November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Ernie Zakri Nafi Tarik Diri Sertai Separuh Akhir Muzik Muzik

Spread the love

Ketiadaan nama Ernie Zakri selaku penyanyi asal lagu Astana pada pengumuman 30 lagu yang layak ke Separuh Akhir Muzik Muzik 38 menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan ramai.

Susulan itu, nama penyanyi Ernie terheret apabila didakwa menarik diri daripada menyanyikan lagu Astana yang juga ciptaan bersama Omar K, Syamel dan Syazriq Azeman.

Malah, untuk rekod lagu itu dicalonkan selepas Ernie menyertai syarikat rakaman Universal Music Malaysia pada Julai lalu.

Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Persatuan Penerbit Malaysia (MPA) dalam satu kenyataan berkata, mereka masih dalam rundingan dengan Media Prima mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam program Muzik Muzik yang disiarkan di TV3.

Pengerusi RIM Rosmin Hashim berkata, sesi dialog sudah dibuat membabitkan semua pihak sejak Ogos lalu namun tidak dapat mencapai penyelesaian yang memuaskan.

“Banyak ahli kami yang terdiri dari syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa tidak mencalonkan rakaman lagu artis mereka dalam program Muzik Muzik tahun ini kerana tidak bersetuju dengan klausa tertentu dalam borang pencalonan lagu program itu.

“Kami sudah mengadakan sesi dialog bersama pihak pengurusan tertinggi Media Prima mengenai perkara ini pada awal Ogos tahun ini dan sudah mengetengahkan klausa bermasalah dalam borang pencalonan tersebut buat perhatian mereka.

“Walaubagaimanapun, sehingga kini, kami masih belum dapat penyelesaian yang memuaskan sepenuhnya berhubung perkara ini dan berharap dapat mencapainya dengan segera untuk klausa dan isu berkenaan”, katanya.

Sementara itu, Universal Music Malaysia berkata, Ernie selaku artis yang kini di bawah naungan Universal Music Malaysia, cakna mengenai kenyataan RIM dan MPA mengenai terma dan syarat pencalonan lagu dalam Muzik-Muzik yang masih dalam perundingan.

“Ernie Zakri menyatakan bahawa beliau sentiasa mematuhi prosedur label antarabangsa Universal Music Malaysia serta menghormati pendirian kedua-dua persatuan iaitu RIM dan MPA yang mewakili syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa serta pemegang hak rakaman bunyi/video dan karya di Malaysia,” katanya.

Universal Music Malaysia juga menjelaskan Ernie tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan pencalonan dan penyertaan lagu Astana sepertimana yang dilaporkan dalam beberapa media.

Dalam pada itu, Ernie menafikan dakwaan dia sengaja tidak mahu menyanyikan lagu Astana.

“Saya adalah penyanyi asal dan komposer lagu ini. Sudah tentu saya nak menyanyikan lagu ini. Malah, tidak pernah cakap saya tak nak nyanyi atau tarik diri. Namun, disebabkan terdapat beberapa terma perbincangan yang belum selesai antara pihak RIM dan MPB, ia menjadi penghalang untuk saya mempersembahkan lagu ini pada Separuh Akhir Muzik Muzik 38,” katanya.

Ernie adalah penyanyi asal serta penulis lagu Astana bersama dengan Omar K, Syamel dan Shazriq Azeman yang tercalon ke Separuh Akhir Muzik-Muzik (SFMM) ke-38 seperti yang diumumkan pada majlis sidang media yang dianjurkan oleh TV3 pada 10 Disember lalu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page