November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Andrewson Ngalai Kini Seorang Tokoh Perpaduan Di Sarawak

Spread the love

Penyanyi Iban tersohor Andrewson Ngalai telah diberi anugerah khas Tokoh Perpaduan Seni Budaya sebagai pengiktirafan lagu popularnya ‘Biar Bekikis Bulu Betis’ pada Majlis Anugerah Seni Budaya Sarawak (ASBS) 2023 yang berlangsung di Dewan Santapan, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam.

Menurut para penganjur anugerah tersebut, Ngalai atau nama sebenarnya Ngalai Asom telah diberi anugerah tersebut kerana lagu beliau itu yang telah menaikkan nama Sarawak sejak beberapa tahun lalu dan lagu itu bukan sahaja popular di Sarawak, malah di Semenanjung Malaysia dan Sabah dan turut dipersembahkan oleh pelbagai artis tempatan di peringkat antarabangsa.

Selain daripada itu, lagu ‘Biar Bekikis Bulu Betis’ juga telah terbukti dapat menyatupadukan rakyat Malaysia dan menggalakkan kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama, oleh kerana itu Ngalai telah diberi anugerah tersebut.

Apabila ditanya oleh para wartawan mengenai kejayaan yang diperolehi oleh beliau pada ASBS 2023, beliau menyukai penerimaan lagu ikoniknya itu yang berkembang selama ini, menekankan bahawa cara orang ramai menerima lagu itu telah berubah dengan ketara dari dahulu hingga sekarang walaupun beliau mengakui bahawa beliau tidak menjangka lagu itu akan menjadi begitu ikonik semasa lagu itu mula dikeluarkan lebih 20 tahun yang lalu.

Pada masa kini, lagu itu sangat ikonik sehinggakan mana-mana acara di Sarawak kelihatan tidak lengkap tanpa sesebuah band, atau penganjur acara itu sendiri menghiburkan tetamu dan meminta mereka menari mengikut rentak lagu ikonik itu. Lagu itu juga adalah salah satu lagu yang sering menjadi pilihan seseorang penyanyi yang ingin bernyanyi dalam bahasa Iban sama ada sewaktu membuat persembahan atau sedang berkaraoke.

Mengapa lagu tersebut popular adalah kerana tanpa kira bangsa, agama atau strata sosial, ada satu kisah yang boleh mengikat semua pendengar lagu itu dengan serta-merta apabila menghayati lirik lagu tersebut.

Lagu ‘Biar Berkikis Bulu Betis’ sebenarnya dalah kisah ‘lelaki bertemu perempuan’ yang mempunyai mesej asas ‘tidak pernah menyerah’ yang tersirat dalam lagu tersebut. Oleh kerana itu, lagu itu telah berjaya menyentuh hati ramai, dimana korus lagu itu, yang mengisahkan bagaimana lelaki itu akan melakukan apa sahaja untuk mengahwini wanita idamannya.

Berikutan mesej ‘enggan menyerah’ dalam lagu tersebut, ianya mendorong ramai tokoh terkenal tanah air mempamerkan rasa kagum dan cinta kepada lagu tersebut, sambil mentafsirkan lagu tersebut sebagai lagu yang bergema dengan orang yang bersifat tidak pernah menyerah.

Sementara itu, Ngalai juga berkata antara kenangan yang sangat mengagumkannya dengan lagu ‘Biar Bekikis Bulu Betis’ itu adalah apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bernyanyi bersama orang ramai lagu itu semasa lawatan bersejarah baginda ke Rumah Raymond Plen, sebuah rumah panjang Iban yang terletak di Sebauh, Bintulu, Sarawak baru-baru ini.

Tidak dapat disangkal lagi kenyataan bahawa Ngalai sememangnya seorang penyanyi lagu Iban paling terkenal dari Sarawak. Beliau memulakan perjalanan karier beliau sebagai seorang penyanyi dari zaman1970-an dan aktif sebagai penyanyi sehingga tahun 2015, sebelum dia terpaksa bersara selepas menjalani pembedahan yang menjejaskan keupayaannya menyanyi.

Dia kini bergerak aktif di belakang tadbir industri muzik Sarawak sambil mengusahakan syarikat produksi lagu beliau iaitu ANP manakala beliau juga adalah merupakan seorang ketua masyarakat yang berpangkat penghulu di Selangau, Sarawak yang juga merupakan kawasan tempat asal beliau sendiri.

Anugerah ASBS kini kembali diadakan tahun ini bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan serta kewibawaan para penggiat seni budaya di Sarawak.

Antara anugerah yang disampaikan adalah Anugerah Tokoh Seni Budaya Sarawak, Anugerah Pendukung Seni Sarawak (Media dan NGO), Anugerah Sri Apresiasi Seni Sarawak, Anugerah Nilakandi Seni Sarawak, Anugerah Mengikut Bidang Seni (Seni Muzik, Seni Tari, Seni Teater, Seni Berbahasa, Seni Mempertahankan Diri, Permainan Tradisional).


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page