Mungkin Nanti Kita Jumpa Lagi?” – Ariel Noah
Oleh: Zizi Hashim
Rencananya selepas konsert ini nanti Noah mahu rehat panjang, maka nya antisipasi showmanship pada malam konsert 11 november mesti pada tahap paling cemerlang. Mesti kena perform all out sebab tiket semua dah sold out!
Vibes konsert Noah kali ini memang ‘lain macam’ buat hati 5 ribu lebih sahabat Noah rasa tak tenteram, semuanya tak boleh duduk diam, pastinya takkan terlupa kan cerita 1001 malam. Ruangan Mega Star Arena KL penuh sesak, terpaksa masuk berasak-asak. Noah punya pasal sanggup datang awal walaupun terpaksa beratur punya lah panjang dari petang, ramai nya memang tak boleh bawa bincang.
Tahun lepas tak cukup puas, Noah datang lagi tahun ini, tukar lokasi tambah kapasiti namun masih tak dapat tampung kuantiti Sahabat Noah yang tak terkira dengan jari. Kenapa bukan Axiata Arena, ramai yang tertanya-tanya? Untuk nama sebesar Noah yang punya peminat melimpah ruah, kalau buat di Bukit Jalil baru puas peminat nak jerit-jerit “Ariel! Ariel! We want Ariel!” Ini bererti Noah kena datang lagi, tak dibenarkan rehat lama sangat.
Tahun 2003 kali pertama datang Malaysia dengan nama Peterpan. Dari berenam sekarang bertiga – Ariel (vokal), David (kibod) dan Lukman (gitar) 2012 sepakat ubah nama menjadi Noah, nama yang bawa tuah. Masa silam yang hitam sudah buang jauh-jauh, masa depan banyak lagi nak tempuh.
Tepat detik 8:50 malam, Ariel muncul dengan gimik dari bawah pentas berkuasa hidrolik, sekaligus mengundang jerit-pekik. Tampil bersahaja namun penuh aura pesona, lagu “Topeng” membuka rentak pertama, diikuti rapat oleh “Di Atas Normal” dan “Kisah Cintaku”. Konsert baru saja bermula namun nuansa di seluruh Mega Star Arena sungguh luar biasa. Ariel cukup bijak berinteraksi, penuh energi lari sana sini, sesekali layan peminat selfie, senyum tak putus dibibir, bikin peminat cair. “Menunggumu” dan “Separuh Aku” mengajak semua turut berlagu, sebelum dikejutkan dengan penampilan khas Joe Flizzow ketika lagu baru “Suara Dalam Kepala” diperdengarkan.
Pentas baru nak panas, tiba-tiba Ariel muncul di tingkat atas, sambil mengalunkan lagu “Bintang Di Surga” berjalan ke sebelah kiri pentas dimana terdapatnya pentas mini unik untuk sessi akustik. Ariel memetik riff gitar lagu hits “Yang Terdalam” menghiasi malam, sahabat Noah bertepuk tangan kuat penuh semangat. “Menemaniku” dan “Tak Lagi Sama” bergema sebelum Ariel sekali lagi menghilang. Lukman mencuri tumpuan dengan mengajak audiens sing-along lagu “Semua Tentang Kita” berakustika bersamanya.
Ariel menjelma lagi di pentas utama, “Ku Katakan Dengan Indah” mengisi suasana tanpa menunggu lama. Noah telah beraksi tanpa henti, kejutan demi kejutan, tidak memberi ruang peminat untuk rasa bosan. Setiap lagu menitip pesan, mengusik kenangan dan buat semua terkesan. Lukman mengalunkan riff familiar yang popular “Ada Apa Denganmu” merasuk telinga. Tangan-tangan berhayun di udara mengikut irama dan semua nyanyi bersama. Usai lagu, Ariel bertanya “Ada siapa-siapa yang dapat bunga?” Sambil semua mata meneroka tercari-cari bunga yang dimaksudkan. Gadis bertuah bernama Syuhada yang menemukannya, lebih bertuah di ajak naik ke pentas. Bagai nak pengsan apabila melihat Ariel berdendang lagu “Ini Cinta” istimewa buat Syuhada, duduk di hadapannya, hanya mereka berdua bertentang mata sambil mengalunkan senikata “ini cinta, bukan yang lain nya” seluruh arena menjerit cemburu. Semua mahu duduk di kerusi itu. Syuhada dapat lebih banyak bunga. Tersiksa jiwa raga yang lain dibuatnya!
Riuh rendah belum reda, Noah lanjut lagi dengan seleksi medley “Mencari Cinta”, “Wanitaku”, “Cobalah Mengerti”, “Khayalan Tingkat Tinggi” dan “Dibalik Awan”. Benar-benar kena dengan tagline konsert ‘menemaniku’ sedari awal sampai hampir usai, sahabat Noah hafal semua lagu dan ‘menemani’ Noah menyanyikan kesemuanya bersama. Satu rasa penuh bermakna yang akan dikenang sampai bila-bila. Tak sedar sudah 3 jam ‘bercinta’, Noah menukar mood sayu apabila Ariel berbicara “Sudah lebih 20 tahun usia band kami, sampai masa untuk rehat panjang. Terima kasih semua Sahabat Noah untuk 20 tahun yang indah. Mungkin Nanti kita jumpa lagi? Terus doakan kami…”
Berkumandang sentuhan nada lagu “Mungkin Nanti” penuh emosi. Semuanya tak rela Noah rehat panjang, semuanya bagai tak mahu pulang. Semuanya rela nyanyi sampai pagi sebab tak izinkan Noah pergi. Semua risau, semua dah angau. Namun ini bukan mimpi tapi realiti. Setiap yang bermula pasti berakhir, konsert paling happening tahun ini bagi saya secara peribadi. Tahniah Yolo Malaysia dengan pengalaman konsert sehebat ini dengan pentas indah yang gah, percikan bunga api dan kepulan asap, sistem bunyi padu dan lighting mantap, semoga akan bawa lagi Noah kami berharap. Buat Noah, cipta lebih banyak melodi indah, kita jumpa lagi selepas hilang lelah. Tak bisakah?