“Black & White in Colour” Jadi Naskhah Paling Peribadi Disagree Selepas Sedekad Menghilang
Selepas lebih sedekad menyepi daripada dunia muzik, Disagree akhirnya kembali dengan sebuah karya yang disifatkan paling jujur dan emosional pernah dihasilkan mereka menerusi album baharu berjudul “Black & White in Colour”.
Bukan sekadar simbol kemunculan semula, album itu menjadi refleksi perjalanan hidup tiga anggota utamanya, Zahid, Hamka dan Taa yang pernah melalui fasa kehilangan, pergolakan emosi, keretakan hubungan dan pencarian semula makna muzik dalam hidup mereka.
Selepas bertahun-tahun meninggalkan pentas demi keluarga, kerjaya dan kehidupan peribadi, Disagree kini muncul dengan perspektif yang jauh lebih matang, namun masih mengekalkan roh alternatif rock dan grunge yang pernah menjadikan mereka antara nama paling penting dalam scene indie tempatan suatu ketika dahulu.
Menurut kumpulan itu, “Black & White in Colour” bukan sekadar album biasa, sebaliknya sebuah “penutup dan kelahiran semula” terhadap perjalanan mereka sebagai band.
“Setiap lagu dalam album ini datang daripada pengalaman sebenar. Ia tentang patah hati, trauma, kehilangan, hubungan semula dan bagaimana masa mengubah manusia.
“Kami masih Disagree yang sama di hati, cuma kini lebih matang dan lebih menghargai apa yang pernah kami miliki,” kata mereka.

Walaupun senarai penuh lagu masih dirahsiakan, album berkenaan dikatakan bakal membawa pendengar menyelami sisi paling rapuh dan peribadi kumpulan itu sepanjang karier mereka.
Lebih menarik, kemunculan semula itu dimulakan dengan single “Let’s Do It All Again” yang dilihat sebagai pintu masuk kepada keseluruhan naratif album terbabit.
Lagu berkenaan tampil sebagai anthem penuh emosi mengenai penyesalan, penghargaan dan usaha memperbaiki hubungan yang pernah terputus antara kumpulan itu dengan peminat mereka.
Ia turut membawa mesej bahawa ada kisah yang mungkin tertangguh bertahun-tahun, namun tidak pernah benar-benar berakhir.
“Kami sebenarnya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal. Itu perkara yang sentiasa bermain dalam fikiran kami selama ini,” ujar mereka.
Dirakam di Malaysia dan Australia, lagu itu diterbitkan serta diadun oleh pemenang pelbagai Anugerah Industri Muzik (AIM), Greg Henderson sebelum dimaster oleh pemenang Grammy, Leon Zervos di Studios 301, Australia.
Hasilnya, “Let’s Do It All Again” hadir dengan bunyi yang lebih kemas dan moden tanpa menghilangkan identiti emosional Disagree yang menjadi kekuatan utama mereka sejak awal kemunculan.
Pada era awal 2000-an hingga awal 2010-an, Disagree pernah menjadi antara nama besar dalam arena indie progressive rock Malaysia menerusi lagu seperti “Crumbs”, “Suicide Note”, “Scarecrow Adams”, “Osaka” dan “Haley”.
Mereka juga sinonim dengan festival Rock The World selain pernah membuka pentas untuk kumpulan antarabangsa seperti Hoobastank dan The All-American Rejects.
Sepanjang perjalanan seni mereka, Disagree turut meraih tiga trofi AIM termasuk Artis Baru Terbaik serta Album Inggeris Terbaik, selain pernah diiktiraf oleh Universal Music Malaysia sebagai album paling pantas terjual pada 2005.

Kini, selepas sekian lama hilang daripada perhatian umum, Disagree kembali bukan kerana nostalgia semata-mata. Sebaliknya, mereka hadir untuk menyempurnakan cerita yang pernah terhenti dan “Black & White in Colour” menjadi nadi kepada segala yang ingin mereka luahkan selama ini.
Sebagai simbolik ‘kembalinya’ Disagree, mereka meriliskan single “Let’s Do It All Again” dan kini bp;eh di aksess di semua digital streaming platform pada 15 Mei 2026.
