September 20, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Exists Masih Ada, Masih Wujud dan Masih Maujud

Spread the love

Oleh:  Sakka E

Kalam hayat kumpulan Exists bermula 32 tahun yang lepas, namun, hingga ke saat ini masih segar, masih digemari dan masih relevan buat para peminatnya dari dulu mahupun peminat muda dan untuk terus kekal seusia itu bukan sesuatu yang mudah bagi sesebuah kumpulan muzik.

Masih tetap masih, justeru, khas buat para peminatnya, Exists akan merungkai peradaban kewujudan 32 tahun yang bukan basa basi dalam sebuah konsert khas yang diberi tajuk “EXISTS X ORKESTRA”. Ianya juga akan membuktikan Exists sebagai salah satu kugiran terbaik di Malaysia, menyelusuri dari sekecil – kecil pentas, festival – festival dan  hingga ke panggung yang berprestij seperti Dewan Filharmonik Petronas dimana ianya menyaksikan kredibiliti sebagai pemuzik professional setiap anggota Exists dipertontonkan.

Konsert yang bakal berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur ini bakal melakar sejarah kumpulan Exists kerana ianya menjanjikan persembahan yang sangat istimewa apabila kugiran ini akan bergabung dengan sebuah orkestra yang akan diumumkan kelak.

Ianya bakal mencipta satu kelainan dan nuansa segar buat para peminatnya dan sesungguhnya ia bakal menjadi suatu momen yang sangat indah yang tak mungkin akan dilepaskan oleh peminat mereka.

Konsert yang akan dilaksanakan pada 22 Disember ini merupakan satu tarikh yang dirasakan teramat lama memandangkan keterujaan yang terzahir di wajah setiap anggota kumpulan ini apabila ditemui dalam sesi sidang media yang berlangsung di Tamu Hotel & Suites Kuala Lumpur.

“Bergabung dengan para pemuzik orkestra yang hebat memang sudah menjadi impian sekian lama. Tanyalah kepada mana-mana band, kugiran atau pemuzik, salah satu impian mereka pasti mahu melakukan persembahan konsert atau bergabung dengan orkestra.

“Kami fikir dengan sudah banyak melakukan persembahan daripada skala kecil kepada skala besar, dengan usia 32 tahun Exists, ini adalah masa yang sesuai untuk kami berkolaborasi dengan orkestra.

“Selama ini kami hanya menunggu waktu yang sesuai untuk menjayakan sebuah persembahan kolaborasi seperti ini. Akhirnya, impian itu tercapai jua. Exists sendiri tidak sabar untuk mencipta sejarah ini.

Menurut Along selaku pemain gitar utama, ianya bakal menjadi suatu pengalaman peribadi untuk beliau dan juga buat rakan anggota yang lain.

Selaku penganjur, Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) juga turut berkongsi keterujaan ini apabila Pengarah Program En. Mohd Roslan Mohd Rafi melahirkan betapa beliau berterima kasih dengan kumpulan Exists yang menyambut baik cadangan PRGM itu, dan beliau sangat berhasrat untuk menjadikan ianya suatu sejarah yang paling manis buat Exists dan juga PRGM.

Exists masih lagi di anggotai oleh Ajai, Ujang, Musa, Along, Mamat dan Ezad mengakui bahawa konsert tersebut bakal menjadi satu sejarah peribadi buat diri dan kerjaya muzik mereka.

Exists mempunyai terlalu banyak lagu – lagu hits, boleh dikatakan setiap album mempunyai lagu – lagu yang kekal ‘evergreen’ hingga ke hari ini, jadi, lagu manakah yang akan dimuatkan dalam pilihan 21 buah lagu yang bakal dipersembahakan di malam konsert nanti, sama – sama kita nantikan, harus diingat ianya akan dipersembahkan dengan iringan orkestra yang jelas memberikan kelainan dengan konsert – konsert yang lain. Hatta, tunggu apa lagi? Dapatkan tiket segera secara atas talian di laman sesawang www.MyTicket.Asia . Tiket – tiket berharga  RM568, RM468, RM368, RM268 dan RM168. Pilihan ditangan anda.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page