September 20, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

‘Voice Of The Heart’, Bukan Sekadar Konsert

Spread the love

Krisis peperangan yang berlaku sejak 7 Oktober 2023 lalu di Palestin telah memberi kesan bukan sahaja rakyat dalam negara malah di seluruh dunia. Apa yang berlaku di Palestin hari ini akan memberi kesan yang besar kepada kita. Implikasi kepada peperangan ini amat signifikan dan akan berlarutan untuk tempoh yang panjang.

Krisis kemanusiaan akibat peperangan yang kejam dan mengorbankan nyawa mereka yang tidak bersalah, dan menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan. Bersimpati dengan nasib yang menimpa saudara kita di Palestin, syarikat pengurusan acara CS Excellent tampil menganjurkan persembahan ‘Voice Of The Heart Concert’ yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, jam 8.30 malam, pada 7 Mac depan.

Menariknya, ‘Voice Of The Heart Concert’ menampilkan barisan penyanyi terkenal tanah air seperti Rahmad Mega, Jay Jay, Nadeera dan Ernie Zakri.

Pengarah Urusan CS Excellent, Marinatasha Mustapar berkata, tujuan dan matlamat utama ‘Voice Of The Heart Concert’ ini diadakan adalah untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM) untuk membantu saudara kita di Palestin yang amat memerlukan bantuan. Antara bantuan seperti Makanan, Tempat Tinggal, Perubatan dan Infrastruktur. Tidak lupa juga kepada Persatuan Artis Veteren Malaysia dan Pertubuhan Limpahan Kasih (Anak-Anak Yatim dan Asnaf).

““Voice Of The Heart Concert’ ini adalah persembahan kedua terbesar yang kami anjurkan. Sebelum ini kami turut menjalankan acara sama iaitu Rhythm Of Legends Live In Concert di Plenary Hall KLCC membabitkan barisan penyanyi tersohor negara antaranya Dato’ Hattan, Zamani, Mawi, One Nation Emees dan ramai lagi. Sepanjang hampir enam tahun bergiat aktif dalam bidang ini, ada banyak juga program lain yang sudah kami buat,” ujarnya  sewaktu majlis Sidang Media Voice Of The Heart Concert (VOTH) pada 4 Januari 2024 bertempat di Urbanhive.

Berkongsi mengenai pemilihan artis, Marinatasha mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kesudian mereka menerima tawaran bagi menjayakan persembahan amal itu,

“Sebelum ini ada ramai artis lain juga yang kami jemput untuk terbabit sama, tapi hanya yang tersenarai ini saja yang berkelapangan untuk persembahan ini. Mereka juga berminat untuk sama-sama terbabit bagi membantu dan beramal.

“Dari segi persembahan, pihak penganjur telah menetapkan konsep persembahan perjuangan dan kedamaian selaras dengan tujuan persembahan ini. Jadi, selain lagu popular, mereka juga turut menyampaikan beberapa buah lagu ditujukan khas buat Palestin dalam persembahan Istimewa nanti,” katanya.

Menurut Marinatasha yang juga Ketua Biro Kebudayaan dan Keseniaan Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan daripada badan korporat dan orang perseorangan yang ingin menyumbang.

Dalam masa sama, Marinatasha mengajak orang ramai untuk membeli tiket sekaligus boleh berhibur dan memberi sumbangan. Dengan bantuan ini, kita sedaya upaya membantu golongan Keluarga Syuhada dan Keluarga Miskin di sana. Ayuh berdoa dan menyumbang sebagai tanda solidariti kita kepada rakyat Palestin.

“Sebelum ini, saya juga bersama Pertubuhan Skuad Bakti Malaysia (PSBM) terbabit dalam beberapa program amal. Malah, saya bersama seorang lagi Pengarah Urusan CS Excellent iaitu Qhal Mustaffa memang aktif menjalankan kerja sukarelawan. Jadi, apabila berlaku krisis kemanusiaan ini dapat dilihat bahawa masyarakat di Gaza telah hilang segala-galanya.

“Apabila mendapat peluang, itu yang kami merancang untuk mengadakan persembahan amal berkonsepkan konsert. Macam dikatakan tadi, ia bertujuan untuk berkongsi rezeki. Tak banyak sikit, apa yang penting hasilnya nanti dapat memberi manfaat kepada pihak yang memerlukan.

Kami daripada CS Excellent dan seluruh warga kerja ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures diatas sokongan kerajaan yang berterusan kepada pembangunan industri kreatif melalui Dana Kandungan Digital Persembahan Muzik. Kami juga berterima kasih kepada Mr Ahmad Jeoffrey Aladib dari Malaysia International Franchise Sdn. Bhd selaku penaja rasmi makanan dan minuman (1901 HotDog).

“Kepada pembeli tiket, mereka bukan saja boleh berhibur tapi juga beramal. Justeru, kami turut mengalu-alukan dan membuka kepada mana-mana badan korporat dan orang perseorangan jika mahu menaja dan menyumbang,” katanya.

Tiket konsert boleh didapati di myticketempire.com bermula 6hb Januari 2024.  Berikut harga tiket menyaksikan ‘Voice Of The Heart Concert’:White Team (Standing} RM 99.00, Green Team (Seated): RM199.00, Red Team (Seated): RM299.00 Black Team (Seated) RM399.00. VIP Box with Holding Room (4 seated and 4 standing): RM5,000.00, Meet & Greet – Add on RM150.00


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page