November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Exists Tunai ‘Janji’, Persembahan Berevolusi

Spread the love

Oleh:  Sakka E

Janji Exists bersama penganjur  untuk menyalurkan sekitar 10 peratus kutipan  harga tiket kepada pihak persatuan Karyawan bagi membantu golongan artis yang memerlukan itu ‘dikotakan’apabila mereka berbesar hati dengan menyerahkan sumbangan berjumlah RM20,000 kepada Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez bagi membantu anak seni yang memerlukan.

Sumbangan yang dikumpul itu adalah hasil kutipan RM10 daripada setiap pembelian tiket konsert Exists X Orkestra yang berlangsung di Mega Stars Arena pada 22 Disember lalu.

“Terima kasih diucapkan kepada semua yang sudir hadir meraikan konsert Exists X Orkestra. Kehadiran anda semua amat kami hargai,” ujar Ezad Lazim yang juga merupakan vokalis kumpulan Exists selain Mamat.

Vokalis kumpulan Exists iaitu Ezad Lazim mewakili anggota kumpulannya terdiri daripada Ajai, Ujang, Musa dan Along ketika memberikan ucapan, menzahirkan penghargaan kepada 6,000 penonton yang hadir meraikan konsert tersebut.

Mengimbau nostalgia menyelusuri 32 tahun mendendang sukma jiwa syahdu, nyanyian merdu dibuai gemalai irama gemersik memukau kalbu. Di pentas mewah suasana penuh warna gilang gemilang.

Exists tampil berkolaborasi bersama dengan 30 orang pemuzik Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, membuktikan kematangan setelah bergelumang dalam belantika muzik yang telah mereka raih setelah lebih tiga dekad dalam industri muzik tanahair.  Inilah segudang cerita yang mereka coretkan buat peminat yang selama ini menyatakan sokongan buat mereka.

Suasana dewan lantas bertukar riuh rendah dengan sorakkan peminat apabila setiap anggota kumpulan Exists naik ke pentas. “Jangan Gentar” menjadi pembuka tirai konsert pada malam yang sungguh istimewa terutama buat para peminat yang telah sekian lama menantikan penampilan kumpulan kesayangan mereka itu.

Ezad tampil dengan memakai sut lengkap rona hijau tampak santai bersahaja namun penuh bergaya terus menghiburkan para peminatnya dengan judul – judul lagu popular mereka seperti “Seperti Dulu”, “Masih Terserlah Ayumu” dan “Hilang Dalam Ramai” sebelum Mamat membuat penampilannya dengan lagu “Sebelum Terlewat” dan “Nota Di Lautan Sepi”.

Khalayak kemudiannya dengan untaian lagu hit lain seperti Rahsia Pohon Cemara, Jesnita, Janji Padamu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Langkah Seiringan dan ditutup dengan Alasanmu.

“Untukmu Ibu” yang dipersembahkan dengan susunan baru khas buat konsert pada malam itu jelas membuatkan jiwa – jiwa yang hadir pada malam itu terpaku terkesima dibuai asyiknya nyanyian mamat bersama – sama nostalgia yang ada pada lagu tersebut.

Persembahan pada malam itu juga menyaksikan Ezad dan Mamat bergilir – gilir mendendangkan lagu – lagu popular Exists yang kekal segar dan ianya juga dinyanyikan bersama oleh para penonton yang majoritinya bukan sahaja tahu lagu – lagu Exists bahkan menjiwai setiap bait – bait senikata dalam lagu – lagu yang didendangkan pada malam itu.

Mamat turut merakamkan ucapan penghargaan buat Ezad kerana telah meneruskan perjuangan kumpulan Exists sewaktu dia mengundurkan diri satu ketika dahulu.

Bukan itu sahaja, aksi bertenaga daripada anggota Exists lain iaitu Ajai selaku pemain keyboard, Musa (bes), Along (gitar) dan Ujang (dram) turut memberi momentum kepada mutu persembahan mereka pada Konsert Exists X Orkestra.

Pentas yang bergemerlapan dengan tatarias pencahayaan hebat juga menjadi suatu elemen yang penting dalam menambah perisa dalam persembahan kumpulan yang telah mencapai tahap ‘otai’ ini.

Exists menyenaraikan sebanyak 25 buah lagu untuk persembahan yang penuh bersejarah itu. Antara lagu – lagu yang mengisi senarai persembahan yang berlangsung lebih 2 jam itu ialah, “Mama Tolonglah Percaya”, Rindu Serindu Rindunya” (Spoon), Dirantai Digelangi Rindu”, “Hidupan Fantasi”, “Tak Mungkin Berpaling”(Slam) dan banyak lagi. 

Bagi pihak penganjur, Persatuan Global Malaysia, jumlah kehadiran seramai 6000 orang adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Ini adalah satu kejayaan dalam penganjuran yang julung- julung kali diadakan oleh persatuan ini dan diaharapkan kecemerlangan ini dapat diteruskan dalam penganjuran konsert – konsert yang akan datang.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page