October 21, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Tiket VVIP, VIP Yves Licin, Peminat Sanggup Bayar RM600!

Spread the love

Konsert di VOX KL pada 7 November ini catat sambutan hangat, pameran foto pula bawa peminat menyelami dunia peribadi bintang Korea Selatan itu

Harga RM600 bukan penghalang buat peminat yang mahu menikmati pengalaman eksklusif bersama penyanyi dan penulis lagu Korea Selatan, Yves, apabila tiket kategori VVIP bagi konsertnya di VOX KL pada 7 November ini habis dijual.

Malah, tiket VIP berharga RM450 turut licin, sekali gus mencerminkan sambutan peminat terhadap artis yang semakin mengukuhkan identitinya menerusi gabungan K-pop dan pop alternatif global itu.

Bagi peminat yang sanggup berbelanja lebih, tiket VVIP menawarkan pengalaman istimewa yang membolehkan mereka mendekati Yves menerusi sesi swafoto individu, gambar profesional bersama artis berkenaan serta sesi hi-touch.

Pemegang tiket kategori itu turut diberikan akses masuk seawal jam 5.30 petang, selain menerima satu lagi gambar profesional yang dirakam jurugambar rasmi dan boleh diakses menerusi laman web cultofya.com/yvesasiaaustralia selepas acara berakhir.

Sementara itu, pemegang tiket VIP turut menikmati sesi bergambar profesional secara berkumpulan, dengan nisbah seorang artis kepada lima pemegang tiket, selain sesi hi-touch dan akses masuk lebih awal pada jam 5.50 petang.

Bagaimanapun, peminat yang masih mahu menyaksikan Yves secara langsung tidak perlu berputih mata kerana tiket Early Entry berharga RM200 dan tiket kemasukan umum pada harga RM160 masih ditawarkan.

Pemegang tiket Early Entry dibenarkan memasuki ruang acara pada jam 6.30 petang, diikuti pemegang tiket umum pada jam 7 malam, sebelum acara bermula pada jam 8 malam.

Dalam perkembangan berkaitan, Yves turut membawa sisi berbeza perjalanan seninya ke Kuala Lumpur menerusi pameran fotografi interaktif, A Little of BOTH — photographs & notes by Yves, yang berlangsung di udou, Taman Paramount dari 23 Oktober hingga 7 November ini.

Berbeza daripada persembahan muzik yang lazimnya menjadi medan pertemuan artis dan peminat, pameran itu mengajak pengunjung menyelami dunia peribadi Yves menerusi koleksi foto yang dirakam sendiri olehnya.

Peminat juga berpeluang meninggalkan nota tulisan tangan buat penyanyi itu, sekali gus mewujudkan ruang interaksi lebih intim di luar pentas dan dunia muzik.

Dianjurkan dengan kerjasama perunding muzik dari Singapura, Modern Doberman, serta TONGTONG Asia dari Malaysia, pameran berkenaan turut berlangsung di Hong Kong, Singapura, Bangkok dan Manila.

Pemilihan ruang alternatif seperti kedai barangan terpakai, kafe dan bar vinil bagi pameran di lima bandar Asia itu pula mencerminkan minat peribadi Yves terhadap lokasi yang mempunyai karakter tersendiri.

Konsep berkenaan seolah-olah mengajak peminat meneroka tempat yang menggambarkan cita rasa peribadi penyanyi itu, sekali gus memberikan pengalaman lebih dekat dengan sisi kreatifnya.

Pengunjung turut digalakkan mengenakan pakaian atau aksesori berwarna merah, selari dengan tema EP terbaharunya, Cute & Anxiety, yang dijadual dilancarkan pada 20 November ini.

Menjelang pelancaran berkenaan, Yves bakal memperkenalkan dua single, Hysteric dan Adam, pada 27 Oktober ini sebagai pembuka tirai kepada EP yang mengandungi lima lagu.

Kedua-dua lagu itu meneroka sisi keresahan emosi daripada sudut berbeza. Hysteric menggambarkan perasaan ketika keresahan memuncak, manakala Adam menyelami kesan emosi yang masih tertinggal selepas perasaan itu berlalu.

Menerusi Cute & Anxiety, Yves meneroka garis halus antara sifat comel dengan keresahan, selain konflik perasaan yang muncul apabila tenaga dan kasih sayang daripada luar bertembung dengan alasan serta keberanian yang lahir daripada diri sendiri.

Karya itu menyusuli EP NAIL yang dilancarkan pada April lalu. Tempahan awal edisi fizikal Cute & Anxiety juga sudah dibuka, termasuk edisi yang menampilkan buku foto setebal 34 halaman.

Yves mula dikenali menerusi kumpulan K-pop LOONA sebelum memulakan perjalanan solo bersama label PAIX PER MIL pada 2024 menerusi karya LOOP dan I Did.

Sejak itu, dia terus mengembangkan identiti muziknya menerusi Soft Error pada 2025 dan NAIL pada 2026, selain menjalin kerjasama dengan artis antarabangsa seperti PinkPantheress menerusi lagu Soap, Lolo Zouaï menerusi NAIL dan Lexie Liu menerusi Break it.

Gabungan muzik, fotografi dan interaksi peribadi itu memperlihatkan sisi Yves yang lebih luas daripada identitinya sebagai penyanyi pop, sekali gus membuka ruang kepada peminat Malaysia untuk mengenali dunia kreatifnya dengan lebih dekat.

Peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai tiket dan faedah setiap kategori boleh melayari laman web cultofya.com/yvesasiaaustralia.

Konsert Yves dijadual berlangsung di VOX KL pada 7 November ini, manakala pameran fotografi A Little of BOTH dibuka di udou, Taman Paramount hingga tarikh yang sama. Single Hysteric dan Adam pula dilancarkan pada 27 Oktober, sebelum EP Cute & Anxiety menemui pendengar pada 20 November 2026.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page