November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Malam Orkestra Tahap Dewa 19 Mewah, Megah dan Meriah

Spread the love

Oleh: Zizi Hashim

Foto: Echolaliapictures

Berinspirasikan dari sebuah tajuk lagu Queen yang berjudul “A Night at the Opera”, Ahmad Dhani secara peribadinya telah mengadaptasikan sebuah malam yang hampir serupa, cuma diberi pendekatan berbeza, bukan opera tetapi Orkestra. Realisasi nya? Tanyakan pada seluruh baladewa dan baladewi – jawapannya sama. Persembahan dari Syurga babak ke-5 yang benar-benar diklasifikasikan sebagai persembahan ‘tahap dewa’. Ternyata kemewahan ‘makanan jiwa’ muzikal Dewa 19 berjaya dirangkul dalam balutan Orkestra dengan penuh gemilang.

Dibalut dengan venue yang mewah, set panggung yang megah serta muzik orkestra yang meriah,  konsert yang dibawakan khas oleh Icon Entertainment selalunya memberikan sensasi yang berbeza, namun unik dan begitu istimewa. Sudah tentunya 29 September 2023 mencatat memori indah sebagai sebuah malam yang tidak terlupakan. Membuai sekitar 7,000 hadirin dengan lagu intro “Bohemian Rhapsody” sebagai salam kenal, kolaborasi 54 musisi dari Malaysia (diketuai oleh Guntur Nor Puspito) yang disifatkan oleh Ahmad Dhani sebagai ‘lebih baik’ dari Indonesia ini sangat membanggakan dan sekaligus berjaya memukau dan menggetarkan setiap jiwa.

Ruangan Axiata Arena dipenuhi para baladewa dan baladewi yang datang mematuhi peraturan dress code, tampak begitu taksub dan antusias dalam menikmati setiap sajian dari sang maestro Ahmad Dhani dan kawan-kawan nya.  Tak terasa 30 buah lagu hits dewa dengan lantunan muzik orkestra mengisi malam gala selama 3 jam ini. Nyaman dan sangat menghiburkan. Gabungan 3 vokalis sebagai strategi utama, dimulai oleh Ello lantang mengalunkan vokal nya melalui “Arjuna”, “Elang”, “Sudah” dan “Pupus”. Bijaksana nya seorang Ahmad Dhani apabila strategi ini dilihat sebagai tarikan pelbagai lapisan generasi. Penampilan Ello dan Virzha sememangnya faktor utama mengumpul fans baru yang muda-muda. Manakala Ari Lasso unggul sebagai kuasa nama besar yang penuh aura legenda.

Meski terdengar keluh kesah mengapa bukan Ari Lasso yang membawakan “Elang”, konsert tetap diteruskan. Kemunculan Virzha tampil all-out berduet bersama Ahmad Dhani menerusi “Pangeran Cinta”, disahut jerit-pekik fans berat apatah lagi apabila setiap kali kelibat Tyo Nugros sang drummer ditayangkan di skrin layar lebar. Ketampanan beliau sempat membuat seluruh Axiata Arena huru-hara seketika.

Virzha menggalas posisi vokal dengan baik menerusi lagu “Dewi”, “Risalah Hati”, “Lagu Cinta” dan “Kosong”. Slot seterusnya memberi ruang kepada vokalis jemputan wakil dari negara kita iaitu Shila Amzah, Jaclyn Victor dan Amir Masdi yang dipilih oleh Ahmad Dhani sendiri. Seleksi lagu-lagu yg didendangkan oleh Shila dan Jac hebat-hebat juga tetapi entah kenapa tidak memberikan impak yang sangat mendalam dalam jiwa, pada pendapat saya. Mungkin kerana antisipasi saya lebih tertumpu kepada Dewa 19 secara menyeluruh. Slot ini boleh dianggap sebagai iklan memenuhi minit-minit yang berlalu. Namun gabungan Ello bersama Amir Masdi melalui duet “Bohemian Rhapsody” harus diberi pujian. Penuh energi dan lantunan vokal serak-serak basah Amir begitu hebat dan memukau.

Momentum seterusnya, Ahmad Dhani di posisi vokal bercanda yang beliau tidak akan menyanyikan banyak lagu tetapi lepas satu lagu satu lagi satu lagi dan lagi. “Could This Be Magic”, “My Way”, “Sedang Ingin Bercinta”, “Aku Cinta Kau Dan Dia” dan “Madu Tiga” menjadi pilihan beliau dan sememangnya sangat sesuai dengan nada vokal nya dalam tona rendah tetapi merdu dan dalam kelasnya tersendiri. Nawaitu Ahmad Dhani untuk menjadikan muzik orkestra satu konsep budaya baru di benua ini adalah dipuji. Semoga akan ada lebih banyak Chapter yang selanjutnya selepas ini.

Tiada siapa yang dapat menafikan aura karisma seorang legenda bernama Ari Lasso. Sebaik sahaja sosok ini menaiki pentas, nuansa pentas berubah serta-merta. Sorakan bergema kuat. Sosok yang sangat dinanti-nantikan. Sebagai baladewi tegar Dewa 19 sejak dari album pertama sehingga kini, saya akui mersik vokal Ari Lasso telah mengimbas kembali sejuta kenangan indah yang tak terungkapkan buat saya, secara peribadi. Adrenalin konsert dipacu hebat oleh sentuhan vokal Ari, mengundang sebak dan menitiskan airmata. “Cintakan Membawamu Kembali”, “Kangen” dan “Satu” adalah antara lagu-lagu yang paling terkesan dan penuh emosi. Tidak ketinggalan juga “Dua Sedjoli” yang menurut Ari sebuah lagu yang memberi degupan kencang bagi dirinya dan beliau menzahirkan rasa lega usai mengalunkannya.

Entah kenapa sepanjang Ari Lasso berlagu, meremang bulu roma dibuatnya. Bertindak sebagai pelengkap pada malam yang indah itu, Ari ternyata begitu humble dan tak putus-putus mengucapkan “Terima Kasih Malaysia”. Justeru karakter, pengalaman dan komitmen yang diberikan Ari mengangkat nama beliau di level nya yang terjangkau oleh yang lain. “Hadapi Dengan Senyuman”, “Kirana”, “Persembahan Dari Syurga” dan “Roman Picisan” turut didendangkan Ari mengisi ruang-ruang kenangan dalam setiap hati yang hadir. Ketiadaan Once sedikit sebanyak mengundang tanya tetapi tidak memberi impak yang ketara setelah ditutup dengan rencah rasa di sini sana.

Masih belum kenyang dengan ‘makanan jiwa’ yang dihidangkan? Apalagi “Separuh Nafas” pun bergema. Lagu wajib paling favorite yang membuatkan seluruh Axiata Arena berdiri bersama menari dan menyanyi seiringan. Satu nuansa indah terlihat, memberi senyum dan kepuasan pada setiap yang berada di sana. Mewah, megah dan meriah – itu lah yang dirasakan sepanjang konsert. Yang paling mahal bagi saya adalah vibes konsert itu sendiri. Tahniah Dewa 19 untuk satu seni magis yang bijaksana dan mempesona. Jumpa lagi di Chapter-Chapter yang selanjutnya. Saya senyum dan ‘sendawa’ puas hati seusai konsert. Burppp! Alhamdulillah lazat sekali muzik nya!


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page