July 16, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Shila Janji Malam Luar Biasa Di Genting

Spread the love

Tampil Sisi Berbeza Sempena 25 Tahun Dalam Industri, Pertaruh 40 Lagu, Aksi Tarian, Tribute Legenda Dan Kolaborasi Rentas Genre Bersama Artis Jemputan

Selepas suku abad mewarnai industri muzik tanah air dan antarabangsa, penyanyi tersohor Shila Amzah berjanji menghadiahkan sebuah persembahan yang luar daripada kebiasaan menerusi konsert solo KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama di Arena of Stars, Resorts World Genting pada 15 Ogos depan.

Bagi Shila, konsert berkenaan bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam dunia seni, sebaliknya menjadi pentas untuk memperlihatkan sisi dirinya yang selama ini jarang dipertontonkan kepada peminat.

Jika selama ini namanya cukup sinonim dengan lagu-lagu balada dan vokal bertenaga, kali ini dia mahu membuktikan dirinya juga mampu tampil lebih dinamik menerusi persembahan yang sarat dengan koreografi, visual dan elemen hiburan.

“Saya sebenarnya sangat suka menari. Jadi untuk konsert kali ini, saya mahu lebih banyak persembahan yang membolehkan saya bergerak aktif di atas pentas.

“Orang selalu mengenali saya dengan lagu-lagu galau atau perlahan. Namun sebenarnya, saya kurang diberi peluang untuk menunjukkan sisi persembahan yang lebih aktif. Kali ini saya mahu peminat melihat Shila yang berbeza,” katanya ketika ditemui pada sidang media konsert itu di The Coffee Bean & Tea Leaf, Sierra Fresco, pada 15 Julai lalu.

Shila berkata, sepanjang hampir tiga jam konsert itu, dia bakal mempersembahkan kira-kira 40 lagu merangkumi bahasa Melayu, Mandarin dan Inggeris termasuk deretan lagu popular yang membentuk perjalanan seninya selama 25 tahun.

Lebih istimewa, konsert itu turut diserikan dengan segmen penghormatan kepada tiga ikon yang banyak mempengaruhi perjalanan seninya iaitu Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad, Raja Pop dunia Michael Jackson dan penyanyi kelahiran Malaysia yang mencipta fenomena di Taiwan, Fish Leong.

Menurut Shila, ketiga-tiga figura itu menjadi sumber inspirasi utama sehingga membolehkannya terus bertahan dan berkembang dalam industri muzik sehingga hari ini.

“Fish Leong adalah penyanyi legenda Cina yang sangat berjaya membawa nama Malaysia ke Taiwan sejak awal tahun 2000-an.  Bagi saya, mereka inilah antara insan yang benar-benar memberi inspirasi sehingga saya mampu bertahan selama 25 tahun dalam industri,” katanya.

Selain mempersembahkan repertoir popularnya, Shila turut menjanjikan kolaborasi eksklusif bersama beberapa rakan artis yang disifatkannya sebagai nadi kepada tema ‘KITA’.

Antara nama yang bakal berkongsi pentas ialah Mimi Fly, Hael Husaini, DJ Fuzz, Balan Kashmir dan Kidd Santhe, selain beberapa lagi kejutan yang hanya akan diumumkan pada malam konsert.

Katanya, pemilihan artis jemputan dibuat bagi menggambarkan semangat kebersamaan selain membuka ruang kepadanya bereksperimen dengan pelbagai genre muzik termasuk hip hop.

“Adalah sangat tidak wajar kalau saya tidak mengajak rakan-rakan dalam industri berkongsi pentas bersama saya.  DJ Fuzz, Balan Kashmir dan Kidd Santhe pula memberi peluang kepada saya mencuba sesuatu yang baharu. Ini masa terbaik untuk saya keluar daripada zon selesa dan belajar lebih banyak perkara,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shila turut meluahkan rasa syukur apabila sambutan terhadap konsert berkenaan sangat menggalakkan, malah mendapat perhatian peminat dari luar negara.

Lebih menarik, pembukaan jualan tiket siri jelajahnya di China yang berlangsung serentak dengan promosi konsert di Malaysia menyebabkan peminatnya kini berebut mendapatkan tiket kedua-dua persembahan.

“Dalam masa yang sama, tiket untuk siri jelajah saya di China pun baru sahaja dibuka hari ini. Memang keadaan sekarang sangat sibuk, peminat saya pun sudah macam ‘sotong’ nak dapatkan tiket.

“Alhamdulillah, kita bakal melihat peminat berbilang kaum akan berkumpul pada konsert solo saya nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pink Asia, Ravivarman Vicraman, berkata sambutan jualan tiket amat memberangsangkan apabila lebih 55 peratus tiket sudah terjual.

Beliau berkata, pihaknya yakin konsert yang menyasarkan kehadiran kira-kira 5,000 penonton dari Malaysia, Singapura, Indonesia, Brunei, China dan beberapa negara Asia Tenggara itu akan menjadi antara persembahan paling bermakna dalam karier Shila.

Konsert KITA | Shila Amzah | 25 Tahun Bersama dianjurkan oleh Pink Asia dengan sokongan The Coffee Bean & Tea Leaf selaku rakan rasmi, manakala Resorts World Genting dan Visit Malaysia 2026 sebagai rakan strategik.

Tiket dijual pada harga RM149 hingga RM599 menerusi platform Ticket2U serta Resorts World Genting.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page