Semarak Cinta Lah Ahmad Bakal Bergema Di Istana Budaya
Oleh: Sakka E
Menghayati makna rasa kecintaan sesama manusia dan meraikan cinta antara insan dan tuhan, itulah mesej yang ingin disampaikan oleh penyanyi Lah Ahmad, bekas ahli kumpulan RnB Voices of Euphonious atau lebih dikenali dengan V.E. melalui konsert yang diberi tajuk “Jatuh Cinta” diambil bersempena dengan judul single Lah Ahmad sendiri.
Bertempat di Istana Budaya, suatu venue yang begitu gah, sesuai dengan pengalaman Lah sendiri yang telah lebih 25 tahun berkecimpung dalam industri muzik tanahair disamping sebagai pemenang Anugerah Persembahan Vokal Terbaik di AJL ke 22. Ianya sedikit sebanyak membayangkan konsert ini akan berlangsung dengan penuh gilang gemilang sambil maraikan cinta buat para peminatnya.
“Sejak dari dulu saya memang terikat dengan lagu-lagu cinta. Kalau nak ikutkan saya nak buat band rock, sementelah saya cukup menggemari lagu-lagu yang bernuansakan rock, grunge dan sebagainya. Malah saya pernah ada band rock namun bila bab nyanyi terus ‘out’”, ujarnya
“Saya memang akan mencari satu tarikan sebagai pemacu untuk membuat kerja dan kerana itu memilih judul ‘Jatuh Cinta Live kat Istana Budaya. Tema Jatuh Cinta itu cukup luas difinasinya, bukan hanya cinta sesame manusia, makhluk tetapi cinta kepada ‘Sang Pencipta’, namun bagi konsert kali ini ianya lebih memfokuskan kepada album terbaru saya yang berjudul ‘Jatuh’”, ujar Lah Ahmad ketika ditemui di The Curve, Mutiara Damansara baru-baru ini.
“Selain itu saya sebenarnya ingin membawa peminat yang selama ini memberi sokongan dan dorongan menerawang mengembara ke dunia cinta ciptaan saya atau lebih tepat ianya ‘intim’ debgan peminat”, ujarnya
“Saya juga nak rapatkan sistem kekeluargaan dalam sebuah rumah tangga dan menyampaikan mesej kepada masyarakat bahawa paling penting mak dan ayah kena jatuh cinta dan berkomunikasi secara elok dengan anak-anak supaya anak-anak pun berkelakuan baik,” jelasnya.
7 Oktober 2023, tarikh yang dipilih untuk konsert ini, Rubbertapper Production House (M) Sdn Bhd selaku penganjur utama konsert bertaraf mega ini yakin dapat mencapai sasaran jualan tiket seperti dirancang walaupun hanya berbaki kurang dari sebulan malah pihak pengurusan menyatakan, setakat hari ini, penjualan tiket telah mencapai hampir 70%, ini menunjukkan bahawa sambutan yang begitu menggalakkan dari peminat – peminat Lah Ahmad.
“Konsert ini merupakan sikuel kepada konsert saya yang telah berlangsung Februari lepas, bezanya kali ini ianya di adakan di lokasi yang cukup berprestij iaitu Istana Budaya. Saiz dan kapasiti penonton juga agak ramai berbanding lokasi sebelum ini”
“Terlalu banyak yang ingin saya kongsikan bersama peminat yang membesar dengan lagu-lagu saya sejak dulu hingga kini. Selain daripada itu saya juga akan menyampaikan lagu-lagu cover yang memang menjadi ‘siulan’ saya. Sebelum ini saya tidak tahu dimanakah tempat untuk saya luahkan, tapi kini ianya akan dirialisasikan”
Gabungan antara Lah Ahmad dan pemuzik dari Orkestra Simfoni Universiti Malaya sudah tentu memberikan suatu kelainan dalam persembahan dan ianya pasti menjadi satu persembahan yang berprestij dan bertaraf antarabangsa sesuai dengan lokasi yang dipilih.
“Meskipun saya bergabung dengan ‘strings’ dan olahan lagu dan melodi di buat dengan sebaik mungkin demi memuaskan hati khalayak yang menyaksikan konsert itu nanti”, katanya
“Keterujaan itu sudah pasti akan saya ‘luahkan’ dengan nada yang cukup melankolik agar ianya ‘sampai’ ke jiwa penonton. Insya Allah saya akan berikan yang terbaik, doakan saya agar ianya dapat di rialitinya sepertimana yang dirancang”, tambahnya
Konsert ini akan diarahkan oleh Dato’ Reduan Yusof sebagai Pengarah Projek manakala Muhammad Shahwalnaz Hussin yang merupakan pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia di Istana Budaya akan bertindak sebagai Pengarah Muzik.
Sempurna dan Terbaik, Adinda dan Kerna Sayang adalah antara 21 lagu yang akan didendangkan sepanjang 2 jam persembahan, Lah Ahmad juga ada menyatakan bahawa ada kejutan pada malam konsert tersebut, dimana beliau akan menjemput beberapa artis undangan, siapakah yang akan menjadi artis – artis undangan tersebut? Ianya akan diumumkan hanya pada malam persembahan itu.
Untuk rekod, sepanjang pembabitan Lah Ahmad di dalam industri, beliau telah menerbitkan 4 buah album di mana antara lagu yang popular adalah Sempurna dan Terbaik, Adinda, Kerna Sayang dan Ayu.
“Saya juga akan membawa lagu-lagu yang belum pernah saya nyanyikan sepanjang kerjaya selama lebih 20 tahun dalam industri dan juga beberapa lagu ketika bersama kumpulan VE kerana tidak semua tahu saya lahir dari kumpulan itu malah anak saya pun tak tahu,” ujarnya lagi.
Konsert Lah Ahmad Jatuh Cinta di Istana Budaya ini juga mendapat kerjasama dari Kementerian Komunikasi dan Digital serta My Creative Venture manakala Ideas Kuala Lumpur Hotel bertindak sebagai hotel rasmi, radio Sinar pula selaku radio rasmi bagi konsert ini dan menawarkan beberapa tiket percuma kepada pendengar bertuah.
Tiket – tiket telah mula dijual 25 Ogos yang lalu dan boleh dibeli secara atas talian dengan melayari Lah Ahmad Jatuh Cinta at Istana Budaya – iLasso Tickets.