October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Harmoni Sumbang

Spread the love

Penindasan dalam Industri Muzik Malaysia

Industri muzik tanah air kita sering dianggap oleh ramai pihak sebagai sumbang dan tidak harmoni. Ia dilihat tidak begitu kondusif untuk melahirkan bakat-bakat muzik berkualiti disebabkan amalan prejudis dan diskriminasi yang masih menghantui. Ramai artis-artis tempatan, khususnya yang berada di luar arus perdana, terus menghadapi pelbagai bentuk sekatan dan halangan dalam mengejar impian seni mereka.

Ironinya, Malaysia sebenarnya mempunyai khazanah kesenian yang sangat kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya dan aliran muzik yang boleh dibanggakan. Dari irama tradisional seperti mak yong dan dikir barat kepada rock, heavy metal, jazz, blues dan hip hop kontemporari – bakat tidak pernah kurang di Malaysia. Namun, akibat amalan penapisan ketat dan prejudis yang berleluasa, ramai artis tempatan tidak diberikan peluang yang saksama untuk mengasah dan memartabatkan bakat mereka setanding muzik antarabangsa.

Layanan dwi standard

Antara isu-isu utama yang kerap dibangkitkan termasuk ketidakadilan dalam pemberian penyiaran radio dan TV, ruangan persembahan terhad, penseragaman berasaskan politik atau ideologi, serta sikap superior yang menganggap genre-genre tertentu sebagai ‘muzik rendah’. Stigma sebegini wujud sejak zaman penjajahan lagi di mana muzik dan kesenian tempatan seringkali dilihat sebagai kelas kedua oleh orang asing dan orang tempatan.

Kecaman juga kerap diberikan terhadap badan penapisan seperti LPF kerana dianggap mengamalkan dasar yang terlalu konservatif dan meminggirkan karya-karya muzik yang dianggap kontroversi atau bertentangan norma tertentu. Dasar sebegini jelas mengekang daya kreatif dan kebebasan berekspresi.

Negara kerugian

Di sebalik lambakan konsert tempatan dan luar negara pada tahun 2023, masih ada satu cabaran utama yang dihadapi oleh industri muzik tempatan yang tidak pernah berkesudahan iaitu masalah cetak rompak dan pemilikan hakcipta yang bermasalah. Kemudahan capaian teknologi digital tanpa sempadan pada hari ini menyebabkan karya-karya tempatan mudah disalahgunakan dan disebarkan secara haram secara talian.

Ini mengakibatkan kehilangan pendapatan yang besar kepada para komposer, artis, dan penerbit muzik Malaysia. Menurut satu laporan dari PWC dengan kerjasama Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), negara kehilangan sekitar RM300 juta setahun akibat aktiviti cetak rompak yang membabitkan industri muzik dan filem tempatan. Jelas, keadaan ini menjejaskan lagi usaha artis-artis mencari rezeki yang halal hasil karya tangan dan bakat seni mereka apabila berdepan kesukaran untuk mendapat pulangan modal.

Memberi sokongan dan tingkatkan penguatkuasaan

Justeru, selain mendesak pihak berkuasa untuk meningkatkan usaha membanteras gejala ini, satu gerakan sosial perlu kita bangkitkan untuk menyokong muzik tempatan dengan lebih aktif. Orang ramai perlu didedahkan tentang hak pekerja seni dan diberikan pendidikan mengenai masalah ini. Adalah diharapkan bahawa kerajaan akan mengalokasikan dana khas yang lebih besar untuk industri seni. Walaupun dalam Belanjawan 2023, terdapat peruntukan sebanyak RM127 juta untuk penggiat seni, namun jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding dengan bajet tahun sebelumnya, iaitu RM177 juta. Selain itu, peruntukan tersebut dianggap kurang meluas dan tidak mencakupi sepenuhnya nilai industri seni secara menyeluruh.

Selain itu, galakan komuniti dalam bentuk menghadiri persembahan muzik tempatan, membeli album artis indie secara digital, dan mempromosikan bakat-bakat muzik tanah air di media sosial juga boleh membantu perjuangan seniman untuk terus berkarya. Lagu dan seni yang merentas sempadan politik serta ideologi perlu disatukan sebagai warisan kreatif tanpa batasan.

BENO MUSTAPHA
PELAJAR SARJANA MUDA KOMUNIKASI (KEPUJIAN) KOMUNIKASI ANTARAPERSONAL
Faculty of Communication and Media Studies | UiTM Shah Alam


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page