“Cahaya Malam”, Single Yang Dinantikan Oleh Peminat Satwo
Satwo, sensasi duo genre folk-pop dan neo-romantika di Malaysia, meneruskan gelombang mereka dalam industri muzik dengan pelancaran single terbarunya di bawah naungan Luncai Emas, Cahaya Malam. Trek yang sangat dinantikan ini dijangka akan memukau para pendengar, justeru mempamerkan bakat dan kebijaksanaan kreatif Satwo yang unik.
Cahaya Malam merupakan single ketiga dalam kerjaya mereka setelah Untok Kita dan Gelap, menggabung unsur-unsur seperti indie-folk dan pop melankolia dengan cara yang unik, menangkap kalbu pendengar dari awal hingga akhir. Single ini adalah bukti bahawa artis-artis tanah air mampu menciptakan sesuatu karya yang bukan sahaja mudah ditangkap pendengar malah unik, istimewa dan kreatif.
“Bagi kami, Cahaya Malam ialah kesinambungan dari single kami yang sebelum ini, Gelap. Lagu Cahaya Malam bermula dengan intro yang seperti ‘chanting’ atau mantera, bagi menenangkan perasaan kusut dan membuat pendengar memberi perhatian pada melodi yang akan dinyanyikan seterusnya. Berbanding dengan ‘mood’ dua single sebelum ini yang gelap, lagu ini lebih santai dan tenang.” kata Maz, separuh daripada suara Satwo dan pemain keyboard mereka. “Inspirasi Cahaya Malam datang dari perasaan selepas dendam itu terbalas dan menceritakan kesan daripada dendam, sama ada baik atau buruk.” kata Rafiz pula, satu lagi suara Satwo. “Walau bagaimanapun kami tak sabar untuk para peminat dan orang ramai mendengarnya dan menafsirkan lagu ini dengan cara mereka sendiri yang berhubung dengan jiwa peribadi mereka.”