Mampukah Filem Seram Thai “Death Whisperer” Box Office Di Malaysia?
Oleh: Zizi Hashim
Satu fenomena sinematik baru telah mulai berakar umbi di Thailand. “Death Whisperer” atau “Tee Yod” telah mewujudkan gelombang kejutan dengan memecah rekod Box Office di Thailand dan menjadi mercu tanda budaya di negara itu. Meraih catatan kutipan lebih 100 juta Baht hanya dalam masa 3 hari ditayangkan. Bakal berada di pawagam Malaysia pada 4 Januari 2024 nanti, mampukah filem seram berdasarkan kisah sebenar legenda urban ini mencipta Box Office di Malaysia pula?
Filem Thai pertama yang ditayangkan dalam IMAX dengan laser, menggabungkan imej tayang 4K Laser sejernih kristal dgn sistem bunyi termaju IMAX – bakal membawa anda ke tahap seram next-level yang dinikmati dari pengalaman sinematik paling advance, istimewa dikuasai semula secara digital menggunakan teknologi DMR (Digital Re-mastering) proprietari IMAX. Filem seram ini dikesan berjaya mencapai sukses melalui storyline-nya yang unik, strategi pemasaran genius, juga faktor kerinduan orang ramai terhadap filem seram berkualiti tinggi.
Secara peribadi, saya sangat sukakan apa saja filem yang berdasarkan kisah benar. Ekspektasi saya pada filem yang menjadi percikan besar di Thailand ini sudah tentunya pada skala hebat. Latar belakang sinematografi klasik membuat saya semakin teruja. Saya imaginasikan hutan gelap, pokok misteri besar, jerit-pekik, hilai-tawa, bisikan roh, rasukan syaitan, kepala terpenggal, peluru sesat, kejar-mengejar di ladang jagung – ironinya, kesemua ini memang ada dipersembahkan.
Filem bermula dengan rumah terpencil di ladang, pekan kecil yang jauh dari kota – perfect! Setidaknya bagi individu yang obses filem seram dan claustrophobia, nuansa ini sangat sempurna untuk mewujudkan rasa takut. Elemen-elemen mistik seperti semangat ‘gelap’ yang harus merasuk manusia untuk menjalankan ‘tugas’nya, memilih seorang gadis innocent, dipercayai datang dari pokok besar yang menggerunkan, pekerja ladang berhenti kerja secara tiba-tiba, perempuan tua hodoh yang mengamalkan ilmu sihir, sheriff yang mengawal desa memanggil pawang handalan membantu – hanyalah kiasan standard kolorasi eksotik Thai, dicetuskan sedikit twist dalam penceritaan kemelut keluarga enam beranak yang berhadapan situasi kompleks misterius secara tiba-tiba.
Saya merasakan babak demi babak dimainkan terlalu perlahan pada permulaan, barangkali atas sebab untuk mudah difahami dan membina momentum berturut-turut dengan kejutan, kejar-mengejar serta tembak-menembak. Paling cemas ketika adegan si abang sulung (memegang watak utama bernama Yak) menembak ibunya sendiri di ladang jagung, menyembur darah dan kepala terbelah, menangisi di mayat ibu tetapi kembali gelabah apabila lembaga menyerupai ibunya itu bangun seperti zombie, mulai menyerang dan mengejarnya pula. Terdapat pelbagai sekuel dalam filem ini yang membuat penonton dalam kesamaran, tertanya-tanya dan tidak senang duduk, menjadikan filem ini wajib tonton.
Pemilihan barisan pelakon yang tampan dan jelita merupakan salah satu faktor filem ini berjaya pecah rekod jualan Box Office serta seronok dan tidak jemu ditonton. Mereka tidak hanya menjual paras rupa, kalau pada pendapat saya, malahan begitu menghayati watak dengan berkesan, dapat terlihat dari body language dan lenggok bahasa, membina karektor tersendiri bagi mencerminkan suasana tahun 1970-an dimana legenda urban ini riuh diperkatakan.
Nadech Kugimiya sebagai Yak, menjadi kegilaan ramai di Thailand, tidak hairan kerana memiliki wajah tampan diletak sebagai watak utama adalah strategi bijak. Disokong Mim Rattanawadee Wongthong sebagai Yam dan Denise Jelilcha Kapaun sebagai Yad, kedua-duanya begitu sedap mata memandang, mengukuhkan lagi potensi untuk memanggil crowd datang beramai-ramai menonton filem “Death Whisperer” ini. Barisan pelakon yang lain juga tidak kurang hebat dan memberi 100% komitmen terbaik mereka.
Bisikan mantera pelik yang dibacakan itulah yang dirujuk sebagai bisikan syaitan, diangkat sebagai tajuk filem, dimana ia membuat setiap yang mendengar tidak sedarkan diri. Penampakan entiti berambut panjang berwajah ngeri hanya dari jauh dan sekejap-sekejap menghilang, menimbulkan sedikit rasa bengang disebabkan kemunculan yang seolah-olah mempersendakan. Sama sekali tidak mengjangkakan akan berakhir sebegitu dan sedikit mengecewakan. Saya memuji dari segi produksi, harus diberi kredit hampir menyamai filem seram dari Hollywood. Sesuai dengan bajet besar yang dikeluarkan, sinematografi yang sangat cantik,
Kalau menurut saya, tidak terlalu seram, tidak banyak jumpscare, cuma lebih banyak bermain teka-teki untuk mengagak bagaimana pengakhiran cerita. Namun sebagai peminat filem seram, adalah menjadi satu kerugian andai ketinggalan menonton filem ini. Mungkin perspektif anda tidak sama dengan saya, jangan lupa pergi tonton 4 Januari nanti.