Transformasi ‘Matang’ Alif Satar & The Locos
Pencapaian diraih sepanjang pembabitan dalam bidang seni menjadikan Alif Satar antara penyanyi lelaki terbaik, bukan sahaja berbakat dalam bidang nyanyian, malah Alif yang sudah 15 tahun berada dalam industri hiburan boleh dilabelkan sebagai artis ‘versatile’.
Tidak mahu selesa dengan apa yang dimiliki sepanjang kerjaya, Alif membuat satu lagi transformasi dalam lanskap seninya apabila memilih bergerak dalam kumpulan bersama band dan kini dikenali sebagai Alif Satar & The Locos (ASTL).
Alif Satar & The Locos yang dianggotai oleh Alif selaku vokalis, Tam Cobain (gitar), Efry Arwis (bass), Faliq Auri (saksofon) dan Rajwan Juni (dram) masing-masing optimis untuk terus melangkah jauh dalam bidang muzik tempatan.
“Sudah lima tahun, sekarang ini dah ada perkataan Alif & The Locos ‘at heart’. Nak nyanyi dan buat persembahan pun, kena ada The Locos,” ujar Alif.
Lebih membanggakan, Alif Star bersama The Locos menjadi artis tempatan pertama yang dipilih oleh syarikat pelayaran antarabangsa, Resorts World Cruises untuk menjayakan kempen Sayang Lokal.
Melalui siri kempen pertama hasil kerjasama strategik di antara Resorts World Cruises dengan Warner Music Malaysia itu, Alif Satar & The Locos diberi peluang untuk melancarkan album mereka dan mengadakan persembahan mini di atas kapal pelayaran Genting Dream di Port Klang, Malaysia.
“Ini adalah album pertama kami sebagai sebuah kumpulan. Ia cukup bermakna sekali apabila ia diadakan di sini. Ia ibarat impian yang menjadi kenyataan bagi kami kerana bukan setiap hari kami berpeluang melancarkan dan beraksi di atas kapal”, ujarnya sewaktu majlis pelancaran albumnya pada 14 September lalu.
“Kami juga gembira kerana dapat mencipta pengalaman dan kenangan unik baru bagi kumpulan kami, tetamu dan juga peminat yang turut hadir pada hari ini. Kami harap akan dapat beraksi di atas kapal ini sambil kita semua belayar bersama-sama,” tambahnya.
Menjenamakan album tersebut sebagai Alif Satar & The Locos, Alif menyifatkan kemunculan album tersebut ibarat satu mercu tanda terhadap kematangan mereka bersama dalam kerjaya muzik mereka.
“Walaupun muzik kami agak ‘tutty fruity’ macam lagu orang muda, tapi selepas 17 tahun kami kenal antara satu sama lain dan datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza, akhirnya kami bersatu dan terlibat bersama di dalam proses pembikinan album ini.
“Kami ibarat ulat beluncas yang kemudian menjadi rama-rama. Ia cukup signifikan sekali dengan diri kami terutama saya sendiri, daripada seorang penyanyi solo, kini bersama kumpulan. Secara muzikal pula, saya terlibat sepenuhnya dalam keseluruhan proses”, ujarnya
Berkongsi mengenai lagu Anugerah Terindah, tercetusnya idea untuk menghasilkan lagu itu ketika mereka mengadakan tour di Sheffield, United Kingdom (UK) pada Februari 2019.
Lagu bergenre pop, R&B dan mempunyai sedikit pengaruh muzik 90-an itu adalah hasil ciptaan Alif sendiri bersama Romeo, Tam Cobain dan Efry Arwis. Manakala lirik pula oleh Alif, Shah Shamsiri dan Romeo.
“Proses pembikinan single ini mengambil masa yang agak lama untuk dihasilkan iaitu dari 2019 sehingga tahun ini. Betapa uniknya lagu ini kerana ia adalah ciptaan bersama sebagai sebuah kumpulan muzik yang bermula di UK dan kemudiannya, bersambung di Malaysia pada tahun lalu ketika negara pula diarahkan berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagi Faliq Auri juga pemain Saksofon ASTL, dia menyifatkan Alif penyanyi yang memang dilahirkan dengan bakat besar.
“Satu perkara yang menarik bekerja dengan Alif adalah setiap nota lagu yang dinyanyikan tepat. Sebab saya dilahirkan dekat bakat yang boleh mengesan nota lagu. Jadi, setiap kali nak buat proses rakaman atau menjayakan persembahan dengan Alif, dia tidak pernah nyanyi salah.
Sementara itu, Cynthia Lee, Naib Presiden Bahagian Jualan Resort Worlds Cruises menyifatakan bahawa pemilihan Alif Satar & The Locos sebagai artis pertama menerusi kempen ‘Sayang Lokal’ adalah bertepatan.
“Kami berasa cukup bertuah dan teruja apabila dapat memulakan kempen Sayang Lokal ini bersama dengan Alif Satar & The Locos, terima kasih juga kepada Warner Music Malaysia yang sudi bekerjasama dengan Resorts World Cruises dalam menjayakan kempen ini”, ujarnya.
Untuk info album Alif Satar & The Locos memuatkan tujuh lagu yang kebanyakannya adalah ciptaan mereka sendiri dan beberapa lagi lagu adalah hasil kolaborasi bersama komposer dan penyanyi lain iaitu Anugerah Terindah, LelakiXSempurna.
Menerusi lagu LelakiXSempurna menyaksikan kolaborasi Alif Satar dan Diandra Arjunaidi, Toxic, Isteri, Hey! dan Senyum.