma kerana sering menyanyikan lagu-lagu seniwati tersebut telah menghiburkan semua dengan sebuah lagu.
PHKL juga tidak ketinggalan berkongsi fitrah Ramadan yang mulia dalam program “Sinar Ramadhan” dimana setiap RM1 dari setiap harga jualan Buffet Ramadhan Dewasa di Dewan Utama Hotel akan disalurkan kepada badan/organisasi yang telah dipilih. Pada Ramadhan tahun ini, PHKL telah berbesar hati memilih Yayasan Artis Veteran sebagai penerima sumbangan ikhlas dari pembelian tuan-tuan menjelang Aidilfitri 2024.
“Sumbangan ini adalah sejajar dengan komitmen PHKL untuk membawa keceriaan kepada yang kurang bernasib baik terutama pada musim perayaan.” tutur Encik Johari Abdul Jalil, Pengurus Besar PHKL pada petang Prebiu Berbuka Puasa yang berlangsung pada 10 Januari lalu. Beliau berharap sumbangan kecil ini akan memastikan bahawa penggiat seni veteran yang kurang bernasib baik tidak merasa tersisih atau dipinggirkan. “Semoga mereka boleh menikmati dan meraikan bulan perayaan ini seperti insan-insan lain.” tambahnya lagi. PHKL percaya aktiviti seperti ini akan terus memupuk semangat kekeluargaan dan kerjasama di kalangan masyarakat dan pengurusan PHKL.
“Kami mengalu-alukan sektor awam dan swasta untuk menganjurkan Majlis Berbuka Puasa di Premiera Hotel KL bagi sama-sama merayakan dan menyemarakkan lagi bulan Ramadhan tahun ini.” Buffet Ramadhan bermula dari 12 Mac hingga 8 April 2024 dari jam 6:30ptg hingga 10:30 ini malam menawarkan harga buffet yang menarik.
Buffet ‘Galeri Nostalgia Lagenda’ menawarkan harga R150 bersih seorang dewasa, dan harga kanak-kanak adalah RM75 bersih seorang. Terdapat juga harga ‘Early Bird’ iaitu RM110 bersih seorang. Keterangan lanjut boleh hubungi 603-26151000.