Aksi ‘Panas’ Ronan Keating Disebalik Kedinginan
Ronan Keating yang popular dengan lagu When You Say Nothing At All akhirnya mengotakakan janjinya untuk kembali mengadakan konsert di Malaysia. Konsert Ronan Keating Concert Live In Malaysia 2023 anjuran MIC Entertainment Group itu yang berlangsung pada 19 Ogos lalu telah menghimpunkan lebih 4.700 peminat di Arena of Stars, Resorts World Genting, Genting Highlands.
Penyanyi kelahiran Ireland itu tampil membuka persembahan dengan lagu Heyday dan Lovin’ Each Day dan Breathe sambil bermain gitar, biarpun hanya pemanas acara namun Ronan cukup bijak berinteraksi dengan peminatnya.
“Mungkin ramai yang masih ingat pada persembahan saya di sini, 3 tahun lalu. Saya berjanji untuk kembali lagi ke sini, buktinya hari ini saya kembali”, ujar Ronan menyapa peminat.
Tidak terus membiarkan khalayak hanyut dengan untaian kata-katanya, Ronan kemudianya mengajak hadirin bernostalgia bersama menerusi lagu-lagu yang membawa dirinya serta Boyzone terus kekal di hati antaranya Isn’t It A Wonder, Baby Can I Hold You, Words dan You Needed Me.
Suasana bening sementelah khalayak dibelenggu kedingginan sejuknya suhu di puncak Genting Highlands, Ronan terus ‘menyapa’ dengan lagu The Way You Make dan If Tomorrow yang lantas mengundang nyanyian berharmoni di kalangan hadirin. Pastinya ianya turut mengundang nostalgia serta momen indah peminat yang membesar dengan lagu-lagu dendangan Boyzone amnya dan Ronan Keating khususnya.
Meskipun rata-rata peminat yang hadir berusia lebih 40an ianya sekaligus memberi ‘makna’ tersendiri. Energi Ronan terus ‘memakukan ‘ hadirin dengan untaian melodi In This Life, Fathers & Son Serta No Matter What.
‘Keintiman’ Ronan bersama peminat tidak perlu diperjelaskan segalanya terungkap apatah lagi antusiasmenya yang cukup memberi makna serta warna seraya melagukan lagu-lagu seperti One More Song, Last Think On My Mind, Love Me For A Reason dan Nothing At All.
Untuk rekod, album Boyzone yang ketika itu turut dianggotai oleh Shane Lynch, Keith Duffy dan Mikey Graham telah terjual lebih 25 juta unit di seluruh dunia manakala album solonya terjual lebih 20 juta unit. Tidak hairanlah mengapa Ronan Keating terus relevan sehingga kini. Konsert Ronan Keating Concert Live In Malaysia 2023 yang berdurasi selama 2 jam itu pasti tidak bermakna tanpa adanya lagu-lagu yang terus menaikkan popularitinya setelah bergerak secara solo. Going Gets Tough, Pictures Of You, Brown Eyed Girl dan Life Is A Rollercoater yang menutup siri jelajah Ronan Keating di Malaysia.