‘Tiba Masa’ Di angkat Menjadi Judul Konsert Zainal Abidin
Empat dekad berada dalam industri muzik tanah air tentunya memberi kelebihan buat Datuk Zainal Abidin. Pernah berada dalam band, selain mencipta fenomena sebagai penyanyi solo, Zainal hadir dengan pelbagai karya yang mampu menembus tembok perkauman di Malaysia dan diterima pelbagai bangsa.
Kini, Zainal hadir dengan buah tangan terbaharu berjudul Tiba Masa yang dilancarkan secara rasmi pada 4 September lalu di Bangsar, Kuala Lumpur.
“Tiba Masa adalah kesinambungan selepas 30 tahun lagu Hijau. Waktu itu saya bercakap dan memberi nasihat mengenai kesedaran, jadi sekarang adalah masa menuai hasil daripada nasihat itu”, ujar Zainal.
“Liriknya menitipkan mesej mengenai perdagangan, peperangan, tempat berteduh, pembangunan, pusaka alam dan harta dunia,” katanya mengenai lagu ciptaan Michael Veerapan dan lirik oleh Mukhlis Nor itu.
“Sejak dulu saya tak buat lagu Melayu, tetapi saya buat lagu Malaysia. Dalam kata lain, lagu itu boleh diterima oleh bangsa lain dan turut diselitkan beberapa elemen seperti dialek, elemen kebudayaan seperti Melayu, Tamil, Kantonis serta susunan muzik unik. Mungkin akan ada lagu Kadazan.
“Sudah tiba masanya untuk kita buktikan diri kita dalam bidang muzik. Dalam masa 10 hingga 20 tahun akan datang, kita semua akan sama dari segi jumlah populasi mengikut kaum. Sekarang kita kena bendung perasaan untuk mengasingkan diri dari segi bangsa dan keagamaan,” ujarnya kepada media sewaktu pelancaran single tersebut baru-baru ini.
Zainal juga bakal tampil dengan konsert ‘Tiba Masa… Zainalabidin’ yang di anjurkan oleh BSync Live dan X-FWD Management. Konsert itu akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, pada 29 dan 30 September ini.
“Saya pilih Istana Budaya kerana ia sesuai untuk muzik pop dan rock antarabangsa. Kebanyakan peminat dan penonton konsert saya adalah mereka yang sudah dewasa dan ada posisi masing-masing dalam kerjaya.
“Mereka nak duduk ketika menonton dan bukan nak berdiri di zon rock seperti lokasi lain. Jadi, saya kena sesuaikan kehendak mereka dan lokasi sesuai adalah seperti di Istana Budaya,” ujarnya lagi.
Katanya, akan ada beberapa kejutan bakal disaksikan penonton. Lebih menarik, konsert berdurasi satu setengah jam hingga dua jam itu turut menampilkan kumpulan Headwind yang menaikkan nama beliau.
“Sudah tentu saya akan menyanyikan lagu-lagu hit saya seperti Hijau, Ikhlas Tapi Jauh dan Orak Orek. Untuk konsert ini juga saya undang teman-teman Headwind, sama-sama menyanyi lagu popular kami dulu.
“Pasti lagu-lagu seperti Suraya, Pelangi, Segalanya Mungkin, dan Hanya Di Radio bakal mengimbas nostalgia penonton. Kali terakhir kemunculan Headwind bersama saya adalah lima tahun lalu dalam salah satu konsert saya,” katanya yang teruja untuk menghibur peminat setia.
Untuk menonton konsert ‘Tiba Masa… Zainalabidin’ tiket-tiket berharga dari RM169 untuk tempat duduk Aras 2 sehingga RM865 untuk tempat duduk kategori Emas boleh dibeli di www.ticket2u.com.my