November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Inisiatif Positif ‘Jelajah Kopi Bermuzik’ Penuh Ekspresif

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Program yang  bermula pada lewat September tahun ini, mengajak belia untuk lebih menyukai dan mendalami seni muzik secara serius dengan menjelajahi lokasi demi lokasi berbekalkan intipati ilmu sambil-sambil minum kopi. Pendekatan santai ini adalah ilham bijak yang berjaya menghimpun belia masakini untuk mempertingkatkan ilmu dan minat dalam menceburi industri muzik yang begitu banyak cabang seninya. Jelajah pertama telah memilih Melaka sebagai lokasi pertama yang telah berlangsung pada 2 Disember lalu. Setiap showcase pada penjelajahan itu menampilkan 3 artis indie tempatan dan berdurasi selama 2 jam. Persembahan akustik secara eksklusif diselang-selikan dengan perkongsian ilmu mencipta lagu dan pengalaman mereka berkecimpung di dalam industri muzik.

Berpeluang menyaksikan siri jelajah edisi KL pada 9 Disember, bertempat di Whatever Works Coffe Keramat Kuala Lumpur, perkongsian ilmu muzik bersifat ala-ala talkshow itu bermula tepat jam 8 malam. Ruang yang agak limited penuh sesak dengan hadirin pelbagai usia, bukan saja belia, yang datang untuk berhibur, minum kopi dan sama-sama memberi apresiasi seni. Barisan artis-artis indie yang terlibat pada malam itu ialah Hawa, Orkes A. Hizadin, Satwo dan Leaism. Mereka tampak begitu bersemangat dan lantang bercerita tentang pengalaman mereka bagaimana mula terjebak bermain muzik, arah tuju dan harapan mereka terhadap program dan industri muzik tanahair, umumnya.

“Sebagai pemuzik, kalau diberi pilihan, kami memang banyak buat lagu lebih kepada selfishness dan kepuasan diri sendiri sebenarnya. Sebab saya rasa mostly musician technically asalnya buat muzik sebab syok sendiri.” Eff Hakim dari band Hawa berkongsi cerita pada malam itu. “Tapi kita duduk dekat duniawi ni, kat Malaysia ni, kita kena realistik lah, so kita pun nak buat income juga lah. Kita tak boleh lah syok sendiri sangat.”

Mengakui kebenaran kata-kata Eff Hakim itu, Ilyahida atau Leaism menambah rencah “Saya bermula ketika usia 23 tahun, agak terlambat kalau dibandingkan dengan Billie Eilish, Britney Spears, Fergie, mereka semua start masa umur 16-18 tahun. So agak mustahil bagi saya yang bermula lewat untuk mencapai level Taylor Swift pada usia 30 tahun. Oleh itu saya terima kenyataan kalau saya buat lagu ianya hanya akan pergi ke mana ia pergi. Tapi saya ok je tak famous tu tak semestinya banyak duit ya.” disahut gelak ketawa yang lain.

Borak-borak santai berterusan dengan perkongsian pengalaman dari Orkes A. Hizadin dan Satwo sebelum showcase bermula sekitar jam 9:30 malam. Untuk makluman, Jelajah Kopi Bermuzik ini merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Rakita 107.9 yang turut menyokong gaya hidup Rakan Muzik di bawah Rakan Muda. Dalam usaha memperluaskan minat dan menarik partisipasi lebih ramai anak muda menyertai program seperti ini, KBS telah mempertontonkan sebuah lifestyle menarik yang happening dan bermakna.  Tahniah Rakita 107.9 kerana telah berjaya menghidupkan Jelajah Kopi Bermuzik sebagai satu inisiatif aktif yang menggalakkan lifestyle positif di kalangan anak muda melalui muzik.

Ini dapat dilihat dengan kehadiran penuh sesak pada malam 9 Disember yang lalu, meskipun hujan renyai-renyai tidak menjadi hal. Platform yang diwujudkan dan diberi gelar Jelajah Kopi Bermuzik ini tidak disia-siakan, apatah lagi ianya adalah percuma. Setiap peserta dapat menimba ilmu tentang penciptaan lagu dan berpeluang berdialog secara langsung dengan artis-artis yang berpengalaman. Dengan konsep ‘coffee talk’ peserta merasa lebih terbuka untuk berkongsi pengalaman mereka sendiri untuk mendapatkan nasihat dan tunjuk ajar secara ‘heart to heart’.

Leaism membuka persembahan muzikal malam itu dengan gabungan muzik tropical soul, bunyi elektronik dan chill vibes yang bersatu dengan vokal husky unik milik Ilyahida. Pencipta lagu kelahiran Kuala Lumpur yang membesar di kepulauan telah membantu beliau meneroka ‘sound’ nya yang tersendiri melalui stail penulisan dimana emosi bergabung dengan alam. Nuansa muzik sonik Leaism banyak bercerita dan dipengaruhi oleh interaksi alam semulajadi dan karakter manusia. Menghiburkan semua dengan 5 lagu, antaranya lagu baru berjudul “Suri” yang memiliki melodi begitu mempesonakan dan “Murka Jiwa” turut berkumandang. Malam yang sejuk kerana hujan renyai mulai terasa hangat dibuai kemerduan vokal Leaism.

Beralih pula kepada Satwo yang juga menghidangkan 5 lagu, salah satunya ialah “Untok Kita (Hanya Kita)” dalam versi akustik. Crowd yang semakin ramai memenuhi ruang turut sama bernyanyi seiringan. Pasangan suami isteri, Rafiz dan Maz, tampil dengan irama bernuansa gelap, mistik, seram dan berhantu, menjadikan identiti muzik mereka kreatif, rare dan penuh elemen surprise. Vokal harmoni dari 2 suara bersulaman jelas mencerminkan keakraban dua jiwa yang bersatu emosi, sesuai dengan nama band mereka Satwo. Bernaung di bawah label Luncai Emas memberi sedikit kelebihan kepada Satwo dari segi promosi dan lebih dikenali. Folk Rock atau Psych Pop adalah sajian utama mereka.

Mengisi slot seterusnya, Hawa yang diwakili Eff Hakim seorang diri bermain gitar berdendang penuh yakin. Memilih cover “Lonely Day” dari SOAD mendapat sorakan gamat dari crowd yang turut sing-along. Ternyata Eff Hakim tetap mendapat sokongan padu dari peminatnya meski band lama telah terkubur. Menjalani hari-hari yang agak berat selepas ‘kehilangan’ band lama, Eff Hakim bangkit bersama Hawa malah lebih bagus dari sebelumnya. Definasi cekal yang dipersembahkan melalui “Jalan Terus” harus dipuji kerana tidak semudah itu untuk membina semangat semula. Semoga semakin maju jaya buat Hawa.

Jam hampir menunjukkan 11 malam, tidak ada yang berganjak tetap setia menantikan Orkes A. Hizadin menjelma. Kopi dah habis, mata belum mengantuk, apalagi crowd berdansa penuh energi bersama Orkes A. Hizadin dengan penuh gembira. Mulai dikenali sejak 2016 dengan berbekalkan genre Alternatif Rock, sememangnya mereka telah mengumpul peminat tersendiri. Dengan memainkan lagu dari hati, siapa yang tidak jatuh hati pada persembahan mereka. “Remaja”, “Merajuk”, “2.6 Bintang”, “Rezeki” dan ”Kejayaan” meninggalkan kenangan manis pada setiap hati yang hadir pada malam 9 Disember mengakhiri program Jelajah Kopi Bermuzik edisi kali ini. Semoga akan dapat berjumpa lagi, teruskan menghasilkan karya-karya kreatif yang positif dan ekspresif.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page