October 27, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

for Revenge Himpunkan Jiwa, Luka Di ‘Titik Sadrah’

Spread the love

Cynantia Pratita, Dul Jaelani, Fiersa Besari, Rony Parulian, Sekumpulan Orang Gila dan Tepe sertai konsert ulang tahun ke-20 kumpulan Indonesia itu di Zepp KL, 15 November ini

Luka, kehilangan dan kisah cinta yang tidak kesampaian bakal bersatu dalam satu malam penuh emosi apabila kumpulan popular Indonesia, for Revenge, membawa konsert Titik Sadrah ke Zepp Kuala Lumpur pada 15 November ini.

Meraikan dua dekad perjalanan seni, for Revenge bukan sekadar mahu menghiburkan peminat, sebaliknya mengajak mereka menyelami kembali kisah di sebalik lagu yang pernah menjadi teman ketika jatuh cinta, berdepan perpisahan dan belajar melepaskan masa lalu.

Lebih istimewa, konsert itu turut menampilkan enam artis undangan iaitu Cynantia Pratita, Dul Jaelani, Fiersa Besari, Rony Parulian, Sekumpulan Orang Gila dan Tepe yang bakal memberikan warna tersendiri kepada persembahan berkenaan.

Gabungan artis terbabit dijangka menyemarakkan pentas menerusi pertembungan pelbagai karakter muzik dan emosi, sekali gus menjadikan Titik Sadrah sebagai pengalaman berbeza buat peminat yang mengikuti perjalanan seni kumpulan dari Bandung, Indonesia itu.

Konsert anjuran Neptunes Presents dengan kerjasama Antara Suara dan Sony Music itu juga menjadi sebahagian daripada siri jelajah antarabangsa for Revenge sempena sambutan ulang tahun ke-20 mereka.

Jurucakap Neptunes Presents, Muhamad Hadi Johari berkata, for Revenge membina perjalanan seni menerusi karya yang dekat dengan kehidupan pendengar, sekali gus menjadikan muzik mereka lebih daripada sekadar hiburan.

“Daripada Fireworks dan Second Chance, hinggalah Perayaan Patah Hati Babak 1 dan Babak 2, setiap karya membawa kisah tersendiri serta mencerminkan perkembangan muzik kumpulan terbabit.

“Kini, perjalanan muzik mereka diteruskan di Kuala Lumpur untuk bertemu secara langsung dengan peminat di Malaysia yang selama ini mengikuti karya mereka merentasi sempadan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lagu-lagu for Revenge mempunyai makna tersendiri buat peminat kerana hadir mengiringi pelbagai fasa kehidupan, termasuk saat bahagia mahupun ketika berdepan ujian emosi.

“Ada lagu yang hadir ketika seseorang jatuh cinta, ada yang menjadi teman ketika melalui perpisahan, manakala sebahagiannya pula menemani proses untuk menerima dan melepaskan sesuatu yang sudah berlalu.

“Pentas Titik Sadrah di Kuala Lumpur memberi peluang kepada semua cerita itu untuk bertemu dalam satu ruang,” katanya.

Malah, peminat turut diajak berkongsi lagu for Revenge yang paling dekat dengan hati mereka, selain menceritakan pengalaman peribadi di sebalik lagu berkenaan.

Cerita dan foto yang dikongsikan peminat akan menjadi sebahagian daripada pengalaman Titik Sadrah di Kuala Lumpur, sekali gus membuka ruang untuk mereka menjadi sebahagian daripada perjalanan konsert itu.

for Revenge yang ditubuhkan pada 2006 di Bandung dianggotai Boniex Noer selaku vokalis, Arief Ismail (gitar), Izha Muhammad (bass) dan Archims Pribadi (dram).

Kematangan kumpulan itu dalam mengolah emosi menjadi karya yang dekat dengan pendengar turut terserlah menerusi album Perayaan Patah Hati – Babak 1 yang dilancarkan pada 2022.

Menerusi Titik Sadrah, for Revenge mahu mengajak peminat meraikan keseluruhan perjalanan hidup, termasuk perkara yang pernah menyakitkan, pengalaman yang sudah berlalu dan peluang untuk membuka lembaran baharu.

Bagi peminat di Malaysia, konsert itu bukan sekadar peluang menyaksikan persembahan secara langsung, malah ruang untuk menyanyikan lagu-lagu yang pernah menjadi sebahagian daripada kisah hidup mereka bersama ribuan peminat lain.

Maklumat lanjut dan pembelian tiket boleh didapati menerusi laman rasmi forrevenge.id.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page