October 28, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Enam Tahun Berjuang, DOLLA Takluk Paris!

Spread the love

Sokongan kira-kira 2,000 penonton, peminat empat negara dan momen penuh emosi mewarnai penampilan sulung kumpulan wanita itu di pentas Eropah

Enam tahun membina nama, berdepan cabaran dan bekerja keras dalam industri muzik akhirnya membawa DOLLA ke pentas yang lebih besar apabila kumpulan wanita itu mencipta detik bersejarah menerusi persembahan sulung di Eropah.

Bukan sekadar memenuhi pentas The A Music Festival di Paris Event Centre, Sabtu lalu, Angel, Sabronzo dan Tabby turut menerima sambutan hangat kira-kira 2,000 penonton, termasuk peminat dari Perancis, United Kingdom, Jerman dan Itali.

Lebih membanggakan, kemunculan itu membuka peluang buat DOLLA memperkenalkan muzik pop Malaysia secara langsung kepada khalayak Eropah, sekali gus mengukuhkan langkah mereka dalam misi menembusi pasaran antarabangsa.

Sebanyak 12 lagu dipersembahkan, termasuk UGLY, single terbaharu mereka, Impikan dan Bad, selain lagu yang belum dilancarkan, All Over You.

DOLLA turut berkongsi pentas dengan Tobii menerusi lagu Bad Girls Like You, mencetuskan pengalaman istimewa buat kumpulan itu dan penonton yang hadir.

Bagi Angel, peluang beraksi di Eropah selepas enam tahun membina kerjaya bukan pencapaian kecil, sebaliknya detik yang akan terus terpahat dalam ingatan mereka.

“Perasaan ini memang luar biasa dan peluang yang sangat bermakna buat kami. Selepas enam tahun berusaha dan bekerja keras, akhirnya berpeluang membuat persembahan di pentas Eropah buat kali pertama terasa seperti satu pencapaian yang sangat besar.  Saat ini pasti akan sentiasa kami kenang,” katanya.

Namun, bukan sekadar jumlah penonton yang meninggalkan kesan, sebaliknya sambutan luar biasa daripada peminat yang baru pertama kali mereka temui.

Sabronzo mengakui kemesraan penonton di Paris memberikan suntikan semangat sehingga membuatkan mereka tidak mahu persembahan itu berakhir.

“Apa yang paling mengejutkan saya ialah kemesraan dan sokongan mereka yang begitu kuat. Tenaga mereka sangat menular sampai saya betul-betul tak mahu persembahan itu berakhir.  Rasanya sangat istimewa apabila disambut dengan begitu mesra di tempat yang jauh dari rumah,” katanya.

Antara momen paling menyentuh hati buat Angel ialah ketika penonton menyalakan lampu telefon sepanjang sebuah lagu dipersembahkan, termasuk mereka yang mungkin belum pernah mendengarnya atau tidak memahami bahasanya.

“Suasana di dalam dewan terasa seperti mimpi. Itulah antara kenangan yang saya harap dapat alami berulang kali,” katanya.

Tabby pula menyifatkan kejayaan persembahan itu sebagai hasil komitmen seluruh pasukan yang bekerja keras membuat persiapan sebelum berangkat ke Paris.

“Penonton memang luar biasa! Saya sangat bangga dengan kami dan pasukan kerana berjaya menjayakan persembahan yang hebat selepas mencurahkan segala usaha dan tenaga untuk membuat persiapan.

“Ini yang pertama, dan semoga akan ada banyak lagi selepas ini,” katanya.

DOLLA menjadi satu-satunya kumpulan dari Malaysia dalam barisan artis hari pertama The A Music Festival, yang menghimpunkan penggiat muzik pop Asia Tenggara dan Korea.

Mereka berkongsi pentas bersama JASP.ER, 4EVE dan Tobii dari Thailand, TRENDZ serta Jacob dari Korea Selatan, selain ALAMAT dari Filipina.

Di luar pentas festival, DOLLA turut mengambil kesempatan mendekati peminat Eropah menerusi sesi pertemuan di Trocadéro, Paris, termasuk bersama ahli kelab peminat iDOLLA France.

Pertemuan itu menjadi lebih bermakna apabila mereka menerima sebuah buku kecil yang dipenuhi pesanan daripada peminat. Pemberian berkenaan membuatkan Angel sebak, manakala Sabronzo menghargai peluang bertemu sendiri individu yang selama ini menyokong mereka menerusi media sosial.

“Mengetahui muzik kami telah sampai sejauh ini dan begitu dekat di hati orang ramai, sehingga mereka datang menonton persembahan, mempelajari koreografi kami, malah menyertai kami dalam rakaman tarian dan pertemuan peminat di sekitar Paris, memang sesuatu yang luar biasa,” kata Sabronzo.

Kesempatan berada di kota romantik itu turut dimanfaatkan untuk bekerjasama dengan beberapa kru tarian tempatan bagi menghasilkan video tarian lagu DOLLA, termasuk rakaman berlatarbelakangkan Menara Eiffel.

Mereka juga mengadakan pertemuan dengan wakil Kedutaan Malaysia bagi membincangkan potensi kerjasama dan peluang pada masa hadapan.

Bagi Tabby, detik selepas persembahan menjadi antara pengalaman paling emosional apabila menyedari usaha keras mereka mendapat penghargaan daripada penonton di negara asing.

“Saya hampir menangis kerana terlalu bangga dengan kami, melihat dan mendengar usaha keras kami dihargai oleh penonton di Paris,” katanya.

Penampilan sulung itu menjadi satu lagi penanda aras dalam perjalanan seni DOLLA, membuktikan usaha mereka bukan hanya mendapat tempat di Malaysia, malah mula menjangkau peminat di luar negara.

Bagi kumpulan itu, Paris bukan sekadar destinasi persembahan, sebaliknya permulaan kepada impian lebih besar untuk membawa muzik Malaysia ke pentas dunia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page