“Queendom Fest” – festival muzik wanita pertama di Malaysia
Oleh: Heyawaha
Zamaera, penyanyi rap wanita terkenal dan pendukung hip-hop Malaysia, mengumumkan sejarah bakal tercipta dengan pelancaran “Queendom Fest” – festival muzik wanita pertama di Malaysia.
Festival ini lahir daripada semangat Zamaera untuk memberikan representasi dan menyokong wanita dalam seni muzik tempatan. Queendom Fest merupakan satu usaha independen yang berazam untuk mencipta sejarah, memberi tumpuan kepada wanita kreatif di seluruh Malaysia.
Idea “Queendom Fest” bermula hampir dua tahun lalu semasa Zamaera mengadakan jelajah Pop-Up sendiri di Pulau Pinang, Kuching, Ipoh, dan Kuala Lumpur.
“It is all about connection”, kata Zamaera dalam usaha bekerjasama bersama Avinash Retnam dari Kaia Collab, untuk mengkaji kehendak peminat dan menguji kuasa pasaran bagi “Queendom Fest.”
“Queendom Fest” bertujuan untuk memberi sokongan kepada wanita dan memperkuatkan hubungan komuniti seni melalui platform untuk usahawan dan kreativiti wanita. Acara ini dijadualkan berlangsung pada 16 Disember 2023 di LaLaport BBCC Central Rooftop Garden, Pusat Bandar Kuala Lumpur.
Zamaera atau nama sebenar, Sharifah Zamaera Syed Zafilen Al Edros, berkata idea menganjurkan Queendom Fest timbul selepas melihat kurangnya pembabitan penyanyi hip hop wanita dalam mana-mana festival tempatan.
“Saya dapati perwakilan artis wanita di festival muzik tempatan dan ‘showcase’ sentiasa dikalahkan oleh penyanyi lelaki dalam industri ini. Tahun lalu sahaja, menerusi lebih 14 festival dianjurkan, 84 peratus terdiri daripada lelaki.
“Saya bukan hanya seorang penyanyi rap, saya bukan hanya seorang penyanyi, saya adalah lebih dari itu. Oleh itu, saya ingin mencipta sebuah festival yang mendorong komuniti, memberi penekanan kepada wanita, dan membantu negara kita berkembang dalam bidang ini”, ujarnya sewaktu sidang media festival berkenaan yang diadakan pada 19 Oktober lalu.
“Queendom Fest” dijangka menjadi satu acara yang memukau untuk memperkenalkan wanita-wanita berbakat dan dihormati dalam arena muzik Malaysia, sambil memberi peluang kepada lebih dari 40 perniagaan tempatan yang dimiliki oleh wanita untuk mempromosikan produk mereka.
Satu objektif utama festival ini adalah untuk mempromosikan kesaksamaan serta memberikan tumpuan kepada artis-artis, termasuk yang berasal dari kalangan “Underground” dan yang baru muncul.
Ini merupakan satu detik emosi dan ikonik bagi Zamaera dan wanita-wanita lain yang ingin mencipta sesuatu daripada pergerakan untuk wanita di Malaysia. Pemilihan tempat di LaLaport BBCC Central Rooftop Garden adalah strategik dan memberi pelbagai kemudahan kepada penganjur acara.
Festival ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan MyCreative Ventures, Queendom Fest menjadi acara bermatlamat untuk menonjolkan keupayaan wanita dalam genre muzik, selain mengeratkan hubungan komuniti seni melalui platform untuk usahawan dan kreativiti wanita.
“Queendom Fest” diharap ianya dapat memberi inspirasi dan memberikan platform yang berkesan bagi wanita dalam muzik dan perniagaan tempatan. Antara artis-artis wanita hebat seperti DOLLA, Hullera, Jovynn, Yunohoo, Lil Asian Thiccie, Meliha, The Impatient Sisters, MJisvicious, dan SYA telah disokong kuat dan dijemput untuk membuat persembahan terbaik mereka pada hari bersejarah tersebut