Berdakwah Dalam Muzik Menerusi Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi
Peminat bukan sahaja bakal disajikan dengan lagu-lagu berpaksikan relegi tetapi juga akan mendapat ‘barakah’ yang bakal diterjemahkan menerusi Konsert Tombo Ati Ridho Ilahi – Opick & Sakti Live In Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Zepp KL pada 11 November ini.
Konsert yang turut menyaksikan kemunculan semula bekas gitaris kumpulan Sheila On 7 pastinya bakal menyaksikan sisi berbeza Sakti atau nama sebenarnya Salman Al- Jugjawy selepas meninggalkan band yang cukup popular dengan lagu Sephia itu.
“Saya akui pada awalnya saya agak keberatan untuk tampil di konsert ini, namun setelah dipujuk dan di beritahu tujuan sebenar konsert ini di adakan baru lah saya memberi tanda setuju”, ujar Sakti ketika di temubual media secara maya hari ini.
“Jika niatnya bukan sekadar konsert tapi ada muatan dakwah, saya yakin akan ada bantuan Allah di situ. Setiap orang Islam ada sumbangan meneruskan dakwah Rasulullah sebagai seniman. Nada-nada yang indah itu dipakai untuk kuatkan rohani kita, jadi kenapa tidak?. Semoga saya dan Opick mampu persembahkan yang terbaik buat saudara-saudara Islam di Malaysia,” katanya
Sementara itu, Aunur Rofiq Lil Firdaus atau lebih mesra dengan panggilan Opick menyatakan rasa bangganya setelah pihak penganjur menggunakan salah satu lagu nya sebagai judul konsert ini.
“Saya berasa cukup senang, setelah diberitahu oleh Iman Tang bahawa penganjur akan menggunakan judul Tombo Ati (Ubat Hati) sebagai tema konsert kali ini. Alhamdulillah, aku bikin lagu itu tidak mengikut apa yang trend tetapi harus datang dari hati”, ujar Opick
“Jadi jika sentiasa perlu mengejar trend, lama-lama ianya akan hilang diri sendiri. Nah ini buktinya, ianya kekal malah ianya menjadi makanan jiwa dan hati”, katanya lagi.
“Ini akan menjadi momen peribadi buat saya sendiri kerana bertemankan Sakti di atas panggung yang akan mengalunkan dengan indah karya-karya saya”, tambah Opick
Iman Tang yang mewakili penganjur, Icon Entertainment turut mengakui bahawa untuk mendapatkan persetujuan daripada Sakti sememangnya sukar.
“Icon Entertainment sebenarnya cukup bertuah kerana Sakti bersetuju tampil di panggung dan Malaysia melakar sejarah kerana beliau belum pernah muncul memetik gitar dalam konsert penuh walaupun di Indonesia.
“Sebagai penganjur dan sahabat, saya percaya Sakti juga boleh menyebarkan dakwah menerusi kecintaannya terhadap muzik. Apatah lagi dia akan memainkan karya-karya dakwah yang telah digarap cukup indah daripada Opick dan selama ini menjadi ‘santapan jiwa’ buat kita semua”, ujar Iman Tang.
Pemilihan tarikh 11.11 itu juga punya signifikasinya tersendiri, sementara pemilihan warna putih sebagai tema konsert ini juga terdapat maksud yang tersirat.
Konsert ini bukan sekadar hiburan semata-mata, malah ianya sarat dengan dakwah yang diimplimentasikan dengan semangat solidariti terhadap apa yang menimpa Palestine. Tidak ketinggalan, tabung sumbangan akan dibuka kepada penonton yang mahu menderma.
Menerusi konsert dibawa Al Kauthar Eduqids, penonton bakal dihiburkan dengan penyanyi undangan iaitu Nur Fazura, UNIC, Zizi Kirana, Adi Priyo dan Yabang Khalifah.
Peminat boleh dapatkan tiket konsert yang bermula dari RM228 (Cahaya Terang), RM268 (Dealova), RM288 (Buat Aku Tersenyum), RM308 (Tombo Ati) & RM4, 888 (Di Bawah Langitmu) untuk lapan orang menerusi https://www.ticket2u.com.my/opickdansakti.