November 23, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Tona Warna Southern Metal Assaults Edisi Ke 6

Spread the love

Meskipun baru sahaja berlalu namun penganjuran Southern Metal Assault edisi ke 6 berjaya meletakkan jenama SMA di atas platform yang cukup tinggi dimana pelbagai kejutan telah di pertontonkan kepada khalayak kepada jenama tersebut.

TFHM Production dan The Doushce Garage Studio membuka lembaran baru muzik bawah tanah tempatan khususnya komuniti kecil buat peminat di Muar amnya dengan penganjuran di dalam sebuah dewan yang cukup eksklusif yang serba lengkap fasilitinya selain kesejukan melampau yang memaksa peminat pasrah dengan suhu sejuk yang mencengkam jiwa.

Penampilan SOG (Sekumpulan Orang Gila), Massacre Conspiracy, Predicate Not Defined, Crazy Grizzly, Nirrajim, Wynken Delirium, Rythmask, Samurai, Langsuir dan Metalasia sudah pasti mengubah atmosfera yang sejuk kepada bahang panas sesuai dengan pegangan genre muzik yang mereka pertaruhkan.  Lebih mengujakan hampir 300 peminat berjaya di satukan di bawah satu bumbung.

Pelbagai aksi dipertontonkan seraya energi yang seakan tiada bersempadan menjadi taruhan, tidak hairanlah mengapa mereka masih lagi releven dan pertambahan pendengar saban hari.  Konsert yang bermula sekitar jam 3 petang dan berakhir pada jam 11,30 malam itu sudah pasti memberikan pengalaman, nostalgia serta mengukuhkan ikatan persahabatan di kalangan khalayak yang hadir.

Samurai yang di asaskan di Tangkak, Johor telah memberikan persembahan yang cukup dengan rencah dan resepi yang di adun dengan 3 tenaga yang berjaya membawa penonton untuk terus terpaku hingga ke band seterusnya.  Lebih 10 buah lagu telah dipersembahkan termasuk lagu Fear Of Napalm saduran daripada Terrorizer selain beberapa lagu yang dipetik daripada album mereka yang berjudul Konfratasia, Pendekar Belantara dan Angker.

Kewibawaan Langsuir sudah tidak perlu dipertikaikan, band yang cukup sarat dengan nuansa eastern ini turut membawa khalayak mengembara ke alam gelap yang penuh dengan magis, tahyul dan dongengan purba selain aksi bertenaga yang cukup dramatic. Tidak hairanlah mengapa lagu-lagu seperti Gentayangan Bajingan Malam, Tangisan Embun Pagi, The Seventh One, Occultus Mysticism, In The Name Of Sil Khannas, Descent Of The Fire Breathed dan Liberalisasi Songsang sentiasa meniti di bibir fanatika mereka. Tanpa My Oath For Thee pastinya ianya seakan anti klimaks kepada persembahan Langsuir, akur dengan kekangan masa maka Langsuir terpaksa berlalu tanpa noktah.

Pastinya Metalasia yang ditubuhkan pada tahun 1997 di bawah naungan Tri Castle Entertainment menjadi bom jangka yang sentiasa dinantikan oleh hadirin. Berpaksikan progresif, symphonic power metal acuan kemelayuan menjadi agenda CD Naz, Muix, King Shah, Ritz, Zul, Erwan dan Fariz untuk menjadikan mereka antara band yang memecah kemelut rock ketika itu.

Metalasia memecah kesejukan malam dengan rangkaian lagu-lagu seperti Banzai, Insaf Manusia  Berdosa, Kamikaze, Bencana, Serangan Katari, Silantra ..Bermulanya Sebuah Epik, Istana Api, Bahtera Puaka, Senjata Sakti Tujuh Gunungan, Kuda Padiku Mengamuk Dengar Lagu Metal dan Khalifah Alam Maya.  Mereka menutup tirai dengan lagu Puspasari Penawar Puteri yang nyata bisa merawat nestapa khalayak yang merindui gandingan vokal antara Ning Baizura dan Muix, bezanya lagu tersebut telah digandingkan dengan CD Naz.

Percubaan berani TFHM Production dan The Doushce Garage Studio untuk memberikan fasiliti terbaik buat penonton wajar diberikan pujian meskipun ada beberapa kelemahan yang harus di pandang serius antaranya pencahayaan di atas pentas yang perlu di titik berat untuk menghidupkan sesebuah acara, penggunaan papan LED harus di guna pakai dengan sebaik mungkin dimana paparan video mapping yang ‘bernyawa’ serba beberapa aspek teknikal.  Apa pun Southern Metal Assault edisi ke 6 berjaya mengubat kecanduan rindu kepada gig kasta tertinggi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page