Lebih 10 tokoh Dikir Barat ‘Berkampung’ di Muzium Negara 7 November Ini

Seni Warisan Pantai Timur Dihimpunkan Menerusi Persembahan Khas, Sesi Ilmu Bersama Sabri Yunus Dan Program Mencungkil Bakat Pelapis Muda
Lebih 10 tokoh dan penggiat seni Dikir Barat bakal berhimpun di satu pentas bagi mengangkat martabat seni tradisional itu yang terus menjadi sebahagian daripada identiti budaya masyarakat Malaysia.
Menerusi Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026, Muzium Negara bakal menjadi lokasi pertemuan penggiat seni berkenaan pada 7 November ini, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat menghayati keunikan persembahan yang kaya dengan permainan bahasa, pantun, muzik dan tepukan berirama itu.
Antara nama besar yang bakal mengambil bahagian ialah Sabri Yunus, Halim Yazid, Jali Bunga Tanjong, Setapo Merak Emas, Eda Ezrin, Den Manjo, Fadil Turbo, Jemi Intan Berlian, Amran DBA, Ropie Hitam Manis dan Asrulfaizal Kamaruzaman.

Beberapa lagi penggiat seni dijangka diumumkan secara berperingkat bagi melengkapkan barisan persembahan yang meraikan kepelbagaian gaya serta pengalaman dalam dunia Dikir Barat.
Dianjurkan Kota Pesta by Makar Fest dengan kerjasama Muzium Negara dan sokongan Yayasan Hasanah menerusi geran ArtsFAS (Arts For All Seasons), program itu bukan sekadar menghimpunkan nama besar dalam seni berkenaan, malah membawa misi memastikan warisan berkenaan terus hidup dan dekat dengan generasi baharu.
Penganjuran itu turut dijayakan bersama Nasi Kerabu Moknab selaku rakan kolaborasi dalam usaha menyemarakkan seni warisan berkenaan.

Pemilihan Muzium Negara sebagai lokasi acara juga membawa makna tersendiri apabila seni rakyat yang berakar dari Pantai Timur diberikan ruang di institusi warisan nasional, sekali gus memperluas penghayatannya dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.
Dikir Barat yang sinonim dengan kreativiti tukang karut dan tok juara bukan sekadar persembahan menghiburkan, sebaliknya turut menuntut kemahiran berbahasa, kebijaksanaan menyusun kata, pemikiran pantas serta kepekaan terhadap isu masyarakat.
Selain persembahan pentas, program itu turut memberi penekanan kepada aspek ilmu menerusi sesi khas Seni Berpantun dalam Dikir Barat bersama Sabri Yunus.

Sesi berkenaan membuka peluang kepada peserta dan khalayak memahami dengan lebih mendalam keistimewaan pantun yang menjadi antara tunjang persembahan Dikir Barat.
Antara aspek yang bakal diketengahkan termasuk teknik rima, kekayaan kosa kata, permainan kata, spontaniti, kreativiti serta kemahiran bercerita dalam menyampaikan mesej kepada penonton.
Pengisian itu diharap dapat memperlihatkan bahawa di sebalik gelak tawa dan hiburan yang tercetus, Dikir Barat mempunyai nilai intelektual tersendiri yang memerlukan penguasaan bahasa serta kebijaksanaan mengolah pemikiran menjadi bait bermakna.
Tidak hanya tertumpu kepada penggiat berpengalaman, Persembahan Dikir Barat Malaysia 2026 turut memberi ruang kepada generasi muda untuk mengenali dan mempelajari seni tradisional itu secara lebih dekat.
Menerusi Dikir Barat Youth Camp, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) berpeluang mengikuti bengkel yang merangkumi penghasilan lirik, muzik serta teknik persembahan di bawah bimbingan tokoh dan penggiat seni berkenaan.

Peserta juga akan menghasilkan persembahan akhir sebagai manifestasi ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program.
Pendekatan itu diharap dapat menyemai minat dalam kalangan anak muda, selain membuka laluan kepada kemunculan pelapis yang mampu meneruskan kelangsungan Dikir Barat dalam persekitaran seni yang semakin berkembang.
Dalam masa sama, sebuah Forum Warisan turut dirancang bagi mempertemukan tokoh seni, penggiat budaya, pendidik dan generasi semasa untuk membincangkan masa depan seni tradisional.
Antara perkara yang bakal diberi perhatian ialah cabaran mengekalkan relevansi Dikir Barat dalam masyarakat moden tanpa mengorbankan keaslian, identiti dan akar budayanya.
Usaha pendokumentasian digital turut menjadi sebahagian daripada program berkenaan bagi memastikan persembahan, pengetahuan dan kreativiti penggiat seni dapat direkodkan sebagai bahan arkib, pendidikan serta rujukan generasi akan datang.
Gabungan persembahan, perkongsian ilmu, latihan bakat muda, forum dan dokumentasi itu memperlihatkan usaha penganjur untuk mengangkat Dikir Barat bukan sekadar sebagai warisan yang dikenang, tetapi seni yang terus dipelajari, dikembangkan dan diamalkan.
Pada 7 November ini, pertemuan lebih 10 tokoh dan penggiat seni di Muzium Negara diharap menjadi wadah menyatukan pengalaman generasi lama dengan semangat generasi baharu, sekali gus memastikan suara Dikir Barat terus bergema dalam landskap kebudayaan negara.
