November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert Gendang Pati Janjikan Pelbagai Kejutan

Spread the love

Foto Kredit: Echolalia Pictures

Selepas kejayaan ‘Konsert Gendang Pati’ yang di adakan di Singapura, penyanyi Datuk M. Nasir meneruskan kesinambungan konsert berkenaan  yang akan diadakan di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 18 November 2023.

Gendang Pati Live in Kuala Lumpur dibawakan oleh MND Sport & Event SDN BHD yang mempercayai kehebatan M. Nasir dalam memberikan persembahan berjiwa rakyat apatah lagi ianya sarat dengan elemen nusantara.

“Saya harap konsert ini akan menjadi sebuah persembahan yang menarik dan mampu menarik peminat  saya samada generasi dahulu mahupun genarasi masakini dan mampu mengisi kecanduan semua terhadap karya saya,” ujar beliau ketika ditemui media di Grand Hyatt Kuala Lumpur baru-baru ini.

“ Konsert Gendang Pati bukan sembarangan ‘gendang’ malah ianya bakal menghimpunkan pelbagai jenis gendang genderang yang melewati kehidupan kita sejak dari dahulu dan sampai bila-bila pun tidak tergoyah.  Antara gendang yang bakal digunakan adalah gendang ibu, rebana, kompang, dabuca, tabla dan sebagainya”, jelasnya.

Sementara itu, Nan Alias yang berindak sebagai Pengarah Muzik menyatakan bahawa bukan hanya penggunaan alatan ‘gendang’ tetapi ianya turut menggunakan alatan moden seperti perkusi, gitar bass dan drum agar ianya dapat memberi warna kepada konsert tersebut.

“Seperti semua sedia maklum, gendang itu sendiri sudah sebati dengan diri semua orang apatah lagi ketika mendengar bunyinya yang pantas membuat seseorang itu leka dengan iramanya.  Lagi pun tidak ramai artis yang mengetengahkan gendang sebagai instrumen utama dalam konsert-konsert besar”, ujarnya

“Justeru itu kami cuba aplikasikan segala gendang genderang itu menerusi Konsert Gendang Pati ini, nyata ianya telah memberi impak yang cukup positif di kalangan peminat setelah kami unjurkan konsert berkenaan di Singapura baru-baru ini”, tambahnya

Berbeza dengan persembahan di Singapura, Datuk M.Nasir memaklumkan bahawa terdapat pelbagai kejutan yang akan di lakukan untuk konsert di Kuala Lumpur nanti, begitu juga dengan seleksi lagu-lagu yang akan dipersembahkan.

“Saya tidak mahu berjanji apa-apa namun apa yang boleh saya katakan ianya bakal dipenuhi dengan kejutan, energi dan aura yang bakal meninggalkan momen indah buat peminat mahupun penonton yang hadir”, ujar beliau.

“Contohnya jika dahulu saya banyak campur tangan dalam ‘mereka’ sesebuah persembahan , kali ini ianya memang berbeza di mana saya berkolaborasi dengan semua orang untuk melahirkan idea yang lebih jitu untuk menjadikan konsert ini sebagai penanda aras dalam memartabatkan irama gendang itu sendiri khususnya dalam irama nusantara”,  katanya

“Ini bukan tentang saya seorang tapi indikasi sihat industri muzik dan perkembangannya yang sentiasa positif. Yang pastinya, malam itu nanti akan dipenuhi dengan bunyi-bunyian gendang yang membuatkan semua berdendang bergoyang”, tambah beliau.

Keterujaan dapat merialisasikan instrumen gendang itu dalam sebuah konsert yang berprestij umpama mimpi menjadi rialiti buat Paang Zaman yang juga merupakan salah seorang pemuzik yang turut ‘mewarnai’ Konsert Gendang Pati.

“Saya sebenarnya cukup teruja apabila diberi ruang dan peluang untuk sama-sama dalam konsert ini apatah lagi sebelum ini saya sememangnya berada di posisi sebagai seorang pemain perkusi yang lebih dekat dengan gendang ini, tetapi apabila ianya di persembahakan di Singapura baru-baru ini nyata impak positif yang diterima ketika itu sudah cukup mengembirakan”, ujarnya

Selain Nan Alias, konsert ini turut di sertai oleh Rafi Mohd (rhythm guitar), Norman (bass), Firdaus Mahmud, Eddie Slam (keyboard) and Ujang Exists (drums) manakala individu yang akan berada di posisi ‘Gendang Pati’ antaranya ialah Mat Din, Che Long dan Anas serta Awe yang akan memikul tugas sebagai pemain rebab dan serunai.

Bagi anda yang berminat untuk menonton konsert Gendang Pati Datuk M.Nasir Live in Kuala Lumpur, tiket dengan beberapa kategori harga boleh didapati di laman web MyTicket.Asia.

Tiket-tiket berharga RM228 (Bronze), RM258 (Silver), RM388 (Gold), RM428 (Platinum), RM488 (Diamond) dan RM888 (Meet & Greet).

Selain layari MyTicket.Asia, tiket boleh dibeli di [email protected] atau hubungi talian hotline 03 8605 0195.  Untuk sebarang perkembangan terkini mengenai Gendang Pati Dato’ M.Nasir Live in Kuala Lumpur lawati Instagram: @mndsportnevent


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page