Romantika Di Kuala Lumpur Buat Peminat Bruno Major
Teks oleh: Sakka E
Bersua peminat buat pertama kalinya di Malaysia pada 2018. Konsert yang mencatat jualan tiket “sold-out” nyata melahirkan keterujaan yang jelas terzahir diwajah para peminat Bruno Major untuk bersua kembali dengan penyanyi kesayangan mereka setelah siri jelajah “Tour Of Planet Earth” yang dirancang pada tahun 2020 terpaksa ditunda akibat pandemik Covid 19.
Bertarikh 20 Ogos 2023, bertempat di Zepp, Kuala Lumpur penantian hampir 5 tahun berakhir apabila penyanyi dan penulis lagu yang berasal dari Northampton, England itu kembali dengan pesona segar bersama rangkaian seleksi lagu yang pastinya mengubat kerinduan para peminat beliau. Kehadiran beliau menjadi lebih istimewa lagi apabila Kuala Lumpur dipilih sebagai acara penutup bagi siri jelajah Asia sebelum meneruskan penjelajahannya ke Amerika Utara pula sebelum mengakhirinya di London, England pada 23 November nanti.
Konsert dijadualkan akan bermula pada jam 8:30 malam namun kelihatan sejak jam 3 petang para peminat tegar Bruno Major yang rata – ratanya terdiri dari golongan remaja telah mula beratur untuk mendapatkan tiket yang telah dibeli secara atas talian walaupun kaunter pengambilan tiket belum dibuka, keadaan ini jelas membuktikan betapa dahaga dan rindunya para peminat akan alunan suara yang penuh “soul” dan petikan gitar yang mendayu dari bintang pujaan mereka yang terkenal dengan lagu “Easily” dan “We Were Never Really Friends” itu.
“The Show Must Go On” yang dipetik dari album “Columbo” menjadi sajian pembuka tirai persembahan yang bermula jam 8:35 malam. Tampil dengan penuh gaya namun bersahaja menjadikan seluruh dewan menjadi riuh rendah dengan sorakkan dan teriakkan membuatkan bintang pujaan itu tersenyum merasakan kehangatan sambutan yang diberikan kepada beliau.
Senarai set seterusnya adalah pilihan dari album pertama beliau berjudul “A Song For Every Moon” dengan lagu – lagu seperti: “Second Time”, “Like Someone In Love”, “Fair Weather Friend” dan “Wouldn’t Mean A Thing”, ternyata peminat Bruno Major di Malaysia bukanlah peminat picisan apabila setiap baris dan kata pada lagu- lagu tersebut dihafal dan dinyanyikan bersama dari awal hingga akhir mencetuskan suasana yang sungguh menakjubkan.
Bait – bait lirik dari lagu – lagu dari album “To Let A Good Thing Die” yang mempersona terus membuai jiwa – jiwa yang hadir, bermula dengan lagu berjudul “Regent’s Park” diikuti dengan “The Most Beautiful Thing” jelas membuatkan seluruh isi dewan melayang dengan gemerlapan cahaya yang seakan berada dalam mimpi.
“Columbo”, judul album terbaru Bruno Major yang amat dinantikan, jelas memikat peminatnya dengan kesegaran aura unik apabila dipersembahkan dengan penuh jiwa antaranya: “Tell Her”, “18” dan banyak lagi. Siri jelajah ini juga menjadi salah satu cara beliau mempromosikan album yang dilancarkan pada Julai tahun ini.
Konsert Bruno Major: Tour of Planet Earth 2023 di Kuala Lumpur itu dibawakan oleh Shiraz Projects selaku penganjur. Bruno Major yang sudah bijak untuk ‘memikat’ para penggemarnya bukan hanya sekadar menitik beratkan pada nyanyian tetapi ‘memancing’ telinga penonton agar puas ketika mendengarkan improvisasi permainan gitar dan piano yang saling bertukar ganti dan pada suatu ketika seluruh dewan terdiam terkesima pada lagu yang telah dipersembahkan.
Bruno nyata cukup bijak beriteraksi dengan khalayak apatah lagi mendodoi jiwa dan perasaan peminat dengan untaian kata-kata puitis yang diterjemahkan menerusi melodi yang di garap dengan baik hingga mampu membuat hadirin ‘terbang’ dalam ‘mimpinya’.
Biarpun baru selesai mengadakan persembahan di Jakarta, Indonesia, Bruno tetap memberikan persembahan terbaik buat peminatnya dengan menyampaikan 17 buah lagu.
“Kali terakhir saya datang ke Malaysia adalah pada 2018 untuk mengadakan konsert. Selepas lima tahun, saya kembali lagi ke sini bukan saya untuk mengubati peminat, tetapi juga untuk memperkenalkan album saya yang ketiga, Columbo,” ujarnya kepada media sebelum konsert bermula.
Tirai persembahan dilabuhkan dengan dua buah lagu iaitu “Easily” dan “The End’, meninggalkan hadirin dengan kenangan bagaikan mimpi dalam sedar yang terus segar dalam ingatan.