iQIYI Starship 2026 Gegar Kuala Lumpur
Acara jelajah hiburan iQIYI Starship 2026 mencipta malam penuh gemilang apabila membuat penampilan sulungnya di ibu negara dengan kehadiran Duta Global Antarabangsa iQIYI, Esther Yu, pada 7 April lalu.
Dianjurkan oleh iQIYI International, acara tersebut berjaya menarik lebih 1,000 pengunjung terdiri daripada pelanggan VIP Tahunan iQIYI Malaysia, wakil media, rakan strategik serta peminat, sekali gus mencerminkan populariti tinggi Esther Yu dan peningkatan minat rakyat Malaysia terhadap kandungan hiburan Asia premium.
Sejak kemunculannya di pentas, Esther Yu memukau penonton dengan personaliti mesra dan karismanya. Acara itu turut diisi dengan pelbagai segmen menarik termasuk sesi soal jawab eksklusif bersama media, permainan interaktif di pentas serta sesi istimewa bersama peminat.
Turut memeriahkan acara ialah personaliti tempatan seperti Moses Wong, Jestinna Kuan dan Rasyidah Binti Abu Johan, yang membantu merapatkan lagi hubungan antara peminat dan bintang antarabangsa tersebut.
Salah satu detik paling mencuri perhatian ialah apabila Esther Yu mencuba bertutur dalam bahasa Melayu secara langsung di atas pentas, sekali gus menerima sorakan gemuruh daripada penonton yang menghargai usahanya mendekati budaya tempatan.
Malam tersebut turut meraikan kejayaan drama Speed and Love, yang mendapat sambutan hangat di Asia Tenggara. Lakonan Esther Yu sebagai Jiang Mu berjaya menambat hati penonton, sekali gus melayakkan beliau dinobatkan sebagai Peranan Wanita C-Drama Moden Paling Popular 2025 iQIYI Malaysia.
Dalam ucapannya, beliau melahirkan rasa terharu atas sokongan yang diterima. “Saya sangat gembira dapat bertemu semua orang di Malaysia. Saya merasakan begitu banyak kasih sayang dan sokongan, dan saya harap dapat kembali lagi tidak lama lagi,” katanya.
Selain itu, acara berkenaan turut menampilkan cabutan bertuah khas, menyaksikan 80 peminat bertuah dipilih untuk sesi fotografi eksklusif bersama Esther Yu, menjadikan pengalaman tersebut sebagai kenangan bermakna.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam berkata Malaysia merupakan pasaran yang semakin penting bagi syarikat itu di rantau ini.
Menurutnya, penganjuran iQIYI Starship 2026 di Malaysia mencerminkan komitmen mereka dalam membawa pengalaman hiburan di luar skrin kepada penonton, selain mengukuhkan hubungan antara peminat dan kandungan yang ditawarkan.
“Inisiatif ini memberi peluang untuk meraikan penceritaan dan pengalaman hiburan bersama, khususnya dengan sokongan kuat terhadap Speed and Love,” katanya.
Acara tersebut turut menonjolkan strategi iQIYI dalam memperluaskan pengaruh kandungan Cina ke peringkat global melalui gabungan pengalaman secara langsung, interaksi selebriti dan paparan kandungan yang lebih mendalam kepada penonton.
