November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Lebih 30 Pelakon Bakal Jayakan Pementasan Teater Tun Fatimah September Ini

Spread the love

Teater Tun Fatimah kembali menemui peminat teater tempatan dengan naskah yang berbeza iaitu ‘Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka’. Seramai 30 pelakon termasuk artis terkenal tanah air dan pesilat negara telah terlibat dalam pementasan teater ini.

Presiden Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM) Lokman Ab Ghani berkata, pementasan kali kedua ini akan dipentaskan dari 28 hingga 30 September, ianya akan berlangsung di Dewan Besar Kolej Yayasan Saad (KYS).

“Jalan cerita masih dikekalkan, cuma ada sedikit perubahan pada skrip dan juga pelakonnya utamanya yang kali ini akan dimainkan oleh Neera Azizi sebagai Tun Fatimah manakala Ashraf Muslim sebagai Sultan Mahmud.

“Selain itu, teater ini akan turut dibintangi oleh pelakon veteran Datuk Jalaludin Hassan, Aziz M Osman dan juga Danial Dasuk,”katanya ketika ditemui pada sidang media Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka baru-baru ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa teater tersebut turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) selain tarikh pementasan adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-15 Melaka Bandaraya Warisan Dunia.

Lebih RM100,000 diperuntukkan pihaknya bagi menjayakan pementasan yang berlangsung selama tiga hari itu selain tiket sudah mula dijual secara dalam talian bermula 1 September lalu.

“Kalau ikutkan kos, kita peruntukkan lebih RM100,000 termasuk perbelanjaan untuk set persembahan dan juga kostum kesemua artis. Selain itu kita mensasarkan kira-kira 1,000 penonton datang untuk menyaksikan persembahan kali ini.

“Pemilihan dewan KYS adalah selaras hasrat pihak kolej yang mahu berkongsi ilmu dan pengetahuan mengenai seni teater kepada pelajar mereka. Sebelum ini kita pentaskan Tun Fatimah Srikandi Empayar Melaka ini di Panggung Bangsawan,” ujarnya lagi.

Majlis perasmian teater itu telah disempurnakan oleh Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar selain turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) Melaka Ezlina Elias.

Peminat yang ingin meyaksikan persembahan teater ini boleh mendapatkan tiket yang berharga RM 30.00 (Normal Pass) dan RM50.00 ( Golden Pass) dengan melayari http://t2u.asia/e/31945


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page