November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Margasatwa Memperkasa Wanita Melalui Single Terbaru “Kasa Rubia”

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Unik, lain dari yang lain, berbeza dan tak sama. Secara peribadi, itu lah Margasatwa di mata saya. Ketara tampil dengan membawakan vibes 70-an yang begitu menyerlah dari gaya penampilan, hasil karya, seni lagu, ritma kata dan lenggok nyanyian, antara sebab mereka  berada dalam aberasi kelas mereka yang tersendiri. Sejak awal penubuhan mereka pada tahun 2016 sehingga kini, personaliti unik setiap line-up menambahkan lagi rencah rasa ke dalam rentak irama Rock Fusion berelemen Melayu Asli dinamik yang menjadi signature muzik bawaan Margasatwa. 

Berpeluang menyaksikan secara eksklusif buat pertama kalinya “Kasa Rubia” dipersembahkan dalam set live akustik di sidang media petang 4 Januari, bertempat di Sejiwa Titiwangsa, saya akui terpesona dengan intro alunan merdu riff gitar dari Fadhil berkombinasi pula dengan vokal penuh emosi Kimal yang terkesan di jiwa. Tambahan perisa lazat dari runut bunyi saksofon dan perkusi sememangnya memberi mood segar dalam lagu yang dipilih sebagai single pertama. Dipetik dari album kedua Margasatwa SERIBUDAYA yang masih dalam pembikinan, menghidangkan 11 buah lagu, dijangka bakal rilis pada pertengahan 2024.

Keistimewaan “Kasa Rubia” juga terletak pada pemilihan bahasa bagi senikata lagu.

Gambaran keindahan wanita disebut-sebut melalui frasa Kebaya Nyonya jahitan dari material Kasa Rubia, cucuk sanggul dan kasut manik yang merupakan pelengkap kostum tradisi masyarakat Baba Nyonya atau Peranakan. Perincian sebegini diakui sangat jarang diketengahkan dalam lagu Melayu Kontemporari, namun cubaan Margasatwa harus diberi pujian kerana sangat bersesuaian dan mudah dihadam. 

“Menariknya, cucuk sanggul ni dari apa yang saya kaji, bukan sahaja menggambarkan kecantikan wanita semata-mata. Namun ia juga merupakan satu ‘senjata sulit’ seorang wanita pada zaman dahulukala. Fakta ini bagi saya sangat ‘Wow’, umpama wanita ini bukan sahaja nampak ayu tapi ada satu sisi lain dalam mempertahankan maruah dan martabat mereka. Oleh itu boleh saya katakan, penceritaan senikata “Kasa Rubia” turut memperkasakan wanita.” cerita Kimal penuh bersemangat.

Selain Kimal (vokal) dan Fadhil Imran James (gitar utama), sidang media petang itu turut komited dihadiri oleh line-up yang lain iaitu Shahir Samsi (gitar kedua), Shadiq Sapian (bass), Syahir Majid (dram) dan Loque (Butterfingers/Monoloque) selaku Penerbit Bersama album. Asalnya lagu “Kasa Rubia” ini dihasilkan bersama Allahyarham Tony Alberto (Spider) selaku penerbit asal, namun Allah lebih menyayangi beliau. Natijahnya lagu ini telah tergendala selama 2 tahun, Margasatwa mengambil masa yang agak lama untuk move on dalam mencari pengganti yang dirasakan setanding Allahyarham Tony.

Pertemuan dengan Loque telah membuka hati Margasatwa untuk tidak mensia-siakan peluang bekerjasama dengan idola muzik mereka sejak sekian lama. Kolaborasi kedua-duanya nyata mencipta kemistri yang serasi molek, meskipun Loque melabelkan Margasatwa sebagai satu band yang “banyak pe’el” (sangat teliti) yang dilihat dari sudut yang positif. Kimal pula menjelaskan pemilihan Loque dibuatkan berdasarkan level intelektual yang dimiliki Loque sangat dikagumi oleh mereka, begitu juga dengan Loque memuji abnormaliti muzikal Margasatwa yang tidak ada pada band lain membuatkan beliau berasa tertarik untuk berkongsi mencipta kelainan itu.

“Saya memang idamkan untuk satu hari nanti dapat bekerjasama dengan Loque. Pernah menjadi jemputan sebagai featuring dalam album Lagu Perang dimana saya menyanyikan 2 lagu bersama Loque iaitu lagu “Selamatkan Legasi” dan juga lagu cover dari Shiela Majid “Lagenda” yang diberi nafas baru, dari situ saya merasa selesa dan mengajak semua geng-geng saya untuk mendapat special guidance dari Loque secara direct.” keterujaan Kimal jelas terpancar ketika bercerita tentant keperibadian idola beliau itu.

Loque pula merasakan insan bernama Kimal ini memiliki sesuatu yang dirasakan boleh membawa ideologi yang diperjuangkan oleh Loque sendiri dari sudut muzik, bahasa dan nusantara, berdasarkan evolusi yang ingin diwujudkan. “Saya rasa Kimal ada benda tu, kemudian dia bawa band dia pula, dan saya memang suka album Margasatwa yang pertama, banyak lagu yang saya suka seperti “Cuaca”, “Asmara Botol Kaca” dan banyak lagi. Saya suka vibes mereka dari impresi pertama lagi. Saya ajak rekod di studio saya, bermula dari situ lah, saya rasa Margasatwa ada ‘sesuatu’ dan mampu menjadi pelapis baru bagi tentera muzik Nusantara.”

Bertindak hanya sebagai guide sahaja, Loque menyambung “Mereka ni sangat teliti dalam penghasilan album kedua ini. Sebagai penerbit saya hanya beri tunjuk ajar daripada citarasa saya, kalau mereka suka ok, kalau tak suka pun saya ok. Semua datang dari mereka, lagu dan stail, saya hanya landasan membawa mereka menyiapkan proses rakaman dan terbitan album. Berapa lama dah ni tak habis lagi, itu lah, banyak pe’el sangat!” kata-kata itu disahut gelak ketawa dari Margasatwa dan semua yang hadir petang itu.

Meletakkan harapan tinggi terhadap album SERIBUDAYA, Kimal menekankan terdapat 2 elemen yang mahu diketengahkan melalui album kedua itu nanti. ‘Seribu daya’ adalah metafora pada kehendak seribu daya yang dipupuk dalam kerohanian setiap personil band, memberikan 100% komitmen dan segala seribu daya mereka untuk penghasilan album itu. Dan juga ‘Seri Budaya’ yang ingin Margasatwa jadikan trademark dalam ciri khas muzikaliti dan karya lagu mereka.

“Kasa Rubia” boleh ditafsir mengikut kefahaman sendiri, untuk memberi makna yang lebih mendalam. Menurut Kimal, lagu tersebut sebenarnya mempunyai 3 peringkat yang menceritakan keindahan berbeza. “Peringkat pertama menceritakan mengenai keindahan muzik, peringkat kedua pula menggambarkan keindahan wanita dan peringkat ketiga pula menceritakan keindahan Ilahi,” jelas Kimal sambil dipersetujui oleh line-up lain yang turut mengangguk perlahan mengiyakan.

Dengar dan hayati sediri keunikan lagu “Kasa Rubia” yang kini boleh didengari di semua saluran digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube. 


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page