November 1, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Jason Mraz Hipnosis Lebih 8,000 Peminat

Spread the love

Penyanyi antarabangsa itu membuktikan kekuatan muzik terletak pada kejujuran vokal, petikan gitar dan karya yang dekat dengan kehidupan.

Penantian tujuh tahun akhirnya terubat apabila lebih 8,000 peminat membanjiri Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil untuk menyaksikan kepulangan penyanyi dan komposer antarabangsa, Jason Mraz menerusi Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur, 31 Oktober lalu.

Tanpa bergantung kepada produksi pentas mewah atau gimik keterlaluan, Jason membuktikan kekuatan seorang penghibur bukan terletak pada kemegahan visual, sebaliknya kejujuran vokal, kemahiran bermain gitar serta keupayaan membina hubungan dengan penonton.

Dipersembahkan oleh Prudential Malaysia dan dianjurkan Zues Event Sdn Bhd, konsert itu menampilkan 20 lagu yang membawa penonton menyelami pelbagai sisi karya Jason, daripada percintaan dan persahabatan kepada mesej positif mengenai kehidupan.

Membuka tirai menerusi You and I Both, Jason menyapa penonton dengan ucapan, “Apa khabar, Malaysia? It’s really good to be back,” sebelum meneruskan persembahan dengan Long Drive, Livin’ in the Moment dan Let’s See What the Night Might Do.

Suasana semakin hangat apabila Lucky dipersembahkan secara duet. Kolaborasi istimewa itu menjadi antara momen paling dinanti, sekali gus mengembalikan nostalgia peminat terhadap lagu duet yang pernah mencuri perhatian dunia.

Momentum diteruskan menerusi Make It Mine dan I Feel Like Sweating sebelum suasana kembali tenang dengan Details in the Fabric. Jason kemudian menyuntik keceriaan menerusi Remedy dan 3 Things yang memperlihatkan sisi santai serta bersahajanya.

Menariknya, Jason tidak lokek mengucapkan “terima kasih” dalam bahasa Malaysia setiap kali berinteraksi dengan penonton. Usaha sederhana itu mengundang sorakan dan senyuman, sekali gus memperlihatkan penghargaan tulusnya terhadap peminat tempatan.

Sisi romantis pula terserlah menerusi Love Someone, diikuti Unfold, Best Friend dan Beautiful Mess. Sementara itu, Song for a Friend memberikan ruang kepada permainan instrumental untuk menyerlah, memperlihatkan keserasian Jason bersama pemuzik pengiring.

Dalam perkongsian bersama penonton, Jason mengakui kebanyakan lagu ciptaannya berkisar tentang cinta, perkara yang bermain dalam fikirannya serta mesej positif. Walaupun sering menggunakan rangkaian kord yang sama, setiap karya tetap mempunyai identiti tersendiri menerusi melodi dan penceritaan berbeza.

Perjalanan diteruskan dengan 93 Million Miles yang membawa mesej kekeluargaan dan kehidupan. Cahaya telefon bimbit yang menerangi ruang stadium turut menghasilkan pemandangan indah, sebelum Have It All menyusul dengan pesanan tentang harapan dan impian.

Dari sudut teknikal, sistem audio yang seimbang dan mesra telinga membolehkan kejelasan vokal Jason, petikan gitar serta instrumen pengiring dinikmati dengan baik. Pencahayaan pula memilih pendekatan minimalis yang bersesuaian dengan karakter muziknya, tanpa mengalihkan perhatian daripada persembahan.

Menjelang penghujung konsert, I Won’t Give Up menjadi antara kemuncak apabila ribuan penonton menyanyi bersama, mencipta suasana penuh emosi. Lagu No Plans kemudian membawa persembahan ke penghujung sebelum Yours menutup seleksi lagu malam itu.

Hakikatnya, Jason Mraz Asia Tour 2026 Live in Kuala Lumpur membuktikan muzik yang jujur tidak memerlukan kemewahan untuk menyentuh hati. Dengan gitar, vokal dan karya yang dekat dengan kehidupan, Jason bukan sekadar menghidupkan semula nostalgia, malah mencipta kenangan baharu buat ribuan peminat yang hadir.

Pengarah Zues Event Sdn Bhd, Jeffery Chin berkata, pihaknya amat berbesar hati dan berterima kasih atas sambutan serta sokongan luar biasa yang diterima.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan strategik, penaja, artis, kru dan seluruh pasukan produksi yang menjayakan konsert berkenaan, selain menyifatkan kejayaan itu sebagai permulaan kepada lebih banyak penganjuran persembahan menarik pada masa akan datang.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page