November 24, 2024

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Pesta Muzik Borneo Sonic 2023 Bakal Dimeriahkan Dengan Irama Muzik K-pop

Spread the love

Peminat K-Pop di Malaysia dan Sarawak kini mempunyai sebab untuk berasa teruja kerana Taeyang daripada kumpulan lelaki K-pop Big Bang dan CL, yang sebelum ini daripada kumpulan 2NE1, akan menjadi aksi utama untuk pesta muzik Borneo Sonic 2023 yang akan berlangsung dari 6 hingga 7 Oktober 2023 di Stadium Sarawak, Kuching.

Menurut para penganjur pesta tersebut, rilisan terbaru beliau adalah single Shoong! yang menampilkan Lisa Blackpink dan single tersebut telah memasuki pelbagai carta muzik di pelabagai negara seluruh dunia.

Taeyang (gambar diambil daripada https://k-popped.com/)

CL, yang dikenali sebagai ‘wanita paling jahat’ K-Pop, pula telah mengeluarkan album solo keduanya Alpha pada 2021.

Kali terakhir CL membuat persembahan di Coachella pada 2022, bersatu semula dengan ahli 2NE1nya di atas pentas dan penyanyi rap itu juga datang ke Malaysia tahun lepas sebagai salah satu aksi utama di acara Good Vibes Weekender 2022 bersama Jackson Wang.

CL (gambar diambil daripada https://k-popped.com/)

Selain itu, ketua kumpulan lelaki Korea Selatan-China EXO – Suho, dan juga Hyo yang terkenal dengan bakat luar biasa sebagai penyanyi, penari, DJ dan personaliti televisyen, akan turut membuat persembahan pada pesta tersebut.

Pesta muzik Borneo Sonic 2023 juga akan menyaksikan penampilan dari artis-artis dari negara luar yang lain, selain daripada Korea Selatan. Ini adalah kerana deejay yang berasal Australia, DJ Havanna Brown, penyanyi rap Amerika Syarikat Fatman Scoop juga akan membuat penampilan di pesta tersebut.

Artis-artis tempatan Malaysia juga turut dipelawa untuk membuat persembahan di Borneo Sonic 2023 dan untuk edisi pesta kali ini, antara artis-artis Malaysia yang akan membuat persembahan pada Borneo Sonic 2023 adalah Ning Baizura dan DOLLA, di samping beberapa lagi artis-artis tempatan Malaysia yang lain.

Pengumuman penganjuran Borneo Sonic 2023 telah dibuat oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah di dalam sebuah sidang media yang berlangsung pada Khamis lepas, di mana beliau juga berkata pesta muzik tersebut akan menjadi acara penting bagi bukan sahaja Sarawak, malah Malaysia juga.

Karim (tiga dari kiri) dilihat bersama para wakil penganjur dan warga kementerian beliau menunjukkan poster-poster untuk Borneo Sonic 2023 pada sidang media yang diadakan di pejabat beliau sendiri, Khamis lepas – gambar disediakan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

“Borneo Sonic 2023 dianjurkan oleh BME (International) Malaysia Sdn Bhd, bersama penganjur bersama Skyline Entertainment dan Dream Factory Entertainment.

“Ia akan diadakan di Stadium Sarawak bulan depan. Pesta muzik ini juga merupakan peristiwa penting dalam landskap budaya rantau ini dana bakal menjadi acara muzik pertama dan terbesar seumpamanya di Borneo,” katanya apabila bercakap dengan para pengamal media di pejabatnya sendiri yang terletak di Bangunan Baitulmakmur II, Kuching.

Semasa sidang media itu, beliau turut memberitahu bahawa Kuching sentiasa bersedia untuk dijadikan tempat penganjuran acara-acara seperti pesta muzik manakala Sarawak kini antara tempat terbaik untuk mengadakan pelbagai acara.

“Sekarang ini hampir setiap hujung minggu pasti ada aktiviti diadakan di negeri ini. Untuk Borneo Sonic 2023 kali ini, kita menjangkakan jumlah pengunjung yang akan hadir pada Borneo Sonic 2023 adalah sekitar 30,000 orang di Stadium Sarawak,” katanya.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, Setiausaha Tetap, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datu Sherrina Hussaini ,Pengarah Urusan, BME (International) Sdn. Bhd, Steven Au dan Ketua Pegawai Eksekutif Place Borneo Sdn Bhd, Mona Abdul Manap.

Untuk maklumat lanjut mengenai Borneo Sonic 2023 sila layari https://www.instagram.com/borneosonic.mf/ manakala harga tiket untuk festival itu yang berharga diantara RM488 hingga RM1288 dan boleh didapati mulai 18 Ogos di laman web www.borneosonic.com.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page