Istana Budaya Kembali Bergema Dengan Konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia
Irama keroncong mempunyai nilai estetika yang tersendiri, selain iramanya yang merdu ianya mencakupi antara akar muzik tradisional yang tidak harus dipinggirkan.
Justeru itu, Irama Studio akan menganjurkan konsert Apresiasi Irama Keroncong Malaysia yang akan di adakan di Istana Budaya pada 4 dan 5 Ogos nanti. Konsert ini juga turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital serta Mycreative Ventures Sdn Bhd.
Dato’ Awie, Dato Khadijah Ibrahim, Dato Yusni Hamid dan Datin Alyah adalah antara artis yang akan memberikan ‘nyawa’ kepada irama keroncong Malaysia. Rizal Ahmad (Juara Bintang Nostalgia 2013), Jamilah Abu Bakar (Puteri Keroncong), Rasyidah Abd Rahim (Bintang Klasik 2012) dan Han Byul juga akan turut membuat persembahan pada konsert tersebut.
“Konsert ini bukan hanya memberi fokus kepada peminat tegar irama tersebut, lantaran itu kami mengundang penyanyi genre berlainan untuk memberi lebih warna selain terus memperkasakan irama keroncong Malaysia”, ujar Haji Mahzan Manan ketika sidang media konsert berkenaan pada 8 Jun lalu.
Haji Mahzan Manan yang juga pengasas Irama Studio berharap konsert ini akan mendapat tempat di hati para peminat selain alunan lagu-lagu yang pastinya mengimbau kembali nostalgia lagu-lagu lama yang diberi sentuhan keroncong di dalamnya.
“Saya cukup teruja kerana di beri peluang untuk membawakan lagu berirama keroncong malah saya anggap ianya satu penghormatan buat diri saya apabila digandingkan dengan Dato Yusni Hamid dan Dato Khadijah Ibrahim”, ujar Datin Alyah.
Sementara itu, Dato Yusni Hamid yang turut melahirkan rasa terima kasih kepada pihak penganjur yang terus berusaha untuk mengangkat irama keroncong agar terus diminati oleh generasi sekarang.
“Saya akan memberikan yang terbaik untuk konsert itu nanti, tidak banyak yang harus saya kongsi dan apa yang pasti ada kejutan yang akan saya berikan. Samada saya akan menyanyikan lagu saya sendiri atau menyanyikan lagu orang lain, itu kena tunggu”, ujar Dato Khadijah Ibrahim.
Han Byul pula melahirkan rasa ‘gementar’ apabila buat pertama kali beraksi di pentas Istana Budaya, namun disebalik rasa gementarnya Han yang kini berusaha keras untuk menghayati setiap bait lirik dan melodi juga cukup teruja apabila dapat berkongsi pentas bersama idolanya Dato Awie.
Konsert yang berdurasi lebih 90 minit itu nanti akan dilatari oleh pemuzik yang cukup berprolifik dari Orkestra Keroncong Irama Perindu. Peminat boleh mendapatkan tiket secara online di www.ilassoticket.com.my.