Kami Mahukan Konsert Yang ‘Intim’ Peminat – Radja
Meskipun insiden 12 Mac lalu masih segar di ingatan di mana mereka menerima ugutan bunuh sehingga menyebabkan trauma, namun Radja tidak pernah serik untuk datang ke Malaysia.
Radja yang menganggap Malaysia sebagai rumah kedua mereka sanggup mengenepikan masalah tersebut malah menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis. Apa yang menjadi keutamaan bagi Radja adalah persiapan dan perancangan konsert yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi.
“Sebagai manusia, wajar untuk kami berasa trauma. Itu pasti akan ada tetapi kami akan tetap positif. Ada perkara lebih penting mahu difikirkan. Malaysia juga adalah rumah kedua kami. Mana mungkin kami takut untuk kembali ke sini lagi. Kami juga sudah tidak ambil peduli”, ujar Ian Kasela yang juga merupakan vokalis kumpulan Radja.
“Ianya adalah isu dalaman penganjur itu sendiri. Kami mengambil pendekatan untuk lebih berwaspada terutama dari segi kontrak dan penganjur,” ujarnya ketika ditemui media di Restoran Rebung, Kuala Lumpur pada 4 Oktober.
Radja Live In Concert: akan turut menampilkan Ella sebagai penyanyi jemputan.Konsert yang bakal berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 12 November depan dibawakan oleh Orange International Entertainment.
Sebelum ini, Radja menerima ancaman bunuh daripada dua individu yang dipercayai wakil pihak penganjur selepas selesai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac lalu.
“Selepas insiden tersebut, kami sangat menghindari orang tengah untuk komunikasi yang lebih aktif dan mengikut prosedur yang sepatutnya.
“Malah, pihak pengurusan juga menitik beratkan isu keselamatan serta memastikan komunikasi yang lebih aktif,” katanya.
Dalam pada itu, bercakap soal konsert, Ian berkata, mereka tidak mengambil masa lama untuk bersetuju dengan tawaran tersebut dan terbuka dengan sebarang perancangan lain selepas ini.
“Cuma insiden seperti itu tidak boleh diduga. Di luar kawalan kami sendiri. Radja juga tetap manusia biasa. Dalam ruangan komen sendiri peminat susah tidak sabar untuk konsert tersebut. Kami memaafkan dan move on,” ujarnya
Radja yang dianggotai Ian Kasela (vokalis), Moldy Kusnadi (gitar) dan Seno Aji (dram) berkongsi rasa teruja mereka.
“Rindu rasanya untuk bertemu kembali dengan peminat-peminat di Malaysia setelah sekian lamanya, dan ini bukan kali pertama Radja datang ke Malaysia kerana sudah pun tiba seawal tahun 2004 dan 2005 lagi, dan setiap kali mengadakan persembahan selalunya berjaya,” kongsi Ian.
Ibarat membuka lembaran baharu, kedatangan Radja pada kali ini lebih istimewa kerana konsert yang bakal diadakan lebih kepada keakraban di antara band dengan juga peminat.
“Kami mahukan sebuah konsert yang ‘intimate’ agar peminat berasa lebih dekat, kami juga mahukan sebuah pertunjukan yang ‘sing-along’ dengan kejutan yang sungguh istimewa,” jelas Moldy.
Bukan sahaja Radja, malah Ratu Rock Negara kita juga bakal beraksi di pentas yang sama.
“Ini merupakan idea yang sudah lama diutarakan bahawa kami ingin berkolaborasi dengan Ratu Rock Malaysia iaitu Ella dalam sebuah pentas, dan pihak penganjur konsert iaitu Orange Entertainment International berjaya merealisasikannya.
Tiket-tiket yang dijual berharga RM168 (Rockzone 1-Jujur), RM148 (Rockzone 2-Tulus), RM528 (VVIP-Cinderella), RM238 (Platinum-Yakin) dan RM198 (Gold-Benci Bilang Cinta) boleh didapati di ticket2u.com.my.