Empat Tahun Janji Tertunda – Datuk Shake
Datuk Shake, nama yang tidak perlu diperkenalkan kepada umum apatah lagi rangkaian lagu-lagunya yang malar segar seperti Umi, Anugerah Dari Kegagalan, Pulanglah dan sebagainya itu sentiasa meniti bibir penggemarnya.
Selepas berdekad bermastautin di Perancis mencari rezeki sebagai anak seni di negara Eropah itu, kemesraan dan keakraban Shake dengan Malaysia sentiasa dipelihara.
Namun, pada Disember ini, seniman berjiwa besar ini akan beraksi dalam sebuah konsert solo beliau sebagai memenuhi kehendak sejumlah besar peminat-peminatnya yang sudah lama menantikan peluang itu.
Konsert yang bakal di adakan di Zepp Kuala Lumpur pada 16 Disember ini sudah pasti satu hadiah buat peminat yang sudah lama mengimpikan untuk menonton persembahan istimewa daripada penyanyi yang ‘tidak di mamah usia’ itu.
“Konsert yang akan diadakan itu bukan sekadar platform buat saya untuk menyanyikan rangkaian lagu popular semata-mata tetapi ianya adalah sebuah ungkapan janji yang telah lama saya janjikan buat peminat”, ujar beliau sewaktu di temubual media secara maya pada 17 Oktober lalu.
“Saya patut mengadakan konsert pada 2020 yang lalu, namun pandemik Covid 19 lebih mencemburui sekaligus membantutkan rancangan tersebut”, jelanya.
Konsert ini akan mempamerkan perjalanan menakjubkan penerokaan kronologi kerjaya muziknya sepanjang tempoh 50 tahun bergelar anak seni.
“Istimewa buat peminat yang hadir, saya akan merangkumkan perjalanan seni yang sudah berusia lebih empat dekad. Apa yang pasti terlalu banyak kejutan akan saya lakukan”
“Semua lagu terbaik dalam kerjaya senia akan saya persembahkan dalam persembahan lebih 90 minit itu nanti. Sudah pasti lagu-lagu Melayu dan Perancis yang terkenal dan tidak dapat dilupakan yang merupakan koleksi malar hijau kegemaran ramai di kalangan rakyat Malaysia dan luar negara akan turut menjadi santapan penonton”, tambah beliau.
Konsert anjuran InTour Live Events dan iMe Entertainment Group pastinya akan mengubat kerinduan peminat terhadap legenda kesayangan ramai.
Untuk rekod, Datuk Shake pertama kali tampil dengan album bahasa Melayu berjudul Kau Bungaku pada 1983. Selain ini, beliau sudah menghasilkan 10 album antaranya Bicara Tentang Cinta, Cinta Dan Hidup dan Chameleon.
Selain menjadi penyanyi Asia pertama yang menjadi terkenal dengan menyanyi dalam bahasa Perancis, Datuk Shake juga diiktiraf kerajaan Perancis kerana mempromosikan bahasa Perancis dan budaya di seluruh Asia. Untuk maklumat lanjut berkenaan tiket, peminat boleh dapatkan tiket menerusi www.ticketcharge.com.my