October 18, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Terjemahan Istilah Cinta 4 Dekad Dari Anuar Zain Memukau Peminat

Spread the love

Teks Oleh: Sakka E

Curahan lebat hujan mempermai damaikan malam, dibuai gemersik suara sang penghibur hebat melagukan rangkai kata cinta membenam lara hati si pemuja melerai rindu dendam sahaya cinta.

Nuansa konsert “Anuar Zain 40th Anniversary” bermula jam 9 malam menerusi lagu pembukaanya “Kaulah Satunya” menyaksikan penampilan gah Anuar Zain yang diangkat ke muka pentas dengan penuh gaya lantas merubah atmosfera di Stadium Melawati, Shah Alam yang tadinya damai kini menjadi riuh rendah oleh sorakkan para peminatnya.

Kredit foto: Anuar Zain Network & Jiobuddy

Aura stadium yang sungguh bertenaga terus menerus menggamatkan persembahan malam itu seakan tiada istilah letih, nyanyian dari lagu ke lagu sentiasa diiringi oleh peminat yang rata – rata sudah hafal dan khatam dengan semua lagu Anuar.

“Sesucinya Cintamu”, “Musim Berlalu”, “Jangan Bersedih Lagi”,”Bila Resah” adalah antara lagu – lagu yang dinyanyikan yang membuatkan penonton bangkit dan berdansa Bersama sambal melaungkan “We love you Anuar!!!” sambil melambaikan sepanduk tertulis “WE LOVE YOU” Bersama lampu hiasan yang dibekalkan oleh pihak penganjur kepada setiap pengunjung yang hadir pada malam itu.

Pesona luar biasa Anuar diteruskan dengan judul – judul popularnya seperti “Permata”, “Suria & Siarra”, “Mungkin”, Teman Terulung”, “Sempurnakan Aku”, “Kerna Aku Cinta” diwarnai oleh tatarias pencahayaan dan layar belakang yang membuatkan para penonton berada di awangan terbang dalam alunan indah sejahtera cinta.

Istimewa malam persembahan ini juga dihiasi dengan kehadiran artis – artis dan selebriti terkenal tanahair seperti Dato’ Shiela Majid, Misha Omar, Ziana Zain, Rozita Che Wan dan ramai lagi namun, paling istimewa ialah Raja Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin  telah berkenan mencemar duli menghadirkan diri menyaksikan konsert yang julung – julung kali diadakan ini.

Merdu suara Anuar tidak perlu dipertikaikan lagi walaupun beliau belum pulih sepenuhnya dari demam dan batuk yang melanda beliau lebih kurang seminggu sebelum konsertnya. Namun, menurutnya, berkat doa dan sokongan padu tanpa henti dari para peminat kesayangannya meniupkan api semangat lantas memberikannya lebih kekuatan untuk menjayakan persembahannya.

Jiobuddy selaku penganjur utama bersama rakan kolaborasi, Altus Prohouse dibantu oleh pengurusan artis, Anuar Zain Network jelas telah menjalankan tugas masing – masing dengan cemerlang memastikan segala – galanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah dan ianya haruslah diberikan pujian dan semoga kecemerlangan ini dapat diteruskan pada acara – acara anjuran yang akan datang.

Kali terkahir penyanyi lagu “Kain Pelikat” ini mengadakan konsert ialah pada tahun 2013, dan kini 2023, setelah 10 tahun penantian peminat tegarnya nyata terubat, kepuasan jelas terpancar di setiap wajah yang hadir pada malam itu dan yang hiburkan selama hampir 3 jam dengan lebih dari 20 lagu- lagu hits beliau seperti “Kembalilah Kasih”, “Ketulusan Hati”, “Andainya Takdir”, “Cinta Takkan Berakhir”, “Ajari Aku”, “Perpisahan” dan banyak lagi.

Kredit foto: Anuar Zain Network & Jiobuddy

Sebagai penutup, Anuar Zain menyampaikan lagu “Lelaki Ini” dengan penuh penghayatan bahkan setelah selesai konsert, para penonton masih terus terkesima dan seakan baru terjaga dari satu mimpi yang amat indah, sukar bagi peminatnya untuk menerima bahawa persembahan sudah berakhir.

Kisah 40 tahun menyulusuri naik turun, jatuh bangun dalam industri muzik, diolah dalam bentuk penceritaan dalam persembahan menjadikan setiap momen dan setiap detik pada konsert ini menjadi suatu memorabilia yang sangat penting dan berharga buat para peminat tegarnya yang akan dikenang sepanjang masa.

Ditemui pada sidang media selepas selesai konsertnya, Anuar menyatakan bahawa beliau amat terharu dengan sokongan dari para peminatnya, 40 tahun adalah suatu tempoh yang panjang dan mustahil untuknya terus kekal dan relevan dalam arus muzik hari ini tanpa peminatnya.

Untuk rekod, konsert “Anuar Zain 40th Anniversary” telah dihadiri seramai 8000 penonton, menjadikannya satu rekod peribadi buat Anuar selama bergelar penyanyi.

Kredit foto: Anuar Zain Network & Jiobuddy

Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page