1 Pentas Dikongsi 3 Gergasi Band Indie
Oleh: Zizi Hashim
Laksana petir, irama bakal bergejala di singgahsana. Dan dipagi yang gelap, petir melintas. Apabila kelam malam, petir pun berkata – “Malam 2 Mac 2024 nanti kita yang punya!”
Begitulah teaser demi teaser satu persatu dimuat-naik di laman media sosial 3 gergasi band indie ini, memberi sekilas samar-samar teka-teki yang akhirnya terjawab di sidang media khas Butterfingers, Hujan dan Bunkface yang bakal berkongsi pentas. Berita gempar ini dikongsi oleh Hitman Solutions selaku penganjur dalam suasana gilang-gemilang lengkap dengan bunga api di The Estate On Federal Hill pada petang 10 Januari yang lalu. Bergabung dan bakal meletup buat pertama kalinya, konsert tanpa henti yang paling ditunggu-tunggu pada pembukaan 2024 ini seharusnya ada dalam senarai resolusi tahun baru anda.
Diberi gelar konsert “Underground – Butterfingers, Hujan & Bunkface” direncanakan berlangsung pada 2 Mac 2024 selama 3 jam, memilih lokasi mega di Surf Beach, Sunway Lagoon. Setiap band akan diberikan masa selama 45 minit untuk mengajak crowd sama-sama hangguk kepala dengan mempersembahkan karya-karya klasik mereka yang catchy dan sing-along. Antisipasikan lebih dari 30 buah lagu-lagu seperti “Girl Friday”, “Fire is A Curse?”, “Garden City of Lights”, “Bila Aku Sudah Tiada”, “Aku Skandal”, “Pagi Yang Gelap”, “Situasi”, “Dunia Baru” dan “Malam Ini Kita Punya” akan berkumandang kuat dan megah pada malam itu, jom beramai-ramai turun memeriahkan mosh-pit dalam pesta 3 gergasi indie yang pastinya bikin huru-hara dan havoc tahap luar imaginasi.
Istimewanya pada petang sidang media itu kelmarin, sebagai gimik tanda pelancaran, sebuah replika gitar gergasi inflatable setinggi 10 meter dijadikan ikon promosi konsert Underground ini, yang mendapat pengiktirafan ‘The Biggest Inflatable Guitar in Malaysia’ oleh Malaysian Book of Records. Selain Hitman Solutions, dalam mewujudkan acara sebesar ini, konsert Underground ini turut mendapat sokongan padu daripada beberapa pihak seperti Hot FM, Fly FM, Molek FM, Kool101 FM, dan Eight FM (Rakan Radio Rasmi), dan Lobak Merah serta Good Foodie Media (Rakan Media Rasmi), begitu juga dengan Sunway Lagoon selaku lokasi rasmi.
“Nama-nama seperti Butterfingers, Hujan dan Bunkface adalah cukup besar dalam meninggalkan legasi yang kuat dalam arena muzik Indie ketika era ‘band’ berkembang. Oleh itu, kami ingin raikan setiap perjalanan karier mereka melalui sebuah konsert Rock epic yang mengiktiraf pencapaian mereka selama berbelas tahun dalam industri muzik kita.” kata Rohit Rampal penuh harapan. Selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal menambah “Konsep ‘Underground’ ini kami pilih adalah untuk membawa pendekatan konsep yang membawa semula era dan atmosfera gig yang menyatukan ketiga-tiga band legenda ini untuk sama-sama beraksi. Satu pengalaman unik yang khusus buat peminat Indie, itu janji kami.”
Nantikan petir yang akan menyambar, situasi semakin membara, hujan ribut akan menimpa, sudah bersediakah semua? “Shout out untuk semua fans berat Indie Rock, kosongkan jadual anda pada tarikh 2 Mac, sesuatu yang anda tidak akan dapat 2x, jangan lepaskan peluang sekali seumur hidup ini. 1 pentas dikongsi 3 gergasi.” Rohit Rampal bersungguh-sungguh menekankan “Konsert ini bukan sekadar 1 acara, namun juga sebuah pengalaman indie yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Kami ingin penonton yang hadir merasai sendiri feel sebenar konsert indie dalam semua aspek dengan menyaksikan sendiri perintis genre ini di atas 1 pentas – malam yang takkan terlupakan.”
Vibes indie yang gempak boleh dirasai dengan membeli tiket yang dikategorikan kepada 5 bahagian berbeza. Kesemua line-up Butterfingers, Hujan dan Bunkface komited hadir pada petang itu dengan mengenakan tshirt berlambang petir yang menjadi simbolik bagi konsert itu nanti. Elemen surprise bakal terwujud apabila ketiga-tiga band memuat-naik teaser video mereka menyanyikan lagu band lain, sebagai contoh Butterfingers menyanyikan lagu Hujan dalam acuan butters yang tersendiri dengan tagline “Hujan emas di negeri orang, hujan mentega di negeri sendiri”. Begitu juga halnya dengan Bunkface yang mencuba cover lagu Butters iaitu “The Chemistry” dan Hujan sempoi belanja rendisi akustik cover lagu Bunkface iaitu “Revolusi”. Rata-rata netizen yang melihat teaser itu dapat merasakan aura lain macam untuk konsert kali ini.
Pembelian tiket boleh dilakukan mulai hari ini di www.hitmanlive.com, apa tunggu lagi? Penjualan bagi kategori Rockzone akan dikeluarkan secara berperingkat dengan harga Rockzone – Early Bird (RM149), Rockzone – Phase 1 (RM199), Rockzone – Phase 2 (RM249), Mosh Tix (RM299) dan Vibers Pit (RM499). Tentunya Mosh Tix akan memberikan ruang kepada crowd untuk lebih dekat dan intimasi dengan band manakala Vibers Pit pula memberikan ruang santai beserta snack ringan yang akan disediakan.