October 28, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Rizky Febian Sedia Pukau Peminat di ‘Malam Rawan’

Spread the love

Nadhif Basalamah turut beraksi sebagai artis jemputan, Rizky akui isteri dan anak jadi pembakar semangat amalkan gaya hidup sihat

Bergelar suami dan bapa bukan sekadar mengubah rutin kehidupan Rizky Febian, malah mendorong penyanyi Indonesia itu untuk lebih menghargai kesihatan, merancang masa depan dan membina kehidupan lebih baik buat keluarga tersayang.

Rizky, berkata, isteri, Mahalini dan anak mereka, Zairee Selina Quinlyn Kareema Febian, menjadi pendorong utama untuknya mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk bersenam bagi memastikan dirinya kekal cergas.

“Banyak perkara yang mengubah hidup saya, salah satunya dari segi kesihatan. Saya mula bersenam dan mengamalkan gaya hidup sihat kerana mahu mempunyai lebih banyak masa bersama isteri dan anak,” katanya.

Rizky ditemui pada sidang media konsert Malam Rawan, Diorama by Rizky Febian: Live in Kuala Lumpur yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, 29 November ini.

Penyanyi lagu Hingga Tua Bersama itu berkata, tanggungjawab sebagai ketua keluarga turut mematangkan pemikirannya, terutama dalam membuat keputusan dan merancang masa depan.

Katanya, dia kini turut memberi perhatian kepada bidang perniagaan, termasuk menguruskan syarikat rakaman serta membangunkan jenama minyak wangi untuk isterinya, Mahalini.

“Sebab itulah sekarang saya fokus kepada syarikat rakaman, belajar perniagaan dan membangunkan jenama minyak wangi untuk Lini.  Saya berusaha untuk terus berinovasi demi membahagiakan mereka berdua semampu saya,” ujarnya.

Di sebalik perubahan kehidupan itu, Rizky tetap tidak melupakan kecintaannya terhadap muzik apabila bersedia kembali menemui peminat Malaysia menerusi konsert yang menjanjikan persembahan sarat melodi cinta dan emosi.

Lebih istimewa, konsert berkenaan turut menampilkan penyanyi Indonesia, Nadhif Basalamah sebagai artis jemputan, sekali gus menyatukan dua nama yang dikenali menerusi karya dengan sentuhan romantik dan lirik dekat di hati pendengar.

Rizky berkata, dia teruja untuk kembali bertemu peminat di Kuala Lumpur, meskipun mengakui masih berasa gemuruh menjelang persembahan berkenaan.

“Sebenarnya, menyeronokkan sekali kerana persiapannya sudah bermula awal. Bagaimanapun, rasa gemuruh itu tetap ada walaupun ini akan menjadi kali ketiga saya tampil membuat persembahan di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan muziknya dan dia berharap konsert kali ini mampu memberikan pengalaman bermakna kepada peminat.

“Saya sangat senang dapat kembali bertemu dengan peminat di Kuala Lumpur. Malaysia sentiasa mempunyai tempat yang istimewa dalam perjalanan muzik saya dan saya tahu ramai yang sudah menantikan untuk bernyanyi bersama-sama.

“Kali ini, saya ingin memberikan sebuah persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga meninggalkan kenangan yang istimewa buat semua yang hadir,” katanya.

Antara lagu popular yang dijangka menghidupkan suasana konsert termasuk Kesempurnaan Cinta, Penantian Berharga, Cuek, Makna Cinta, Terlukis Indah dan Hingga Tua Bersama.

Karya yang mengangkat tema cinta, kerinduan dan perjalanan kehidupan itu mengukuhkan kedudukan Rizky sebagai antara penyanyi Indonesia yang mempunyai pengikut tersendiri dalam kalangan peminat muzik serantau.

Kehadiran Nadhif pula dijangka menambah warna kepada persembahan menerusi lagu popularnya, Penjaga Hati, yang mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik pop Indonesia.

Konsert berkenaan dibawakan Kumho International dan dianjurkan AM Entertainment dengan kerjasama RSI Solusi Indonesia.

Tiket boleh didapati menerusi laman Ticket2U di Ticket2U.com.my/RizkyFebian, dengan kategori CAT 1 (Standing) berharga RM228, CAT 2 (Premium Seat) RM248 dan CAT 3 (Normal Seat) RM238.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page