October 26, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Lebih 20 Tahun Menyepi, Maman Kembali Dengan Luka Kehilangan

Spread the love

Selepas mengutamakan keluarga dan melalui detik kehilangan anak lelaki, vokalis Teacher’s Pet muncul semula menerusi single Menjelmalah Aku serta showcase Back To School pada 27 Disember depan.

LEBIH dua dekad meninggalkan dunia muzik demi keluarga, vokalis Teacher’s Pet, Maman, kembali dengan kisah kehidupan yang sarat pengorbanan, kehilangan dan kekuatan untuk memulakan semula perjalanan seni.

Kemunculan semula itu diterjemahkan menerusi single terbaharu berjudul Menjelmalah Aku, yang bukan sekadar menandakan kebangkitan kumpulan itu, malah membawa makna tersendiri selepas mereka sekian lama membawa haluan masing-masing.

Di sebalik kepulangan itu, Maman turut berdepan ujian besar apabila kehilangan anak lelakinya dalam satu kemalangan tragik, kira-kira tiga bulan sebelum anaknya dijadualkan mendirikan rumah tangga.

Kehilangan itu menjadi antara episod paling menyedihkan dalam perjalanan hidup penyanyi berkenaan, yang sekian lama memilih untuk memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga berbanding mengejar populariti.

Malah, pengorbanannya termasuk menetap di Singapura bagi membesarkan anak-anak dan menjaga keluarga, sekali gus menjelaskan mengapa perjalanan untuk kembali ke pentas muzik mengambil masa begitu panjang.

Bagi Maman, kepulangan Teacher’s Pet bukan sekadar usaha mengembalikan nama kumpulan yang pernah popular sekitar era 1990-an dan 2000-an, sebaliknya turut membawa cerita kehidupan yang dilalui sepanjang tempoh menyepi.

“Lagu ini sebenarnya sudah ada sejak zaman COVID-19 lagi. Cuma perjalanan hidup membuatkan kami mengambil masa yang sangat panjang untuk kembali. Lebih 20 tahun kami menyepi kerana keluarga, anak-anak dan kehidupan.

“Banyak perkara berlaku sepanjang tempoh itu. Ada pengorbanan yang kita buat untuk anak dan keluarga, dan ada juga kehilangan yang sangat besar.

“Jadi apabila kami kembali dengan lagu ini, ia bukan sekadar comeback. Ia membawa cerita dan perjalanan hidup kami,” katanya.

Menariknya, Menjelmalah Aku sebenarnya sudah dihasilkan ketika pandemik COVID-19, namun perancangan untuk menghidupkan semula perjalanan muzik Teacher’s Pet tidak dapat direalisasikan dalam tempoh singkat.

Selepas melalui pelbagai fasa kehidupan, mereka kini bersedia membuka lembaran baharu dengan memperkenalkan semula muzik yang pernah dekat di hati peminat.

Kemunculan semula itu turut disusuli showcase Teacher’s Pet: Back To School yang dijadual berlangsung pada 27 Disember depan di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, Selangor.

Mengangkat tema Back To School, persembahan berkenaan bakal membawa peminat mengimbau nostalgia menerusi rangkaian lagu yang pernah menjadi identiti kumpulan itu, termasuk Warisan Wanita Terakhir, Malas dan Dakap­kan Aku Ke Syurga.

Dengan kapasiti dewan sekitar 2,800 penonton, showcase berkenaan dijangka menjadi pertemuan istimewa antara Teacher’s Pet dan peminat yang membesar bersama lagu-lagu mereka.

Malah, lagu Warisan Wanita Terakhir turut diberikan perhatian menerusi segmen khas yang menawarkan peluang kepada peminat untuk membawa pulang gitar sebagai hadiah utama.

Dari segi barisan anggota, Teacher’s Pet masih mengekalkan anggota asal iaitu Maman, Addy dan Zul, selain kehadiran Yuri sebagai pemain dram baharu.

Bagi memastikan kemunculan semula mereka mendapat perhatian meluas, kumpulan itu turut memanfaatkan platform digital dan media massa untuk memperkenalkan kembali muzik serta perjalanan seni mereka kepada peminat lama dan generasi baharu.

Tiket Teacher’s Pet: Back To School ditawarkan pada harga RM88 bagi kategori General Admission, RM128 (Silver), RM188 (Gold) dan RM228 (VIP).

Jualan tiket dibuka pada 28 Oktober ini, jam 12 tengah hari menerusi platform iLassoTickets di www.iLassoTickets.com/TeachersPetBackToSchool.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page