October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Aina Abdul ‘Terus Hidup’ di Singapura

Spread the love

Oleh:  Zizi Hashim

“Ini kali pertama saya akan mengadakan konsert di Singapura. Sebelum ini saya hanya memenuhi undangan menyanyi dengan artis-artis lain tapi kali ini memang konsert saya sendiri. Alhamdulillah, syukur.”

Aina Abdul membuka cerita ketika ditemui pada sidang media pada 27 November lalu yang di adakan di Menara Kuala Lumpur, selepas menghiburkan semua yang hadir dengan 2 buah lagu popularnya “Kamu” dan “Puas Sudah”. Senyum bangga dan sedikit tersipu-sipu, Aina menyambung “Dengan kerjasama dari Neptune Presents, impian saya untuk mengadakan konsert solo di Singapura menjadi kenyataan. Saya akan bertemu empat mata dengan peminat-peminat di sana, akhirnya.”

Lebih istimewa lagi, persembahannya akan diiringi 15 pemuzik professional yang diterbangkan khas dari Malaysia di bawah pimpinan pengarah muzik ternama, Mac Chew. Rangkaian 26 lagu-lagu hits Aina bakal dipersembahkan menerusi konsert yang dijadualkan berdurasi 2 jam 30 minit itu nanti.

Berikutan dengan kejayaan 3 konsert solo di Malaysia, nawaitu untuk melebarkan sayap terbang lebih tinggi lagi, sesuai dengan kematangan perjalanan seni seorang Aina Abdul, mengiktiraf beliau di pentas antarabangsa dengan bakat dan vokal padu yang tidak dapat dinafikan kehebatannya.

“Perancangan konsert ini sejak 3 bulan lalu lagi, kejutan mesti ada tapi saya tak mahu cerita lebih-lebih.  Apa yang saya boleh janji, ia tentunya akan menjadi momen terindah buat saya dan peminat di Kota Singa nanti.”ujar Aina.

Tanggal 6 Januari 2024 adalah tarikh keramat yang dipilih, berlokasi di The Theatre at Mediacorp berkapasiti 1,800 penonton, dengan judul konsert “A Night with Aina Abdul Live In Singapore”. Sementara itu, Nabila Huda selaku penganjur konsert ini berkata, Aina adalah artis tempatan pertama yang dilamar Neptune Presents untuk konsert solo di seberang tambak.

“Atas permintaan peminat di Singapura, saya dan suami sebulat suara memilih Aina kerana kami percaya dengan populariti dan kredibiliti beliau dari segi kehebatan vokal dan imej kontroversi yang sering ditampilkan. Aina sudah lebih dari layak.”

Seperti yang semua tahu, Aina sangat dikenali dengan trademark busana-busana unik dan kreatif setiap kali kemunculannya, begitu juga akan diberi perhatian penuh bagi konsert di Singapura nanti.

Bekerjasama dengan pereka fesyen terkemuka, Aina akui sedang sibuk menyiapkan busana untuk konsert akan datang bagi menyerlahkan personaliti artistiknya. Oleh itu setiap perancangan dibuat dengan teliti dalam memberikan yang berkualiti. Bukan itu sahaja, pengalaman visual yang luar biasa juga akan dapat dinikmati bagi pembeli tiket konsert di Singapura. Satu berita baik untuk semua yang mengapresiasi seni.

Terselit sedikit elemen surprise apabila Aina merahsiakan sekiranya terdapat penyanyi lain yang diundang pada konsert itu nanti. “Kalau nak tahu, kena beli tiket!” katanya ketawa kecil. Dengan senyum tak lekang dibibir, penyanyi genit bervokal emas ini jelas menggambarkan keterujaan beliau dari raut wajah yang penuh antusias. “Sudah tentu saya berasa sedikit nervous tetapi dalam masa yang sama tidak sabar dah nak terbang ke sana.” Untuk tampil kelainan, beberapa buah lagu istimewa akan Aina bawakan pada konsert itu, sepertimana gimik yang disulami dalam konsert terdahulu.

Tidak cukup dengan 2 lagu yang didendangkan pada sidang media kelmarin, Aina memberi gambaran dan mengharapkan kehadiran ramai peminat untuk berhibur dengan variasi lagu-lagu beliau dengan jualan tiket pecah panggung. Apa tunggu lagi, tiket boleh di perolehi dengan harga SGD88 sehingga SGD258 menerusi pembelian di www.ainaabdul.my


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page