July 9, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

‘Yang Tinggal’ Satukan Malique, Yasin Dan Zizi Kirana

Spread the love

Kisah Kanak-Kanak Palestin Yang Maut Sambil Menggenggam Roti Menjadi Ilham Lahirnya Karya Kemanusiaan Yang Menyatukan Tiga Figura Muzik Tempatan Buat Pertama Kali

Di sebalik penderitaan yang terus menghantui bumi Gaza, lahir sebuah karya yang bukan sekadar menggabungkan tiga nama besar industri muzik tanah air, malah menjadi simbol solidariti terhadap mangsa perang.

Buat julung kali, Malique, Zizi Kirana dan Yasin Sulaiman bergandingan menerusi single Yang Tinggal, sebuah karya yang mengangkat suara kemanusiaan dengan memberi fokus kepada nasib kanak-kanak Palestin yang menjadi korban konflik berpanjangan.

Lebih mengharukan, proses menghasilkan lagu itu turut menyaksikan Malique kembali bertemu sahabat lamanya, Yasin, selepas hampir dua dekad apabila sanggup ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi merakamkan vokal penyanyi berkenaan.

Menurut Zizi, idea mendapatkan Yasin bermula apabila Malique mencari penyanyi yang mampu membawa nuansa Timur Tengah menerusi lenggok vokalnya.

“Waktu saya transit di Dubai, Malique beritahu dia sedang mencari penyanyi yang mempunyai suara bercirikan Arab seperti Maher Zain.

“Bila saya pulang ke Malaysia, saya terus berbincang dengan Iman Tang. Kami sama-sama merasakan Yasin adalah individu paling sesuai kerana karakter suaranya memang kena dengan lagu ini,” katanya pada majlis pelancaran Yang Tinggal, di Qarma Studio Mutiara Damansara pada 9 Julai lalu.

Bagaimanapun, usaha merealisasikan kolaborasi itu bukan sesuatu yang mudah kerana Yasin ketika itu sedang menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta.

Selepas hampir dua minggu menguruskan pelbagai urusan dan mendapatkan kebenaran pihak hospital, pasukan produksi akhirnya dibenarkan membawa masuk kelengkapan rakaman profesional ke hospital bagi membolehkan Yasin merakamkan bahagian vokalnya.

“Kami datang bersama semua peralatan rakaman dan pihak hospital sangat membantu. Mereka menyediakan bilik seminar untuk kami merakamkan suara Yasin.

“Paling saya tak boleh lupa apabila melihat Malique bertemu Yasin selepas hampir 20 tahun tidak berjumpa. Saat mereka berpelukan itu sangat menyentuh hati. Saya sendiri rasa sangat bahagia melihat persahabatan mereka masih utuh walaupun sudah lama tidak bersua,” ujarnya.

Komposer dan penerbit lagu itu, Tripdisz berkata, mereka hanya mempunyai tempoh kira-kira dua jam untuk menyiapkan rakaman ketika waktu lawatan.

“Kami datang pada waktu rehat tengah hari supaya suasana lebih tenang. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan Yasin memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang proses rakaman,” katanya.

Lebih istimewa, Zizi turut merakamkan sebahagian vokalnya ketika menyertai misi flotila kemanusiaan sebelum menyempurnakan rakaman akhir di Qarma Studio selepas kembali ke tanah air.

Menurut pihak penerbit, idea menghasilkan Yang Tinggal tercetus daripada kisah benar seorang kanak-kanak Palestin yang terbunuh ketika keluar membeli roti untuk ibunya, namun jasadnya ditemui masih menggenggam roti berkenaan.

Peristiwa itu meninggalkan kesan mendalam kepada Malique sehingga mendorongnya menghasilkan karya yang menggambarkan kesedihan, kehilangan, kasih sayang dan harapan buat mangsa peperangan.

Menggabungkan lirik puitis dalam bahasa Melayu, petikan bahasa Arab serta susunan muzik sinematik, lagu itu turut diperkaya dengan penyertaan Voices of Bilad al-Sham Children’s Choir by Cinta Salam Malaysia, yang dianggotai kanak-kanak pelarian Syria.

Kehadiran mereka bukan sekadar memperindahkan susunan muzik, malah menjadi lambang suara generasi muda yang turut menanggung derita akibat peperangan.

Diterbitkan menerusi inisiatif Premium Artist Collaboration 2026 oleh Icon Records, Yang Tinggal membuktikan muzik mampu menjadi medium merentasi bahasa, budaya dan sempadan negara dalam menyampaikan mesej keamanan serta mengajak masyarakat dunia untuk terus menghargai nilai kemanusiaan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page