Konsert Yuna Di Kuching Dijadualkan Semula
Penganjur persembahan Yuna di Kuching yang dijadualkan pada 27 Okt di Hikmah Exchange telah mengumumkan bahawa konsert itu telah ditangguhkan “atas sebab-sebab yang tidak diduga” dan akan dijadualkan semula ke satu tarikh kemudian, kata penganjur konsert RK Liveasia di laman Instagram mereka. Selain daripada itu, penganjur bersama Icon Entertainment di laman Instagram mereka turut mengumumkan penjadualan semula konsert itu, dan memohon maaf atas penjadualan semula konsert tersebut.
“Semua tiket yang dibeli (untuk persembahan Yuna di Kuching itu) adalah sah untuk tarikh baharu dan pilihan bayaran balik juga disediakan. Nantikan lebih banyak kemaskini (dari pihak penganjur),” kata RK Liveasia dalam kiriman Instagram mereka mengenai penjadualan semula konsert itu.
Pada 9 Okt lalu, adalah diumumkan bahawa Yuna atau Yuna Zarai atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai telah memilih Kuching sebagai sebahagian daripada tempat untuk jelajah atau tournya yang berjudul ‘Yuna Asia Tour’. Kuching juga merupakan satu-satunya tempat di Malaysia yang dipilih untuk tour tersebut.
Pengumuman itu dijangka mengecewakan peminatnya di Kuching yang mahu melihat penyanyi berusia 37 tahun itu membuat persembahan di ibu negeri Sarawak itu. Tiket konsert itu telah dijual sejak 2 Okt lepas, dengan harga tiket untuk konsert itu bermula dari RM250.
Sebelum ke Kuching, Yuna telah membuat persembahan di Tokyo, Jepun pada 16 Okt dan di Singapura pada 18 Okt. Konsert itu bersempena dengan pelancaran album kelimanya, ‘Y5’.
Lahir di Alor Setar, Kedah pada tahun 1986 dan dibesarkan di Subang Jaya, Selangor, Yuna merupakan seorang penyanyi dan penulis lagu wanita Malaysia yang dikenali sebagai satu-satunya penyanyi rock indie wanita yang bertudung terawal menghiasi industri muzik sekaligus mengetengahkan muzik rock indie. Beliau terkenal dengan lagu hits popularnya dalam bahasa Inggeris dan Melayu, seperti ‘Hello’, ‘Dan Sebenarnya’, ‘Terukir di Bintang’ dan single terbarunya, ‘Masih Sunyi’.
Pada Disember 2016, Yuna melakar sejarah apabila album Chapters berjaya membolosi carta Billboard. Album itu dipilih sebagai 10 album R&B terbaik sepanjang tahun 2016 di dalam artikel yang dimuat naik di laman web rasmi Billboard, manakala penyanyi berprofil tinggi yang lain seperti Beyoncé Knowles, Rihanna dan John Legend turut tersenarai di dalam pilihan tersebut.
Sepanjang kerjaya muziknya, Yuna telah bekerjasama dengan ramai artis terkenal tempatan dan antarabangsa, termasuk Usher, Tyler, the Creator, Epik High, G-Eazy, Jay Park, Jhené Aiko, KYLE, Little Simz, MIYAVI, Qi Razali, SonaOne, TOKiMONSTA, Aizat Amdan, Guba dan banyak lagi.