Aizat Amdan & SOG Pecah Sempadan Genre Menerusi “Ajar Aku”, Yuna Muncul Sebagai ‘Hidden Gem’
Keberanian Aizat Amdan keluar daripada zon selesa menerusi single terbaharu “Ajar Aku” nyata membuahkan hasil apabila karya kolaborasi bersama Sekumpulan Orang Gila (SOG) itu tampil sebagai antara eksperimen muzik paling segar tahun ini.
Lebih menarik, lagu terbitan Kasi Gegar Entertainment itu turut diserikan dengan kemunculan istimewa Yuna yang dianggap sebagai ‘ramuan rahsia’ melengkapkan emosi karya berkenaan.
Menggabungkan elemen pop soulful, rock alternatif dan post-hardcore, “Ajar Aku” memperlihatkan sisi baharu Aizat yang selama ini dikenali dengan karya balada dan pop alternatif yang lembut serta dekat dengan jiwa pendengar.
Menariknya, lagu itu lahir secara spontan ketika sesi rakaman “Dari Studio Podcast”, podcast kendalian Aizat yang memfokuskan kepada proses penciptaan lagu secara langsung bersama artis jemputan.
SOG yang hadir sebagai tetamu episod berkenaan pada Mei tahun lalu akhirnya menjadi sebahagian daripada proses kreatif sehingga terhasilnya “Ajar Aku”.

“Kami bermula dengan berbual mengenai muzik, perjalanan seni dan pengalaman dalam industri. Dalam masa podcast itu juga kami mula membina idea dan akhirnya lagu ini lahir secara organik,” kata Aizat.
Dari segi naratif, “Ajar Aku” membawa tema keberanian mengetepikan ego demi menerima tunjuk ajar, kasih sayang dan pandangan daripada orang sekeliling.
Menurut Aizat, karya itu menggambarkan realiti manusia yang sering bergelut dengan rasa ego dalam proses mencari arah kehidupan.
“Ia mengenai manusia yang sedang mencari arah dan tidak malu untuk meminta tunjuk ajar. Kadang-kadang kita terlalu ego untuk menerima nasihat sedangkan proses belajar itu sendiri adalah sebahagian daripada kehidupan,” katanya.

Dari aspek muzik pula, lagu itu mempertemukan karakter vokal soulful Aizat dengan suara lebih keras dan agresif daripada vokalis SOG, Raja Nazrin Shah.
Aizat mengakui proses mencari keseimbangan antara dua karakter berbeza itu menjadi cabaran utama sepanjang rakaman berlangsung.
“Suara saya lebih soulful manakala Nazrin mempunyai karakter rock yang lebih kasar. Jadi kami banyak bereksperimen untuk mencari titik tengah supaya kedua-dua identiti itu masih kekal tetapi kedengaran seimbang,” katanya.
Lagu itu turut diperkukuhkan dengan sentuhan produksi daripada Anas Amdan yang membentuk susunan muzik serta elemen strings sinematik yang memberi skala lebih dramatik kepada keseluruhan karya.
Bagaimanapun, kemunculan Yuna pada penghujung lagu menjadi antara momen paling mencuri perhatian pendengar.
Menurut Aizat, ketika proses rakaman berlangsung di studio KGE, Yuna kebetulan berada di lokasi sama bagi menyiapkan album terbarunya sebelum diperdengarkan dengan lagu terbabit.
Apa yang lebih menarik, bahagian vokal wanita pada penghujung lagu asalnya hanyalah suara AI yang digunakan sebagai demo sementara.
“Bila Yuna dengar bahagian akhir lagu itu, dia terus kata, ‘Biar saya yang rakamkan bahagian ini.’ Daripada menggunakan AI, kami akhirnya dapat sesuatu yang jauh lebih hidup dan bermakna,” katanya.
Tambah Aizat, Yuna juga menjadi antara individu terawal yang mempercayai potensi “Ajar Aku”, malah turut memberi galakan supaya video muzik rasmi dihasilkan.
Single “Ajar Aku” kini boleh distrim di semua platform digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube.
