September 20, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Konsert Mega Aina Abdul 3.0 November Ini

Spread the love

Selepas kejayaan Konsert Aina Abdul 2.0 di Istana Budaya (IB) tahun lalu, penyanyi Aina Abdul mengumumkan bakal mengadakan konsert mega di Axiata Arena Bukit Jalil yang mampu memuatkan 10,000 peminat pada 18 November depan.

Konsert ‘A Night with Aina Abdul 3.0’ adalah hasil garapan idea daripada Aina Abdul Entertainment dan Yayasan Perihatin Nasional (PRIHATIN).

Aina ketika ditemui media menyatakan bahawa, dia sudah lama mengimpikan untuk mengadakan konsert berskala besar selepas kejayaan di IB.

“Sebenarnya ini adalah impian saya selepas membuat persembahan di IB. Saya memang berhasrat untuk menjayakan di pentas yang lebih besar kerana peminat pun memberi galakan untuk saya buat lokasi yang lebih besar”, ujarnya

“Adalah menjadi impian setiap penghibur untuk mengadakan konsert di Axiata Arena, begitu juga dengan saya apatah lagi ‘momen’ bersejarah yang pernah terukir di Axiata membuatkan saya teruja untuk mengadakan persembahan di sana”, katanya.

“Insya-Allah doakan tiket akan ‘sold out’. Saya ada keberanian itu pun selepas kejayaan di Anugerah Juara Lagu ke-37 baru-baru ini.

Aina bakal mempersembahkan 33 buah lagu termasuk medley yang bertemakan gabungan genre moden serta klasik.  Konsert Aina juga bakal diiringi oleh pemuzik professional orkestra dan band pimpinan Mac Chew dan Jenny Chin.

“Saya akan tampil konsep berbeza terutamanya daripada pelbagai aspek, supaya dapat bagi kepuasan kepada peminat.  Jika di Istana Budaya saya telah mengerahkan hampir 60 peratus idea, kini saya akan tambah lagi 40 peratus agar ianya memberi impak buat peminat yang menyokong karier saya selama ini”

“Saya akan buat persembahan terbaik di ‘ANWAA’ 3.0 ini sebagai tanda penghargaan kepada peminat setia saya, khususnya kelab peminat saya, Aination yang tidak pernah berhenti sokong saya dan menjadi pembakar semangat saya,” katanya.

Tidak hairanlah mengapa sidang media dan pelancaran konsert ‘A Night with Aina Abdul 3.0’ di adakan di Bukit Bintang pada 12 September lalu yang turut bersaksikan ratusan peminat setianya.  Aina turut ‘belanja’ 3 buah lagu iaitu Jangan Mati Rasa Itu, Fool dan Terus Hidup sebagai simbolik kepada pelancaran konsert tersebut.

Mengulas tentang keluhan peminat tentang harga tiket, Aina berkata, tiket konsert yang bakal diadakan kali ini harganya jauh lebih murah berbanding persembahan-persembahan muzik sebelumnya, selepas mendapat bersetujuan bersama kolaborasinya iaitu Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN).

“Saya juga ada terima banyak komen daripada orang ramai di media sosial soal harga tiket yang agak mahal, jadi tiket konsert yang akan dibawakan kali ini harganya agak berpatutan dan mampu milik, jadi kena datang Sabtu ini,” katanya.

Aina dan pasukan telah bekerja keras untuk membuat persediaan rapi bagi persembahan muzik yang bakal berlangsung agar berjaya membawa penampilan yang berbeza daripada sebelumnya.

Aina turut meluahkan rasa syukurnya diberi peluang kerjasama dengan PRIHATIN bagi buat konsert solo berskala besar.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali berkata, penganjuran persembahan muzik kali ini berkonsepkan ‘Berhibur Sambil Beramal’ iaitu bukan hanya bersifat komersial semata-mata.

” Penganjuran persembahan ‘ANWAA’ 3.0 ini bakal memberi manfaat buat pelajar di universiti, dimana kita akan menyalurkan sebahagian daripada hasil jualan tiket kepada Tabung Kasih PRIHATIN.

“Jadi akan bermanfaat buat kegunaan pelajar yang tidak berkemampuan dalam kategori B40 dan asnaf di peringkat pengajian tinggi,” ujar beliau.

Peminat yang ingin menyaksikan konsert ‘A Night With Aina Abdul 3.0’ boleh mendapatkan tiket dengan harga yang bermula RM98 (Silver) hingga RM458 (MIP) bermula 15 September di www.aina.abdul.my.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page