‘Hari Ini Dia Muncul!’ — Teaser Pertama KHADAM Buat Ramai Tak Senang Duduk, Saka Mula ‘Menuntut’ Tuan
Teaser pertama filem seram Khadam terus mencetuskan rasa tidak senang dalam kalangan penonton apabila bayangan ‘sesuatu’ yang selama ini tersembunyi mula menampakkan diri!
Naskhah terbaharu arahan Shamyl Othman itu tampil dengan amaran keras menerusi tagline “Jangan Sampai Jadi Tuan” seolah-olah memberi isyarat bahawa apa yang selama ini ‘melindungi’, kini mula bangkit untuk menguasai.
Dalam teaser berdurasi 60 saat yang dilepaskan hari ini, penonton dibawa menyelami kehidupan sebuah keluarga yang kelihatan sempurna… namun sedikit demi sedikit berubah menjadi mimpi ngeri apabila satu entiti mula ‘menumpang’ tanpa diundang.
Apa yang lebih meresahkan, gangguan itu tidak berlaku secara mendadak sebaliknya hadir perlahan-lahan, menyerap masuk ke dalam kehidupan seharian sehingga sukar dibezakan antara realiti dan pengaruh ghaib.
Menurut Penerbit Eksekutif, Lina Tan, teaser ini hanyalah ‘pintu awal’ kepada dunia Khadam yang jauh lebih gelap dan kompleks.
“Kami yakin visi Shamyl Othman dan kekuatan skrip oleh Fariza Azlina Isahak mampu memberi pengalaman berbeza kepada penonton,” katanya.
Lebih mengejutkan, pengarahnya sendiri menegaskan bahawa kisah ini bukan sekadar seram kosong, tetapi gambaran realiti yang boleh berlaku tanpa disedari.
“Dalam Khadam, saka itu bukan sekadar ‘mengganggu’… ia perlahan-lahan mengambil alih, sehingga mangsa sendiri hilang identiti,” jelas Shamyl.
Menambah ‘rasa seram’, filem ini menampilkan pelakon Indonesia Aghniny Haque sebagai Melor watak wanita penuh misteri yang menjadi kunci kepada segala yang berlaku.
Beliau digandingkan bersama Remy Ishak, selain turut dibintangi Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaf, Karl El serta kemunculan khas Jun Lojong.
Sementara itu, Ahmad Izham Omar menyifatkan teaser yang dilancarkan hari ini hanyalah ‘bayangan kecil’ kepada kejutan sebenar yang bakal didedahkan dalam treler rasmi nanti.
Dibawakan oleh GSC Movies dengan kerjasama Primeworks Studios, Khadam dijangka menghantui pawagam seluruh negara tahun ini.
