Suria FM dan UKM Catat Sejarah di The Malaysia Book of Records
Stesen radio Suria FM dan Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan & Profesional, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMShape) berjaya meraih pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai “Universiti Pertama Menjalankan Pengambilan Pelajar dengan Trak LED” menerusi program Jelajah Jom Masuk UKM 2023 bersama crew Suria Wheels, Afiq dan Awien. Ianya telah terpateri pada 12 Disember 2023 yang lalu.
Program Jelajah Jom Masuk UKM 2023 bersama Suria Wheels yang dilaksanakan ekspedisinya bermula dari 8 Ogos hingga 2 September 2023 lalu telah menjelajah empat zon di Semenanjung Malaysia, bermula dengan zon timur di Kuantan dan Kuala Terengganu, zon selatan di Johor Bahru dan Melaka, zon utara di Alor Setar dan Pulau Pinang, dan yang terakhir zon tengah di UKM, Bangi.
Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid (DJ Lin) turut meluahkan rasa syukur dan berbesar hati di atas kolaborasi bersama pihak UKM dan berharap kerjasama strategik dapat diperkukuhkan lagi.
“Kami berbesar hati dapat menjadi rakan strategik UKM dalam melaksanakan program ini. Kolaborasi ini adalah contoh jelas bagaimana inovasi dalam dunia penyiaran dan pendidikan tinggi boleh bersatu untuk mencapai kejayaan yang luar biasa.
“Pencapaian ini bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan UKM sebagai institusi pendidikan terkemuka, tetapi juga membuktikan kebolehupayaan Suria FM sebagai sebuah stesen radio dalam membawa pendekatan kreatif dalam membantu mempromosikan pendidikan tinggi di Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, menurut Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr Mohd Ekhwan Toriman, sebagai sebuah universiti yang bertaraf dunia, komitmen UKM melampaui sempadan bilik kuliah, dan inisiatif ini mencerminkan hasrat UKM untuk menjadikan pendidikan mudah diakses oleh semua.
“Dunia pada hari ni bergerak pantas dan pelbagai teknologi baharu sentiasa muncul pada setiap masa, dan kita mestilah sentiasa peka dengan perubahan semasa. Kami di UKM juga sentiasa terbuka dalam menerima dan melaksanakan idea-idea baharu yang bernas bagi membolehkan teknologi yang ada dapat dimanfaatkan semaksima mungkin, khususnya berkaitan dengan perkembangan pendidikan,” katanya.