Skala Suhu Fahrenheit ‘Reloaded’ yang Rugged
Oleh: Zizi Hashim
Malam 5 November terasa bahang. Puas berkipas tetap rasa panas. Suhu penghawa dingin sudah pada tahap maksima, pun tetap terasa haba. Eh, dah kenapa? Rimas dan sedikit lemas. Melihat pentas kecil yang kosong, adrenalin teruja mengalir laju, rasa sudah tak sabar lagi menunggu. Crowd sedikit demi sedikit mulai memenuhi ruang The Pirates Club KL yang agak sempit. Bangku semua dah kena booked, terpaksalah berdiri selagi boleh menyelit.
Tepat jam 10 malam, satu persatu ahli band naik ke pentas. Sudah sekian lama tidak melihat mereka, wajah-wajah familiar yang pernah popular dan memeriahkan arena muzik tak lama dahulu. Sebut nama Fahrenheit, tipu lah kalau tak ingat. Bukan calang-calang barisan pemuzik, dan dalam comeback kali ini ada vokalis baru dan muda yang dilantik. Terbentuk seawal tahun 1995, lahirnya 3 buah album, variasi lagu-lagu hits, Fahrenheit membahang kembali dengan visi terkini. Yan (gitar utama), Ajaq (bass) dan Joe (dram) adalah anggota asal yang tinggal, dibantu oleh 2 line-up baru yang padu.
Memperkenalkan diri dengan nama Mayuji sebagai penyanyi, introduksi gitar kedua bernama Paul melengkapkan lagi posisi. Tanpa lengah, Fahrenheit membuka “Buku Cinta Hampa” untuk lagu pertama. Penuh debu dan sawang labah-labah, Fahrenheit memilih sudut paling teredup bersama layanan sepenuh jiwa membuat semua peminat mula bernostalgia. Bagaikan bercerita tentang rasa hampa dan cita-cita yang tergendala, Fahrenheit berharap masih ada ruang untuk terbang tanpa menoleh lagi ke belakang.
“Sabar Menanti” menghangatkan lagi darjah celcius malam. Lagu popular ini mengundang sorak dan sing-along serentak dari semua yang datang. Vokal merdu Mayuji kedengaran sangat serasi dengan melodi lagu dan muzikal band, beserta showmanship yang just nice tidak berlebih-lebih. Ngam sangat! Meski tidak dapat lari dari kedengaran ala-ala Ary, beliau tetap punya gaya dan karisma tersendiri. Showcase reloaded ini aku labelkan betul-betul rugged. Masing-masing memberi energi maksima demi memastikan comeback mereka diterima.
Lagu hard rock “Teman Taukeyku” berkonsep heavy dan rancak, buat suasana kelab bertukar rentak. Temperature baru nak mendidih, tukar balik mood sedih. “Sayap Ilusi” pun berpuisi. Joe tiba-tiba bertukar posisi dari drummer ke vokalis. Lagu cover dari Wings ini tidak pernah gagal mengajak semua menyanyi bersama. Ada 3 lagi lagu cover yang dipersembahkan malam itu iaitu “Isabella”, “Highway Star” dan “Mungkin Nanti” yang dinyanyikan oleh sang gitaris, Paul. Tepuk tangan yang kuat diberikan sebaik usai setiap lagu.
“Kelmarin Yang Pijar” sebuah lagi lagu hits mereka diperdengarkan, diikuti dengan “Ana” dan “Alang-Alang” yang makin menjadikan malam kian berbahang. Secara jujur, Fahrenheit wajar diberi venue yang lebih besar dari kelab sebegini. Namun untuk mini showcase yang bertujuan memberitahu kembalinya mereka ke persada muzik semula, ok lah masuk akal juga. Usaha yang ditunjukkan oleh Encik Azmey dan The Pirates Club selaku penganjur showcase harus dipuji. Meskipun dalam songlist, bukan lagu terakhir, tapi klimaks show malam itu secara peribadi bagi aku ialah ketika “Kasih Orang Muda” berkumandang.
Sesuai tajuk lagu, aku memang rasa macam muda semula. Sesungguhnya kehangatan Fahrenheit mengajar peminat setia mereka merasa berani untuk sama-sama menyanyi. Nuansa malam turut dirasakan berseri dengan kisah lara cinta yang disebut-sebutkan sebelum malam berakhir. Terimbas memori, melodi lagu lama buat bulu roma berdiri dan mahu dengar lagi dan lagi. Masih malar segar dan tak puas dengar!
Terbukti lah bahawa Fahrenheit bukan sekadar populariti tetapi lebih pada kualiti. Bukan memuji tapi realiti. Alang-alang hidup, mesti ada perjuangan, dan Fahrenheit mesti teruskan perjalanan. Fahrenheit terbentuk sekali lagi setelah hujan renyai, comeback menjadi, harap-harap muncul pelangi.